Sihat

Pegawai Farmasi Jelas Kenapa Mak Ayah Kena Tahu Berat Badan Anak Sebelum Ambil Ubat

96
SHARES

“Berapa berat anak puan ye?”

“Alamak, tak ingat lah..hmm…”

Sedar atau tidak jika anda berkunjung ke farmasi, ahli farmasi akan bertanyakan berat badan anak anda? Amat penting untuk ibu bapa sering ‘update’ tentang berat badan anak-anak kerana ini akan menentukan jenis dan keselamatan ubat yang diambil di farmasi untuk mereka. Untuk penjelasan yang lebih jelas, salah seorang pegawai farmasi berkongsikan di laman Facebooknya untuk ibu bapa mendapat gambaran mengapa berat badan anak adalah penting ketika mengambil ubat di farmasi.

KENAPA FARMASI SELALU TANYA BERAT ANAK

“Berat anak akak berapa ya?”, farmasis bertanya di kaunter.. Ubat si anak kecil sudah tersedia dah.

“Errr, sorry cik, tak tahu..”

“Hmmm, belum timbang lagi..”

“Haaa, dalam 5 kilo kot..”

“Entah lah cik.. Dah lama tak timbang berat anak..”

Ini adalah situasi yang sangat biasa kat mana-mana kaunter farmasi. Meh abam farmasis terangkan. Mula-mula sekali kita kena tahu.. Ubat-ubat dekat dunia ni ada macam-macam dan jenama. Yang membezakan adalah bahan aktif atau kandungan dalam ubat tersebut.

Tuan/Puan boleh klik kat gambar ke-3 yang abam sertakan ini..

Dekat situ, Bahagian Perkhidmatan Farmasi KKM dah senarai kan apakah bahan aktif atau kandungan dalam ubat yang tak sesuai untuk kita nak bagi pada anak-anak bawah 2 tahun. Sekarang, tuan/puan boleh klik pula kat gambar pertama dan gambar ke-2 yang abam sertakan ini. Ada beberapa contoh ubat yang selalu ada kat klinik atau hospital. Dan nampak tak apa yang abam bulatkan itu?

Yang abam bulatkan itu adalah kepekatan ubat. Alaa, macam kita buat air milo.. Bubuh berapa sudu susu.. Berapa sudu serbuk milo.

Macam tu lah ubat-ubat yang ada kat dunia ni.. Bezanya, ubat-ubat ini disediakan oleh kilang-kilang ubat berdasarkan kiraan atau isipadu bahan yang berbeza-beza sehingga boleh tertera nilai kepekatan ubat itu. Sekarang, kita kena ingat.. Kalau solat pun ada rukun.. Ubat juga ada rukunnnya.. Dua sahaja rukun ubat iaitu selamat dan berkesan.

Macam mana nak tahu ubat tu SELAMAT dan BERKESAN atau tak?

Jawapannya adalah DOS UBAT. Terkurang dos adalah ubat tak boleh bekerja sepenuhnya untuk bagi rawatan yang berkesan pada pesakit (KURANG BERKESAN). Terlebih dos adalah ubat akan memberi kesan sampingan yang lebih tinggi sekaligus membahayakan pesakit (TAK SELAMAT)

Maka, yang farmasis duk tanya berat anak tu sebab kami nak pastikan dos yang selamat dan berkesan kepada anak-anak tuan/puan semua. Dengan hanya tahu berat badan anak, baru kita boleh tahu apakah dos yang selamat dan berkesan untuk dibagi pada si anak itu. Contoh, berat badan anak kecik yang berusia 6 tahun adalah 21 kg. Anak kecil ni nak dibagi Sirap Paracetamol yang mempunyai nilai kepekatan 120MG/5ML.

Maksudnya, untuk dos 120 MG, si anak kena minum sukatan 5 ML. Sekarang, dos yang selamat dan berkesan bagi ubat Paracetamol adalah 15MG/KG. Maksudnya, 1 KG berat memerlukan dos sebanyak 15 MG..

1 KG = 15 MG

21 KG = ? MG

Selepas farmasis bermain matematik bertemankan kalkulatornya, barulah kita tahu si anak yang berat nya 21 KG itu tadi sebenarnya memerlukan 315 MG dos Paracetamol sebagai dos yang selamat dan berkesan itu. Masih ingat dengan kepekatan ubat yang abam bulatkan itu? 120MG/5ML..

120 MG = 5 ML
315 MG = ? ML

Setelah dihitung dan dicongak, akhirnya farmasis tahu yang si anak perlu minum sukatan Sirap Paracetamol sebanyak 13 ML. Nah, mak ayah pun diberitahu, “Anak Puan kena minum ubat demam ini sebanyak 13 ML.. Sila minum BILA PERLU sahaja.. Jangan lebih 4 kali sehari..” Nampak tak betapa penting nya mak ayah untuk sentiasa tahu dan update berat badan anak.  PENTING! Sebab ia melibatkan nyawa dan keselamatan anak anda sendiri. Akhir kata, mak ayah dah boleh beli penimbang dan simpan di rumah. Bukan untuk misi diet sahaja, tetapi juga untuk anak-anak anda. Sekian.

Faiz Akmal Mfa
Farmasis Kaunseling,
Klinik Kesihatan Air Tawar 2,
Kota Tinggi, Johor.

Sumber : Faiz Akmal Mfa

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×