Hebahan

Media Prima Berhad Lantik Dato’ Iskandar Mizal, Pengarah Urusan Kumpulan Baharu

64
SHARES

Hari ini, 28 Febuari 2020, Media Prima Bhd (Media Prima) telah umumkan Datuk Kamal Khalid bakal tamatkan perkhidmatannya sebagai Pengarah Urusan Kumpulan pada 31 Mac 2020 ini. Susulan dengan itu, Dato’ Iskandar Mizal Mahmood telah dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan, Media Prima Berhad berkuat kuasa 1 April 2020.

MEMEGANG TANGGUNGJAWAB SEJAK 2009

Datuk Kamal telah diberikan tanggungjawab dan memegang amanah sejak 2009. Antara jawatan yang pernah dipegang adalah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima; Ketua Pegawai Operasi, Perkhidmatan Perkongsian Kumpulan; Ketua Pegawai Operasi, Pembangunan Perniagaan dan Antarabangsa dan Ketua, Pengedaran Kandungan.

TELAH BANYAK BERJASA UNTUK MEMULIHKAN KORPORAT

Lembaga Pengarah Media Prima (“Lembaga Pengarah”) mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan di atas kepemimpinan, dedikasi dan sumbangan Datuk Kamal. Datuk (Dr) Syed Hussian Aljunid, Pengerusi Kumpulan, Media Prima berkata:

“Datuk Kamal telah berkhidmat hampir 11 tahun dan beliau amat berdedikasi dalam menerajui syarikat semasa keadaan yang begitu mencabar dalam sejarah Media Prima. Biarpun menghadapi lanskap media yang sering berubah dan semakin berfragmentasi, Datuk Kamal telah memberikan bimbingan yang tidak ternilai kepada pasukan pengurusan, melancarkan beberapa inisiatif perniagaan baru dan bekerjasama rapat dengan Lembaga Pengarah bagi menangani cabaran-cabaran. Pada masa yang sama mengekalkan piawaian tadbir urus yang tinggi. Kami mengucapkan yang terbaik untuk masa depan beliau.”

Datuk Kamal berkata:

“Saya percaya ini merupakan masa yang terbaik untuk memberi ruang kepada tenaga kepemimpinan baru untuk meneruskan kemajuan yang telah dicapai oleh Kumpulan menerusi fasa pertama pelan transformasi perniagaan. Ia merupakan satu penghormatan kerana diberi peluang untuk bekerja dengan Lembaga Pengarah dan rakan-rakan sekerja, yang kesemuanya telah memberikan sumbangan yang besar kepada kejayaan Media Prima selama ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih di atas sokongan mereka. Saya bersyukur meninggalkan Media Prima dalam tangan pasukan pengurusan yang mantap untuk meneruskan transformasi ini. Saya mengucapkan yang terbaik untuk mereka.”

DATO’ ISKANDAR SEBAGAI PENGARAH URUSAN KUMPULAN YANG BARU

Kumpulan telah mengumumkan pelantikan Dato’ Iskandar Mizal bin Mahmood sebagai Pengarah Urusan Kumpulan, Media Prima Berhad berkuat kuasa 1 April 2020. Beliau menyertai Media Prima sebagai Pengarah Eksekutif Kumpulan pada 1 Oktober 2019.

Dato’ Iskandar berpengalaman lebih 30 tahun dengan pelbagai syarikat, daripada syarikat multinasional hingga ke syarikat berkaitan kerajaan, meliputi sektor perbankan pelaburan hingga ke sektor teknologi. Beliau akan membawa pengalaman bersamanya untuk membantu Kumpulan dalam inisiatif transformasi syarikat dan pemulihannya. Beliau kini juga adalah ahli Lembaga Pengarah di Theta Edge Berhad dan Globetronics Technology Berhad.

SEORANG YANG BERPENDIDIKAN & BERPENGALAMAN

Dato’ Iskandar berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Boston, Amerika Syarikat, pengkhususan dalam bidang Perakaunan. Dato’ Iskandar telah memegang beberapa jawatan dan portfolio. Pihak Lembaga Pengarah berasa gembira di atas penerimaan jawatan Pengarah Urusan Kumpulan oleh Dato’ Iskandar.

Pihak Lembaga Pengarah berasa gembira di atas penerimaan jawatan Pengarah Urusan Kumpulan oleh Dato’ Iskandar. Datuk (Dr) Syed Hussian Aljunid berkata:

“Dato’ Iskandar merupakan seorang pemimpin yang berpengalaman dan berbakat yang bakal memberi sumbangan besar kepada Kumpulan. Kami menjangkakan peralihan kepemimpinan yang lancar, berdasarkan pengetahuan beliau dalam industri media dan juga setelah berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif Kumpulan di Media Prima. Kami yakin Dato’ Iskandar akan meneraju Media Prima ke tahap baru kejayaan operasi dan prestasi kewangan. Tidak kurang penting juga, Lembaga Pengarah percaya pelantikan ini akan meneruskan kesinambungan usaha transformasi Media Prima dalam menjadi syarikat kandungan pertama-digital dan perdagangan.”

Datuk Kamal menambah:“Saya menaruh keyakinan terhadap pelantikan Dato’ Iskandar. Sifat kepemimpinan, pengetahuan dan hubungan semasa beliau dengan Lembaga Pengarah dan pengurusan kanan akan membolehkan beliau menyesuaikan diri dengan lancar ke dalam portfolio barunya. Saya akan memberikan yang terbaik bagi membantu beliau semasa tempoh peralihan ini.”

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×