“Aduh, sakitlah kaki saya ni bang… Tolong picit sikit boleh tak? Rasa lenguh-lenguh, sakit lutut, bisa pinggang semua ada…”
Mesti kaum lelaki selalu dengar isteri mengadu sakit lutut ketika hamil kan?
Tapi jangan pula perli isteri kata sakit kaki dan sakit badan ni penyakit orang tua saja tau.
Tahukah Encik Suami, isteri anda juga biasanya akan mengalami sakit kaki, pinggul, lutut, dan pergelangan kaki ketika hamil?
Ada banyak sebab yang menjadikan para isteri mudah terkena sakit lutut ketika hamil ini.
Jom ketahui puncanya di bawah.
5 Punca Sakit Lutut Ketika Hamil Yang Suami Kena ‘Alert’
1. Peningkatan Berat Badan Ketika Hamil
Pertambahan berat badan yang sihat penting untuk menjamin pertumbuhan bayi yang semakin membesar.
Berat badan yang semakin bertambah sepanjang kehamilan akan meningkatkan tekanan pada sendi kaki, pinggul, lutut, dan pergelangan kaki walaupun hanya melakukan aktiviti biasa seperti berjalan atau naik tangga.

Foto Kredit: earlypregnancy.net
2. Meningkatnya Hormon Kehamilan
Menurut Steven Stuchin, doktor perubatan di NYU Hospital for Joint Diseases in New York City menerusi Everyday Health, ketika ibu sudah masuk ke trimester ketiga, maka hormon kehamilan lebih banyak dihasilkan untuk bahagian ligamen pinggul dan tendon bagi mempersiapkan proses kelahiran.
Ketika hormon ini dirembeskan, ia akan turut mempengaruhi bahagian ligamen dan tendon pada lutut, di mana bahagian tempurung lutut mungkin akan sedikit ‘lari’ daripada kedudukan asalnya.
Keadaan ini boleh menyebabkan sakit lutut ketika mengandung yang kerap dialami dan kadangkala memicu kekejangan pada kaki.
3. Edema / Water Retention
Ketika mengandung ramai wanita akan mengalami masalah bengkak kaki, terutamanya pada buku lali dan tapak kaki yang disebabkan oleh water retention atau edema.
Sakit lutut ketika hamil boleh berlaku kerana badan ibu mengandung menyimpan lebih banyak cecair daripada biasa.
Menurut BabyCenter, apabila bayi semakin membesar, tekanan akan menjejaskan salur darah besar yang menerima darah daripada anggota badan bahagian bawah.
Tekanan yang diterima ini menyebabkan peredaran darah di bahagian itu menjadi perlahan dan mengakibatkan darah terkumpul.
Seterusnya, tekanan daripada darah yang terkumpul ini memaksa air turun dan keluar melalui salur darah kecil (kapilari) masuk ke dalam tisu-tisu pada tapak kaki dan buku lali.
Ibu mengandung mungkin akan mendapati kebengkakan ini lebih teruk pada waktu petang dan malam, dan lega sedikit pada waktu pagi setelah anda tidur sepanjang malam.
Jadi sebab itulah suami kena faham kenapa isteri selalu mengadu sakit kaki, terutamanya waktu malam.
4. Perubahan Postur Fizikal
Akibat perubahan fizikal yang berlaku pada ibu mengandung, ibu juga perlu membiasakan diri dengan postur yang betul bagi membolehkan beban yang ditanggung tidak tertumpu kepada satu-satu bahagian saja.
Jadi, jika ibu mengandung mengubah cara anda berjalan yang disebabkan oleh sakit pada kaki atau pinggul anda, perubahan cara berjalan ini dapat mengurangkan sakit pada kaki atau pinggul dengan mengalih tekanan berat badan tersebut dan mengagihkannya ke seluruh badan.
BACA JUGA : 6 Penyebab Sakit Punggung & Tulang Ekor Ketika Mengandung
5. Kekurangan Kalsium
Menurut portal MyHealth, kalsium amat penting sepanjang kehamilan bagi mengelakkan kekejangan otot kaki ibu.
Pengambilan kalsium yang tidak mencukupi atau terlalu minimum akan mengganggu peredaran yang lancar sekaligus menyebabkan rasa sakit lutut ketika mengandung, kebas, sakit sendi dan kram.
Selain itu juga, kekurangan kalsium ketika mengandung boleh menjadi punca daya ingatan yang semakin teruk (jadi pelupa), menimbulkan sakit kepala dan mudah letih.
Jadi, semak balik cara pemakanan dan pastikan ibu mengambil sumber kalsium secukupnya ketika hamil ya!
BACA JUGA : 7 Makanan Dengan Kalsium Lebih Tinggi Berbanding Susu. Kalau Loya, Cubalah!
Cara Mengatasi Sakit Lutut Ketika Hamil
Terdapat beberapa jenis rawatan sakit lutut yang boleh dibuat di rumah bertujuan mengurangkan sakit seperti:
- Urutan
- Rehat yang cukup.
- Tuaman dengan pad suam juga dapat membantu memberi kelegaan pada bahagian kaki yang sakit atau bengkak.
- Melakukan senaman regangan yang sesuai
- Mengambil makanan kaya omega-3 dan kalsium seperti keju, susu rendah lemak, sayuran hijau, oats, buah, dan telur.
Bukan Saja-saja Nak ‘Bermanja’, Suami Kena Faham Ya
Memang banyak perubahan yang berlaku dalam tempoh 9 bulan kehamilan kan?
Disebabkan faktor-faktor yang diterangkan tadi, diharap para suami lebih memahami kenapa isteri selalu mengadu lenguh, sakit badan, bisa pinggang dan sakit lutut ketika mengandung.
Semua ini tentunya akan memberi kesan fizikal malah kesan terhadap mental ibu mengandung.
Suami adalah teman paling dipercayai dan tempat mengadu yang paling diperlukan oleh isteri.
Jadi, rajin-rajinlah picit isteri ketika mengandung ya. Anda tentu akan jadi suami paling sweet sekali sebab sentiasa sabar dan cuba memahami keadaan isteri!