Famili

Pelaporan 100 hari beri impak, manfaatkan rakyat!

370
SHARES

Kerajaan membuktikan pelaporan 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) bukan sesuatu yang diperbesar-besarkan, sebaliknya memberi impak dan manfaat kepada rakyat berdasarkan enam teras yang ditetapkan di bawah AKM.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pencapaian berkenaan tidak akan terhenti setakat itu saja, malah kerajaan akan terus bekerja bersama rakyat melalui pelan jangka masa sederhana bagi tempoh enam bulan dan sasaran jangka panjang.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hadir pada Perasmian 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. – fotoBERNAMA

Pelbagai Kejayaan Telah Dicapai!

Antara kejayaan yang dicapai termasuk pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK); peningkatan tiga peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, berbanding penguncupan 6.4 peratus dalam tempoh yang sama tahun lalu dan kadar pengangguran yang berkurangan kepada 4.3 peratus pada Oktober lalu, berbanding kemuncak 5.3 peratus pada Mei tahun lalu.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (hadapan, tiga, kanan) bersama para Jemaah Menteri pada Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Hubungan Diplomatik Dapat Diperkukuhkan!

Selain itu, pengukuhan keselamatan negara menerusi Op Benteng, merapatkan hubungan diplomatik dengan ASEAN dan negara lain serta memperkasa kesejahteraan sosial Keluarga Malaysia melalui Bantuan Keluarga Malaysia (BKM), pelancaran Yayasan Keluarga Malaysia dan pelbagai inisiatif di bawah Bajet 2022.

“Pelaporan pencapaian 100 hari AKM ini penting dalam menentukan hala tuju dan momentum kerajaan untuk mencapai matlamat supaya Keluarga Malaysia dapat menikmati kehidupan yang lebih baik.

“Dengan iktikad menjaga Keluarga Malaysia, setiap perancangan kerajaan berpaksikan kesejahteraan rakyat supaya terpelihara, seperti sebuah keluarga,” katanya berucap merasmikan program 100 Hari AKM di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Yang turut hadir pada majlis itu, barisan Menteri Kabinet dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Perdana Menteri berkata, kerajaan peka terhadap keluhan rakyat, terutama peningkatan harga barang mendadak, justeru segera mengambil tindakan mengawal harga dengan memperkenalkan skim kawalan harga maksimum barang keperluan.

“Jualan Murah Keluarga Malaysia diadakan di setiap kawasan Parlimen bermula 4 Disember lalu.

“Kerajaan juga meluluskan RM262 juta sebagai insentif tambahan untuk mengurangkan tekanan yang dihadapi para petani.

“Dengan mengambil kira analisis sentimen rakyat yang dilaksanakan terhadap Ahli Jemaah Menteri dan kementerian, setiap pandangan dan luahan rakyat mesti didengari dan diambil kira untuk menambah baik sistem penyampaian dan perkhidmatan kerajaan.

“Inilah janji saya kepada Keluarga Malaysia,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berucap pada Perasmian 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini. – Foto BERNAMA

Banyak Peluang Boleh Ditawarkan!

Selain itu, beliau memaklumkan, 24,300 peluang pekerjaan membabitkan 75 majikan ditawarkan melalui Karnival Kerjaya di program 100 Hari AKM berkenaan yang berlangsung selama empat hari, bermula hari ini.

Bagi mencapai kestabilan politik, Perdana Menteri berkata, Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) amat penting yang turut bertujuan memulihkan ekonomi negara dan kesihatan awam.

“Pemeteraian persefahaman itu melakar sejarah baharu kepada negara.

“Ia meletakkan negara dan rakyat melangkaui kepentingan politik kepartian, bak kata pepatah, elok kata dalam muafakat, buruk kata di luar muafakat,” katanya.

INFO:

Enam teras 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia

  • Menstruktur semula ekonomi
  • Menjamin keselamatan dan ketenteraman negara
  • Meningkatkan kesejahteraan sosial
  • Mempertingkat infrastruktur menyeluruh
  • Memperkukuh penyatuan dalam acuan Keluarga Malaysia
  • Memperkasa penyampaian perkhidmatan.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×