Dapur

Resepi Siakap Kengsom Macam Makan Di Thailand, Kuah Pekat, Masam & Pedas Kaw!

64
SHARES
resepi siakap kengsom

RESEPI SIAKAP KENGSOM

Sebut sahaja juadah yang berasal dari negara jiran, Thailand, sudah pasti ramai dalam kalangan kita yang terbayang menu-menu yang enak belaka. Ini juga termasuk dengan satu juadah bernama masakan kengsom yang selalu digandingkan bersama beberapa jenis ikan yang sesuai antaranya siakap.

Jadi, apa kata anda cuba sendiri masak masakan kengsom ini di rumah dan dijadikan sebagai juadah berbuka puasa. Pasti seisi keluarga akan suka dan licin pinggan nasi berbuka hari ini! Jom kita tengok resepi yang dikongsikan oleh Kamarul Ariffin Nor Sadan.

Baca juga: IKEA ‘Bocor’ Resepi Untuk Penggemar Meatball, Dah Boleh Buat Sendiri Di Rumah!

RESEPI SIAKAP KENGSOM MACAM DI THAILAND

Dah lama tak masak! Hari kerja separuh hari, jadi giliran saya untuk jaga anak, sambil masak lauk berbuka puasa. Kita masak lauk yang pakej lengkap dengan sayur sekali! Senang, sekali jalan.

Bahan-bahan:

-1 ekor siakap

-½ biji nanas

-6 biji bawang merah ros

-3 ulas bawang putih

-2 tangkai cili merah

-2 inci kunyit

-1 inci belacan

-2 inci lengkuas

-1 batang serai

-3 tangkai cili api/padi

-1 biji limau nipis.

-½ cekak kangkung

– sudu sos ikan

CARA-CARA NAK MASAK SIAKAP KENGSOM, SEDAP SUNGGUH!

1.Sediakan bahan-bahan dulu. Cili boleh tambah ikut citarasa masing-masing. Tadi jenuh kupas dan potong nanas. Sampai kecut-kecut jari. Hampir nak tersuap dalam mulut.

2.Biasa beli di pasar dah suruh siang siap-siap. Kelmarin, beli ikan di pasar raya secara online. Sampai-sampai ikan bersisik lagi. Jenuh juga tadi nak siang. Macam-macam dugaan berpuasa.

3.Kisar bawang merah, bawang putih, kunyit, cili belacan dan ¼ nanas dengan 2 cawan air. Saya kisar nanas sekali supaya kuahnya lebih pekat. Jika suka kuah yang cair, tak perlu kisar nanas.

4.Masukkan dalam periuk, reneh sehingga bahan-bahan masak terutamanya cili. Kalau kering sangat, tambah air dan sambung reneh. Biasanya saya reneh 10 minit. Sambil reneh saya sediakan bahan lain.

5.Masukkan serai dan lengkuas. Kalau tak ada lengkuas pun tak apa, cuma masakan jenis reneh macam ni memang bertambah lazat kalau ada lengkuas. Tambah 2 cawan air.

6.Masukkan nenas yang dah dihiris setebal 1 inci. Masakan ni sedap guna nanas yang masam sikit, jangan yang terlalu ranum dan manis. Biasanya, masakan berasaskan ikan, serasi rasa masam.

7.Masukkan ikan siakap yang dibelah 3 bahagian. Boleh tak guna ikan lain? Boleh sahaja. Kengsom ni memang aslinya guna ikan siakap, tapi kalau nak cuba ikan lain, maka silakan. Kita buat dia!

8.Sekarang boleh perasakan dengan sos ikan. Hati-hati, jangan banyak sangat, tadi kita dah letak belacan, takut termasin. Jika tak ada sos ikan, ganti sahaja dengan garam.

9.Akhir sekali, perah limau nipis. Ada juga orang letak asam keping. Saya lebih suka guna limau nipis sebab ada rasa sitrus yang buat hidang ni rasa lebih segar(fresh). Siap!

10.Eh lupa masukkan kangkung! Haha! Masukkan sekarang!

11.Tutup dan matikan api. Biar kangkung layu. Kengsom ni masakan Siam, tapi dia macam adik beradik jugalah dengan ikan masak asam atau masak singgang. Tak jauh beza, kan?

12. Siap! Rasa dia masam, masin, manis dan pedas. Siap ada ikan, sayur dan buah. Lengkap! Bau limau dan nanas tu buat kecur air liur. Kalau makan dengan nasi panas, memang bertambah.

Selamat mencuba!

Sumber: Kamarul Ariffin Nor Sadan

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×