Famili

Orang Sekarang Biasa Buat Silap Dalam Kewangan? Lihat Apa Kata Mereka Yang Berpengalaman

623
SHARES

Pernah dengar ungkapan “kehidupan sebenar bermula pada angka 30”? Bagi anda yang sudah mencecah umur 30 tahun, sudah pasti memahami maksud tersirat di sebalik ungkapan ini.

Ketika mula berusia 30 tahun, sikap perlu lebih matang, terutama hal kewangan. Maklumlah ada yang bakal menempuhi alam perkahwinan, menimang cahaya mata, buat keputusan beli rumah baru dan akhirnya bersara nanti.

Ramai individu yang kecundang ke lembah hutang gara-gara tiada pengetahuan tentang pengurusan kewangan yang betul. Di manakah silapnya? Lihat perkongsian di bawah.

“Kesilapan terawal ialah tiada perancangan kewangan” -Dr. Irwan

Dr. Muhammad Irwan Ariffin merupakan seorang pensyarah dalam bidang ekonomi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau mula berkhidmat di UIAM pada tahun 2004 sehingga kini.

Lebih mesra dipanggil Dr. Irwan, beliau cukup risaukan trend orang sekarang yang masih tiada perancangan kewangan demi masa depan. Antara kesilapan yang biasa dibuat ialah..

Tidak mencatat pendapatan dan perbelanjaan pada setiap bulan

Ini kesilapan paling utama dalam kewangan. Kena rajin ya semua. Jika anda tidak buat catatan pendapatan dan perbelanjaan pada setiap bulan, anda takkan tahu ke mana wang dihabiskan.

#Tips: Lebih elok kalau anda rekod setiap perbelanjaan pada jangka waktu tertentu iaitu perbelanjaan tahunan, bulanan, mingguan, dan harian.

Tidak buat perancangan keperluan pendidikan anak

Tahukah anda kos pengajian tinggi bakal meningkat dalam tahun mendatang? Kenalah buat simpanan untuk masa depan anak sejak mereka lahir. Takut anda terpaksa guna simpanan persaraan sebelum anda bersara pula.

#Tips: Pastikan ada tabungan untuk persaraan di hari tua dan tabungan masa depan pendidikan anak-anak. Jumlah sedikit tidak mengapa, yang penting berterusan.

Terpengaruh dengan iklan peluang jadi kaya di media sosial

Sekarang banyak iklan dan perkongsian di media sosial tentang peluang jadi kaya. Ayat yang digunakan untuk mempengaruhi orang ramai biasanya kaya dalam masa singkat dan tanpa usaha keras. Jangan terpengaruh!

#Tips: Ternampak iklan peluang jadi kaya lalu di timeline dalam media sosial? Abaikan saja. Ingat kalau mahu tambah pendapatan, harus bekerja keras.

“Tidak tahu bezakan keperluan dan kehendak” -Dr. Azira

Pelajar di Universiti Utara Malaysia (UUM) mesti kenal Dr. Azira yang mula berkhidmat di UUM pada tahun 2000 sebagai tutor dan menjadi pensyarah dalam bidang kewangan bermula pada tahun 2003.

Dikenali sebagai pensyarah yang peramah dan sporting di kalangan pelajar, Dr. Azira selalu beri tips kewangan yang berguna di dalam kelas. Tambahan beliau, ini antara kesilapan yang biasa dibuat oleh orang sekarang dalam mengurus kewangan.

Buat pinjaman peribadi untuk gaya hidup mewah

Ada yang buat pinjaman peribadi untuk beli telefon pintar dan barangan berjenama. Beli kereta untuk menunjuk-nunjuk. Sanggup beli kereta mahal, tidak sepadan dengan gaji yang diterima. Semua itu tidak perlu sebenarnya.

#Tips: Benda tak perlu, jangan buat pinjaman. Lebih-lebih lagi dari syarikat pinjaman wang berlesen atau kredit komuniti kerana faedah tinggi, iaitu 18% setahun.

Tiada simpanan peribadi untuk kecemasan

Kalau masih tiada simpanan peribadi untuk kecemasan, baik buat sekarang. Takut ada kes kecemasan nanti, anda terpaksa meminjam dengan orang lain. Paling bimbang ada yang terjebak dengan pinjaman ‘Ah Long’ kerana terdesak. Jangan sesekali!

#Tips: Setiap kali dapat gaji atau pendapatan, simpan dahulu, selebihnya baru gunakan untuk berbelanja.

Salah guna kad kredit

Kad kredit sebenarnya tidak bersalah, yang salah apabila salah guna kad kredit. Nampak seronok dan mewah tapi ramai tidak faham kadar faedah kad kredit adalah 15-18% setahun. Anda tidak akan perasan dah ternak hutang-hutang jahat.

#Tips: Elakkan membuat bayaran minimum dan cuba bayar penuh bagi setiap amaun yang digunakan.

Tidak mengambil berat hal insurans

Ramai yang selalu abaikan peluang untuk memiliki insurans nyawa pada harga premium rendah yang melindungi kecacatan, kemalangan dan kesihatan. Tanpa perlindungan yang mencukupi hidup anda amat berisiko.

#Tips: Mula ambil insurans atau takaful pada usia muda kerana badan masih sihat. Anda hanya perlu bayar premium pada kadar rendah.

Buat pelaburan yang berisiko tinggi

Sesetengah pelaburan tawarkan pulangan yang tinggi. Inilah pelaburan berisiko tinggi yang ramai tidak tahu. Sampaikan terjebak dengan skim pelaburan palsu yang mengakibatkan kerugian beribu-ribu ringgit!

#Tips:Melabur di pelaburan berisiko rendah seperti saham amanah kerajaan, simpan di akaun simpanan tetap atau Tabung Haji bagi yang beragama Islam. Buat pelaburan emas yang ditawarkan oleh institusi perbankan yang dikawal selia oleh BNM.

Melengahkan simpanan untuk persaraan

Sekarang anda mungkin fikir waktu persaraan masih jauh lagi. Tetapi umur kita akan semakin meningkat. Jangan berlengah. Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan.

Ramai yang hilang pekerjaan semasa pandemik dan mulakan perniagaan sendiri. Tapi masih ramai yang tak tahu mereka boleh masukkan wang ke dalam akaun KWSP mereka sendiri dan boleh menambah nilai KWSP mereka sendiri dengan mudah melalui i-Saraan.

Oleh itu, anda hendaklah berusaha untuk memulihkan semula dana simpanan demi masa depan persaraan anda. Hal ini supaya anda dapat jalani kehidupan persaraan yang lebih baik.

#Tips: Mulakan simpanan di awal usia 20-an. Duit yang disimpan pada masa itu akan jadi lebih bernilai apabila mencecah usia 40-an nanti. Kalau nak tambah caruman, boleh maklumkan pada pihak HR. Jika anda sudah mencarum 11%, majikan anda akan mencarum 12%. Jika seseorang individu boleh menambah 1-2% lagi, ini bermakna setiap bulan anda akan menyimpan 25% daripada gaji anda.

Semoga info yang dikongsikan kali ini berguna agar anda tidak mengulangi kesilapan yang sama. Jika pengurusan kewangan lebih teratur, maka lebih tenanglah persaraan anda pada masa depan.

Walau apa pun matlamat anda, menyimpan dan merancang kewangan untuk persaraan adalah idea yang bijak. Mulakan dari sekarang!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×