Dah semestinya, kek keju atau cheese cake merupakan antara pemanis mulut yang paling digemari oleh rakyat Malaysia. Rasanya yang lemak berkrim, berkeju yang disertai dengan kerangupan biskut Oreo membuatkan kita susah nak berhenti memakannya. Kalau dapat pula yang sejuk-sejuk waktu tengah panas terik, memang nikmat!
Sebenarnya, tak susah pun nak membuat kek ini sendiri di rumah. Malah, anda tak perlukan oven pun untuk membuatnya. Memang berbaloi untuk anda cuba.
Jom kita tengok resepi oleh Puan Yuana Mansor ini.
Resepi Kek Oreo Cheese Tanpa Bakar
Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan.
Bahan-Bahan
Bahan A
- 36 keping Biskut Oreo – diasingkan krim dari biskut dan blend biskut sampai hancur
- 5 sudu besar butter – dicairkan
Bahan B
- 500g cream cheese
- 80g gula kastor
- 1 cawan susu segar – suam
- 1 sudu gelatin
- 1 sudu esen vanila
*Mungkin ramai yang tanya gelatin ni macam mana rupanya. Di Malaysia kita dah ada produk gelatin yang halal ya. Antaranya jenama Halagel (mudah didapati di Giant), jenama Nur (boleh beli di Mydin), atau jenama-jenama lain seperti Hilal. Boleh tengok contoh paket di bawah ini.
Cara-cara
Berikut pula adalah langkah membuatnya.
1. Campurkan Bahan A
Mula-mula, cairkan butter dan asingkan krim daripada biskut oreo. Blender biskut hingga hancur dan ketepikan krimnya dalam sebuah bekas lain.
Selepas itu, campurkan biskut yang dah dihancurkan dengan butter yang telah dicairkan.
2. Buat Base
Kemudian, gunakan biskut tadi sebagai base kek kita. Caranya, masukkan adunan dalam loyang / bekas yang sesuai dan tekankan sedikit hingga rata.
Keraskan sebentar dengan menyimpan base ini di dalam peti sejuk selama 15-30 minit.
3. Masak Cream Cheese
Sementara itu, campurkan cream cheese, gula kastor, dan krim oreo ke dalam periuk dan masak dengan api perlahan.
Sentiasa kacau sampai ia mencair dan masukkan esen vanila.
4. Tambahkan Gelatin
Seterusnya, bancuhkan gelatin bersama susu suam hingga gelatin tak berketul-ketul lagi.
Masukkan bancuhan ini ke dalam periuk berisi cream cheese tadi. Teruskan masak hingga mendidih dan angkat.
5. Tuangkan Ke Atas Base
Kemudian, boleh keluarkan base tadi dari peti sejuk dan tuangkan cream cheese tadi di atasnya. Ratakan.
Bolehlah taburkan sedikit biskut oreo hancur atau serbuk coklat atau apa-apa topping yang dirasakan sesuai.
6. Sejukkan
Akhir sekali, simpankan dalam peti sejuk selama 4 jam untuk hasil yang memuaskan.
Inilah Hasilnya
Nampak sedap, kan?
Memang simple sangat cara membuatnya. Cuma mungkin ada yang terfikir boleh ke kalau tak letak gelatin sebab takut ada yang tak jumpa cari.
Bagi saya, boleh kalau tak letak gelatin cuma mungkin ia cepat lembek bila dibiarkan berada dalam suhu bilik. Tapi rasanya tak ada masalah sebab anda boleh simpan dalam peti sejuk untuk mengekalkan kesedapan kek oreo cheese ini. Bila nak makan, baru keluarkan. Kalau guna gelatin, teksturnya mungkin lebih kental dan pekat supaya ia boleh bertahan lebih lama dalam suhu bilik.
Jadi apa lagi, bolehlah save resepi ini untuk dijadikan hidangan pencuci mulut istimewa untuk keluarga dan rakan-rakan nanti. Mesti sedap makan ramai-ramai.
Selamat mencuba!
*Resepi kek oreo cheese ini disumbangkan oleh Puan Yuana Mansor menerusi Facebook. Ia disunting dan diterbitkan semula dengan kebenaran. Untuk sebarang pertanyaan, boleh rujuk post asal beliau di SINI.