Seramai 101 murid keracunan makanan selepas makan makanan di kantin di Sekolah Kebangsaan (SK) Chepor. Kantin sekolah tersebut diarahkan tutup selama 14 hari sehingga 8 Oktober depan.
Menurut Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Feisul Idzwan Mustapha, penutupan kantin itu dibuat mengikut Seksyen (11) Akta Makanan 1983.
Baca juga: Jangan Simpan Makanan Dalam Peti Ais Sampai Lebih Waktu Ini, Nanti Tak Sedap!
101 MURID KERACUNAN MAKANAN SELEPAS MAKAN DI KANTIN SEKOLAH
Siasatan awal mendapati bahawa kejadian keracunan makanan itu berpunca daripada minuman bancuhan berperisa coklat dan ayam goreng yang disediakan di dapur kantin tersebut.
“Pada 24 September lalu, murid mengadu bahawa minuman berperisa coklat yang dijual berbau masam semasa diminum. Ayam goreng pula, didapati tidak dimasak dengan sempurna.
“Sebahagian daging ayam juga dilaporkan masih mentah. Berdasarkan gejala yang ditunjukkan mangsa dan tempoh inkubasi, disyaki agen yang menyebabkan keracunan ini adalah Salmonella spp,” jelasnya.
Pemeriksaan yang dilakukan di premis kantin SK Chepor semalam mendapati bahawa premis makanan tersebut adalah tidak memuaskan dengan tahap rating 67.9 peratus sahaja.
Murid keracunan makanan itu membabitkan 50 perempuan dan 51 lelaki menunjukkan gejala muntah, cirit, sakit perut dan demam.
Seorang murid juga dimasukkan ke wad kanak-kanak Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, untuk rawatan dan stabil. Seramai 62 murid lagi menerima rawatan sebagai pesakit luar di klinik kesihatan dan klinik swasta yang berhampiran dengan kawasan rumah masing-masing.
“Baki pelajar lain didapati hanya mengalami simptom ringan dan berehat di rumah masing-masing,” katanya.
Bagi penilaian lanjut, beliau berkata, 10 sampel klinikal diambil dalam kalangan pelajar yang bergejala dan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam, Ipoh (MKAI) semalam, untuk dianalisis.
Baca juga: Cara Buat Tuntutan Kerosakan Kenderaan Akibat Jalan Rosak, Rugi Kalau Tak ‘Claim’!
Sumber: Harian Metro