PEROLEH 8A UJIAN PENILAIAN KELAS KAFA
Memang hebat! Seorang kanak-kanak berbangsa Cina Hokkien dan beragama Buddha meraih keputusan 8A dalam Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) yang diumumkan Selasa lalu.
Kejayaan Por Hui Ling, 11, dari Taman Desa Jaya Kampung Gong Pak Damak, Kuala Nerus, itu adalah sesuatu yang luar biasa di Sekolah Kebangsaan Tok Jiring (SKTJ). Anak ketiga daripada empat beradik itu meraih semua A untuk semua subjek agama Islam iaitu Ulum Syariah, Pelajaran Jawi, Lughatul al-Quran (Bahasa Arab), Penghayatan Cara Hidup Islam, Bidang al-Quran, Sirah, Adab dan Amali Solat.
IKUTI KELAS UPKK ATAS KERELAAN SENDIRI
Hui Ling berkata, dia mengikuti kelas UPKK atas kerelaannya sendiri memandang abangnya, Por Jie Hao, 14, pernah mengikuti kelas UPKK di SKTJ. “Abang memperoleh 5A dan 3B dalam UPKK pada 2015 justeru saya terdorong untuk mencatat keputusan yang lebih baik daripada abang. “Ibu dan ayah pula menyokong kerana bagi mereka, saya perlu mempelajari juga apa yang murid Melayu belajar kerana semua rakan Melayu juga belajar bahasa Mandarin.
“Memang seronok apabila berpeluang mempelajari semua subjek dalam UPKK terutama subjek Pelajaran Jawi,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini. Tambahnya, dia berterima kasih kepada semua guru UPKK di SKTJ yang mengadakan kelas tambahan untuk murid yang lemah dalam subjek Pelajaran Jawi.
“Saya antara murid yang paling lemah dalam subjek Pelajaran Jawi justeru terpaksa mengikuti kelas tambahan pada Jumaat dan Sabtu.” Beliau yang mengikuti kelas beberapa bulan lalu, telah berjaya menguasai kemahiran membaca dan menulis Jawi dan boleh membaca perkataan Bahasa Arab.
Menurutnya, semua jenis ilmu atau mata pelajaran boleh dikuasai sekiranya seseorang itu mempunyai kesungguhan dan keinginan yang tinggi. “Saya hanya belajar ketika sesi pembelajaran di dalam kelas selain tidak malu untuk bertanya guru sekiranya tidak memahami sesuatu pembelajaran. Melalui disiplin itu, saya berjaya mencapai kecemerlangan di dalam UPKK,” katanya.
Sementara itu, Jie Ho berkata, dia berasa bangga dengan pencapaian yang diperoleh adiknya itu. “Semua subjek dalam UPKK itu bukan senang untuk skor A, paling susah subjek Pelajaran Jawi dan Bahasa Arab. “Saya pernah mengikuti semua kelas UPKK oleh itu sedia maklum dengan cabaran dalam menguasai dan mempelajari semua subjek.
“Apabila adik berjaya memperoleh A dalam semua subjek termasuk dua subjek yang paling susah itu ia satu pencapaian yang luar biasa dan boleh dibanggakan,” katanya yang kini bersekolah di Sekolah Menengah Sains Setiu.
Sementara itu Guru Besar SKTJ , Abdul Aziz Deraman berkata, kejayaan Hui Ling menjadi satu sejarah kepada SKTJ.
“Sebelum ini Jie Ho yang mencatat keputusan cemerlang dan diteruskan oleh Hui Ling dengan keputusan yang lebih cemerlang pada tahun ini. “Kejayaan Hui Ling itu akan menjadi perangsang dan cabaran kepada murid-murid lain yang beragama Islam untuk turut cemerlang dalam UPKK. “Hui Ling membuktikan bahawa kehendak dan kesungguhan yang tinggi biarpun diluar pemikiran mampu mencapai apa sahaja kejayaan,” katanya.
Aziz berkata, pembabitan Hui Ling di dalam UPKK atas kebenaran ibu bapa murid berkenaan iaitu Por Kin Sin dan Yeop Bee Fai. “Pihak sekolah tidak mewajibkan murid berbangsa dan beragama lain untuk mengikuti UPKK. “Apabila Hui Ling dengan kebenaran ibu bapanya menyertai UPKK, pihak sekolah berasa teruja untuk melihat pencapaian yang mampu diraih Hui Ling,” katanya. Menurutnya, Hui Ling antara 57 daripada 138 murid yang menduduki UPKK memperoleh 8A di SKTJ pada tahun ini.
Sumber : Harian Metro