Sihat

Pakar Kongsi 12 Sumber Makanan Untuk Atasi Demam, Batuk & Selsema

536
SHARES

Biasanya jika demam, batuk dan selsema pasti anda akan mendapatkan rawatan doktor supaya dapat sembuh dengan cepat dan boleh melakukan kerja seperti sedia kala. Selain ubat, anda juga boleh menggunakan sumber makanan seperti bawang putih, bawang merah, nanas dan sebagainya.

Di bawah kami kongsikan penulisan Dr Suri Roowi 12 sumber makanan boleh bantu atasi demam, batuk dan selsema. Nak tahu cara-caranya? Ikuti perkongsian lanjut di bawah.

PAKAR KONGSI 12 SUMBER MAKANAN UNTUK ATASI DEMAM, BATUK & SELSEMA

Memandangkan cuaca agak tidak menentu sekarang ini, di sini saya kongsikan tips alami untuk membantu masalah demam, batuk dan selsema.

Caranya adalah:

1. Minum air bawang putih. Bawang putih ada bahan Allicin, boleh membantu masalah demam, sakit tekak dan selsema.

Untuk mendapatkan khasiat yang banyak, bawang putih perlu dihancurkan atau dipotong-potong, seterusnya dibiarkan selama 10 minit, agar enzim dapat bertindak balas dan menghasilkan bahan berkhasiat Alicin. Selepas itu barulah ditambah air suam. Sebaiknya diambil bersama madu.

2. Halia adalah herba popular untuk bantu rawat batuk. Caranya adalah dengan hancurkan halia dan direbus. Jus lemon dan madu boleh ditambah. Pastikan madu asli. Cara lain adalah dengan kemam halia yang telah dibuang kulit untuk bantu kurangkan batuk.

3. Nanas mengandungi enzim bromelain. Enzim ini bantu cairkan kahak dan kurangkan batuk.

4. Minum madu asli. Madu asli sangat membantu masalah sakit tekak dan batuk. Terdapat kajian menunjukkan ia lebih berkesan berbanding ubat moden yang mengandungi dextromethorphan.

5. Minum yoghurt atau madu kelulut. Lactobacillus adalah bakteria baik yang boleh membantu sistem penghadaman dan masalah batuk. Bakteria baik ini banyak dalam yoghurt dan kajian terkini menunjukkan lactobacillus banyak juga dalam madu kelulut.

6. Terdapat juga kajian menunjukkan kombinasi madu dan kopi boleh bantu kurangkan batuk. Pastikan guna madu asli ya.

7. Limau nipis dan lemon membantu merawat batuk dengan mengurangkan radang. Kulit limau tinggi bahan berkhasiat neohesperidin berbanding jus. Caranya adalah dengan menambahkan madu asli pada kulit limau yang dihancurkan dan ditambahkan jus. Minum sedikit-sedikit sehingga sembuh. Limau nipis lebih berkesan berbanding kasturi untuk masalah batuk.

8. Bawang merah adalah antara sumber yang mudah didapati untuk bantu kurangkan batuk. Caranya adalah dengan memotong dan hidu bau bawang tersebut.

9. Bahan meruap mint (Mentha piperita) juga boleh bantu kurangkan batuk. Caranya adalah dengan meminum teh mint, tetapi sebelum itu perlu hidu wap nya kerana bahan aroma boleh bertindak sebagai antibakteria/antivirus

10. Kunyit secara semulajadinya mengandungi bahan kurkumin. Ia juga membantu kurangkan batuk terutamanya jenis batuk tanpa kahak. Caranya adalah ambil sedikit kunyit bersama madu dan diminum.

11. Kumur-kumur dengan air garam – disediakan dengan melarutkan sesudu garam dengan secawan air suam.

12. Rendam 1 atau 2 kayu manis dalam segelas air panas dan minum sedikit-sedikit. Kayu manis juga membantu masalah diabetis.

Selamat mencuba dan dapatkan nasihat doktor sekiranya demam, batuk dan selsema berlarutan.

Sumber: Facebook Dr Suri Roowi

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×