Di dalam al-Quran mengandungi 114 surah semuanya. Terdapat beberapa surah yang popular di kalangan masyarakat kita dan antaranya termasuklah kelebihan surah al-Waqiah yang amat sinonim dengan amalan murah rezeki.
Pengenalan
Surah al-Waqi’ah merupakan surah makkiyyah dan terkandung di dalamnya 96 ayat.
Menurut Laman Web Rasmi Mufti Wilayah Persekutuan, Imam Qurtubi menukilkan pandangan al-Hasan, I’krimah, Jabir dan A’ta’ di dalam tafsirnya menyebut bahawa surah ini terdapat 97 ayat.
Ibnu Abbas dan Qatadah menyatakan Surah al-Waqi’ah diturunkan di mekah kecuali satu ayat iaitu Firman Allah SWT: (وَتَجْعَلُونَ رِزْقَكُمْ أَنَّكُمْ تُكَذِّبُونَ) al-Kalbi berpendapat surah ini Makkiyyah kecuali empat ayat.
Intipati surah ini menjelaskan tentang kejadian hari kiamat, syurga dan neraka.
Digelar Surah ‘Kekayaan’
Terdapat pelbagai hadis dan riwayat tertentu yang menceritakan tentang kelebihan dan fadhilat beramal dengan surah tertentu bagi mendapat manfaat di dunia serta akhirat.
Menurut Laman Web Rasmi Mufti Wilayah Persekutuan, antara kelebihan surah al-Waqiah adalah seperti yang diceritakan oleh Ibnu Mas’ud RA:
مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْوَاقِعَةِ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ لَمْ تُصِبْهُ فَاقَةٌ أَبَداً
Maksudnya: Barangsiapa yang membaca surah al-Waqiah pada setiap malam, maka ia tidak akan ditimpa musibah kefakiran selama-lamanya
Lihat al-Jamie’ al-Soghir, al-Suyuti (12546)
Imam al-Syaukani di dalam tafsirnya menukilkan sebuah hadis yang dikeluarkan Ibnu Asakir, daripada Ibnu Abbas RA Sabda Nabi SAW:
سورة الواقعة سورة الغنى، فاقرؤوها، وَعَلِّمُوهَا أَوْلَادَكُمْ
Maksudnya: Surah al-Waqiah merupakan surah kekayaan, maka bacalah ia, dan ajarilah ia kepada anak-anak kamu.
(Lihat Fathu al-Qadir li Syaukani, 5/176)
Selain itu, Dr Wahbah Zuhaili menukilkan sebuah hadis yang menceritakan tentang kelebihan surah al-Waqiah dengan menyatakan, daripada Abu Zibah berkata ketika Abdullah bin Mas’ud sedang tenat dan nazak, lalu Saidina Osman bin Affan RA menziarahinya dan bertanya berkenaan peninggalannya kepada anak perempuannya, maka Ibnu Mas’ud berkata:
أتخشى على بناتي الفقر؟ إني أمرت بناتي يقرأن كل ليلة سورة الواقعة، إني سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: «من قرأ سورة الواقعة كل ليلة، لم تصبه فاقة أبدا»
Maksudnya: Apakah engkau risau akan putri-putriku menjadi fakir? Sesungguhnya aku telah memerintahkan putriku untuk membaca surah al-Waqiah pada setiap malam. Ini kerana aku telah mendengar Rasullullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang membaca surah al-Waqiah pada setiap malam, maka ia tidak akan ditimpa musibah kefakiran selama-lamanya.”
(Lihat al-Tafsir al-Munir li Zuhaili, 27/240)
Kelebihan Surah Al Waqiah Berdasarkan Hadis Sahih
Walaupun begitu, menurut Ustaz Abdullah Bukhari Abdul Rahim, dalam hadith yang lebih sahih, surah al-Waqi’ah membawa sudut pandang yang lebih “kena atau tepat” dengan isinya yang berkait kegemparan akhirat.
Rasulullah SAW beruban memikirkan kegemparan isi surah al-Waqi’ah bersama surah yang lain. Pada suatu hari, Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq RA bertanya:
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَدْ شِبْتَ قَالَ شَيَّبَتْنِي هُودٌ وَالْوَاقِعَةُ وَالْمُرْسَلَاتُ وَعَمَّ يَتَسَاءَلُونَ وَإِذَا الشَّمْسُ كُوِّرَتْ
Maksudnya: Ibn ‘Abbas menyebut, pada suatu hari Abu Bakar RA bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, engkau sudah beruban?” Baginda menjawab: “(Kedahsyatan isi kandungan) surah Hud, AL-WAQI’AH, al-Mursalat, al-Naba’ dan al-Takwir menjadikan aku beruban.
(Sunan al-Tirmidhi, Mustadrak al-Hakim)
Daripada hadis ini boleh disimpulkan bahawa surah al-Waqi’ah bukan surah biasa kerana bayangan kiamat dipamerkannya dengan dahsyat sehingga boleh melumpuhkan sendi lutut.
Ulas Ustaz Abdullah Bukhari lagi, ayat tentang kematian dan azab neraka dalam surah ini merupakan satu peringatan buat kita agar kita tidak hanyut dengan kesibukan duniawi serta alpa dengan lingkungan zon selesa yang kita rasai yang menyebabkan kita masih bermaharajakan hiburan yang melampau, meninggalkan masjid-masjid sunyi sepi sedangkan stadium bolasepak dan panggung wayang penuh sesak.
“Bayangkan gunung digegar kuat sehingga menjadi debu berterbangan! Jika rumah kita bersebelahan dengan kawasan industri kuari, dentuman dinamit yang menggegar bukit bagi menghancurkan batunya menjadi halus seperti kerikil pasti membuat kita tidak senang duduk.”
Kisah Golongan al-Awwalin dan al-Akhirin, Ahli Syurga, Ahli Neraka & Ahli Akhirat
Imam Qurtubi menukilkan pandangan Mashruk menyatakan, sesiapa yang hendak mengetahui kisah golongan al-Awwalin, al-Akhirin, ahli Syurga, ahli Neraka dan ahli Akhirat maka bacalah surah al-Waqi’ah.
(Lihat Tafsir al-Qurtubi, 17/194)
Golongan al-Awwalin adalah mereka yang tergolong daripada umat terdahulu bermula dengan umat Nabi Adam AS sehinggalah umat sebelum umat Baginda Nabi SAW.
Dan golongan al-Akhirin adalah khusus kepada golongan umat Nabi Muhammad SAW.
Allah SWT menggambarkan syurga buat golongan kanan dengan ciri-cirinya.
Ia merupakan perkara yang perlu diambil berat dan perlu diberi penjelasan yang tepat bagi membentuk keyakinan yang jelas dalam diri muslim. Ini kerana setiap perlakuan yang terhasil adalah berdasarkan kepada pegangan dan keimanan seseorang.
Di bahagian akhir surah Al-Waqiah ini, Allah SWT menyebut pula tentang nasib buruk golongan ketiga iaitu golongan kiri yang mendustakan kebenaran lagi sesat daripada jalan petunjuk.
Hayat mereka diakhiri dengan kematian yang buruk dan disambut dengan hidangan air yang mendidih. Ianya adalah cairan panas yang akan melelehkan isi perut dan kulit-kulit mereka. Air panas ini tidak dapat dibandingkan dengan kepanasan dunia kerana kepanasan neraka berganda-ganda darjahnya.
Inilah golongan kiri yang menolak ketauhidan kepada Allah dan tidak mengakui keesaanNya, mereka tidak dapat lari daripada menerima azab api neraka kelak, mereka menerima pelbagai seksaan daripada Allah yang Maha Kuasa.
Semoga kita dijauhkan daripada tergolong dalam kategori ini.
Bukan Sekadar Surah Pembuka Rezeki
Tidak salah untuk kita mengamalkan surah al Waqiah dalam kehidupan seharian kerana Mufti WP juga menerangkan bahawa diharuskan untuk membaca surah al-Waqiah supaya mendapat kelebihan dan kekayaan seperti yang dinyatakan hadis di atas. Bahkan para Fuqaha’ bersepakat, disunatkan untuk bertawassul dengan amalan soleh serta menggunakan nama dan sifat Allah SWT dalam mendekatkan diri dan berdoa kepada-Nya.
Namun berdasarkan isi kandungan yang dimuatkan dalam surah Al Waqiah, wajarlah kita fahami bahawa kita juga perlu mendalami surah ini dan mengambil pengajaran daripadanya.
Secara umumnya, kita juga amat dianjurkan membaca al-Quran untuk mendapat syafaat daripadanya dan ikhlas dalam beramal serta mencari keredhaan Allah SWT di dunia dan juga di akhirat.
Ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Umamah RA, Sabda Nabi SAW:
اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ
Maksudnya: “Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat sebagai syafaat kepada para pembacanya”
Baca juga:
5 Kelebihan Surah Al Mulk & Kenapa Kita Membacanya Sebelum Tidur
7 Kelebihan Surah Al Fatihah Yang Kita Baca Setiap Hari. Boleh Jadi Penawar & Ruqyah
Rujukan:
https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3967-al-kafi-1517-bolehkah-membaca-al-quran-untuk-mendapat-habuan-dunia-semata-mata
https://www.facebook.com/abdullahbukhari.abdulrahim/posts/10206463455650567