Sponsored Post

Malaysia Pimpin Sidang Digital ASEAN 2025: Kepercayaan, Inovasi & Keselamatan Jadi Fokus Utama

Sidang Kemuncak Digital Nation ASEAN 2025 yang berlangsung di Kuala Lumpur hari ini membuka tirai dengan membawa satu mesej jelas iaitu masa depan digital Asia Tenggara perlu dibina atas kepercayaan, inovasi dan kerjasama serantau.

Malaysia sebagai tuan rumah edisi pertama ini menerima kunjungan pemimpin kerajaan, penggubal dasar, penggiat industri dan rakan strategik dari seluruh ASEAN.

Persidangan ini dianjurkan oleh GSMA, sebuah badan antarabangsa dalam industri mudah alih, dan dilihat sebagai salah satu langkah penting ke arah membina ekosistem digital yang mampan dan selamat untuk semua.

Digital Bukan Lagi Pilihan, Tapi Keperluan

Kredit: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia

Menurut Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching, yang menyampaikan ucapan perasmian, transformasi digital bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan bagi semua negara ASEAN.

“Malaysia percaya bahawa masa depan digital hanya boleh dicapai dengan adanya kepercayaan. Tanpa kepercayaan, tidak akan wujud penyertaan yang aktif daripada rakyat atau sektor swasta,” jelas beliau.

Malaysia, katanya, komited untuk menjadi peneraju dalam menjayakan pelan digital ASEAN, termasuk menyumbang kepada pembangunan dasar serantau dan memperkukuh keselamatan digital.

Ancaman Siber & Scam Semakin Serius Di Rantau Ini

Salah satu isu besar yang dibincangkan ialah peningkatan kes jenayah siber dan penipuan dalam talian (scam). Data yang dibentangkan agak membimbangkan:

  • Kos purata pelanggaran data di ASEAN melebihi USD 3 juta

  • 1 daripada 2 rakyat Asia mengalami scam setiap bulan

  • Kerugian scam di Asia mencecah USD 688.4 bilion pada 2024

Sebagai respons, Malaysia telah menggubal Akta Keselamatan Siber 2024 dan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025, selain meminda Akta Komunikasi & Multimedia yang sudah lebih dua dekad tidak dikemaskini.

Kempen kesedaran juga giat dijalankan. Setakat ini, lebih 150,000 rakyat Malaysia, termasuk pelajar, ibu bapa dan komuniti luar bandar telah menerima pendedahan tentang keselamatan dalam talian.

Inovasi Sebagai Pemacu Ekonomi Serantau

Selain soal keselamatan, persidangan ini turut memberi tumpuan kepada inovasi sebagai enjin pertumbuhan ekonomi digital ASEAN. Ekonomi digital rantau ini kini bernilai sekitar USD 300 bilion, dan dijangka melonjak kepada USD 1 trilion menjelang 2030.

Antara inisiatif utama Malaysia yang diketengahkan termasuk:

  • Geran Digital PMKS Madani – bantu lebih 38,000 perniagaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi dana RM89.6 juta

  • Liputan internet 4G dan 5G – 4G capai 98.8% kawasan berpenduduk, 5G pula kini pada 82.4%

  • Projek NADI – lebih 1,000 pusat komuniti dilengkapi internet dan latihan ICT, termasuk di kawasan pedalaman seperti Pulau Banggi

Malah, Projek NADI turut meraih pengiktirafan antarabangsa menerusi Anugerah WSIS 2025 yang mengiktiraf sumbangan Malaysia dalam merapatkan jurang digital.

Digital Untuk Semua, Bukan Sekadar Bandar & Elit

Apa yang lebih penting, menurut YB Teo, ialah memastikan inovasi digital tidak hanya memberi manfaat kepada golongan bandar dan berpendapatan tinggi.

“Transformasi digital mestilah bersifat inklusif. Masyarakat luar bandar, usahawan kecil, pelajar di kawasan pedalaman, semua mesti turut serta dan mendapat akses yang adil,” tegas beliau.

Kerjasama ASEAN Kunci Masa Depan Digital Yang Selamat

Kredit: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia

Sidang kemuncak ini juga menjadi platform untuk membincangkan kerjasama rentas negara dalam isu-isu seperti:

  • Keselamatan dan privasi data

  • Perdagangan digital merentas sempadan

  • Tadbir urus kecerdasan buatan (AI)

  • Integrasi sistem pembayaran serantau

Malaysia turut mengumumkan kerjasama lanjut dengan GSMA dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menganjurkan siri GSMA M360 ASEAN pada tahun 2026, sebagai kesinambungan dialog serantau.

Persidangan ini berlangsung selama dua hari dengan pelbagai sesi panel, bengkel teknikal dan perbincangan dasar melibatkan ratusan peserta dari seluruh rantau. Semuanya menjurus ke arah satu matlamat: membina negara digital ASEAN yang selamat, inklusif dan berdaya saing.

YB Teo menutup ucapannya dengan menyeru semua peserta untuk terus aktif dalam perbincangan dan membina rangkaian strategik demi kemajuan bersama.

“Mari kita bina masa depan digital ASEAN yang berasaskan kepercayaan, dipacu inovasi, dan berkembang secara kolektif’,” katanya.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×