Bagi pasangan yang sudah berkahwin, pasti inginkan untuk dikurniakan zuriat dengan cepat. Namun, tidak semua dalam kalangan kita akan mendapat ‘kelebihan’ tersebut. Ada juga dalam kalangan kita yang dikurniakan rezeki zuriat tetapi kandungan tersebut mengalami beberapa masalah kesihatan tertentu, termasuk juga komplikasi Anencephaly.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai komplikasi kandungan kehamilan ini, jom kita baca penjelasan pakar supaya kita dapat gambaran yang lebih jelas.
BILA DOKTOR SCAN KEHAMILAN….
“Alhamdulilah, saya bersyukur sebab berbadan dua sekarang. Lama dah tunggu, Allah dah dengar doa saya. Saban hari saya hanya beronok-ronok tengok orang yang senang hamil nih. Saya hanya mampu berdoa dikurniakan cahaya mata macam orang lain tu. Tapi masa tu orang cakap belum rezeki lagi. Bukan takde usaha, segala doktor pakar saya jumpa dah, namun tak berhasil lagi. Takpe saya ok jer, walaupun hati kecil saya sebenarnya tak ok. Tapi saya lawan rasa tu.. saya hanya pegang pada Allah. Rezeki belum tiba.. akan sampai satu hari nnti. “
“Nak dijadikan cerita saya hamil. Gembiranya bukan kepalang… bagaikan dunia saya yang punya. Yelah, dah lama tunggu kan, mcm-mcm ikhtiar dia. Alhamdulilah ni ‘melekat’ pulak! Syukur ya Allah atas kurniaanMu”
“Ketika kehamilan saya berusia 14 minggu, saya pergilah bukak buku pink. Masa jumpa doktor, dia buat scan sekali. Saya tersengih-sengih dah masa tu tunggu dr cakap ape. Kalau boleh nak tahu boy ke girl. Hehe. ( doktor belum letak scan kat perut lagi saya dah tanya. Al maklumlah excited kemain! ) “
“Masa ni, kejutan dan kepasrahan saya bertukar ganti. Makin lama makin ramai doktor yang datang melihat imej scan pada mesin scan tu. Lama dorang tenung skrin tu. Saya dah mula berasa tak sedap hati… nak tanya mereka tapi takut mengganggu pulak. So saya diamkan je dulu, walaupun rentak jantung saya dah mula kencang. Mesti ada yang tak kena ni. Tambah curiga bila mereka mula berbicara bahasa bahasa perubatan yang tidak saya fahami. Come on doctor.. tell me apa yg berlaku pada baby saya… “
BAYI TAK NORMAL, ALAMI KESUKARAN UKUR LILIT KEPALA
“Akhirnya, saya dikhabarkan bahawa baby saya tak normal sebab doktor mengalami kesukaran utk mengukur lilit kepala bayi. Hancur luluh hati saya ketika itu, bila doktor cakap kepala bayi saya tak normal. Berderai air mata. Nak pegang tangan suami, suami plak keja, hanya mampu genggam tangan misi kat sebelah. Saya tak mampu dah nak dengar semua ni”
“Saya dirujuk ke pakar Obstetrik & Ginekologi hospital besar. Suami amek cuti separuh hari nak teman saya pegi temu janji. Kami tercongok penuh penantian dan debaran depan klinik menunggu nama dipanggil. Setelah diperiksa, doktor mengesahkan dan terpaksa mengiyakan kata-kata doktor yang awal telah memeriksa saya. Katanya, bayi saya hidup, tapi tiada pembentukan tulang kepala yakni tengkorak nye – Anencephaly”
“Tiada perkataan yg mampu menggambarkan perasaan saya. Betapa kacau dan hancurnya hati saya. Seharian saya menangis sehingga bengkak mata. Namun sebagai seorang muslim, saya merangkak dalam kesamaran malam, menadah tangan agar dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam mengharungi derita dan dugaan ini.”
APA ITU ANENCEPHALY?
Maka dengan mukaddimah di atas, saya nak berceritalah mengenai anencephaly. Struktur sistem saraf bagi berasal dari struktur yang bernama neural plate. Pada 28 hari selepas persenyawaan, neural plate ni akan terlipat antara satu sama lain dan menutup membentuk satu struktur berbentuk silinder yang dinamakan neural tube. Masalah berlaku apabila struktur ini tidak menutup dengan sempurna menyebabkan terjadinya kecacatan neural tube. Ada beberapa jenis – anencephaly, spina bifida dan encephalocele.
Menyebut mengenai anencephaly, ianya melibatkan hilangnya tulang tengkorak sama ada secara penuh atau pun separa. Bila tiadanya tulang tengkorak ni, sebahagian otak juga turut hilang ataupun kalau ada sekalipun struktur otak menjadi sangat kecil. Ada juga ketidaknormalan pada muka dan leher bayi tersebut. Keadaan ini dipercayai melibatkan kombinasi faktor genetik dan pengaruh persekiraran yang doktor sendiri tak boleh nak fahami secara 100%. Anencephaly berlaku dalam 6 kes di dalam 10 000 kelahiran.
Boleh kesan anencephaly ketika hamil
Ketika melakukan pemeriksaan scan, seawal 11-14 minggu kehamilan. Kalau lebih awal dari 11 minggu tak sesuai sebab pembentukan tulang tengkorak belum selesai. Masa buat detail scan 18-21 minggu, senang sangat nak nampak dan boleh confirm ketidaknormalan ni.
Kadang-kadang susah gak nak betul-betul pastikan anencephaly ni. Scan berulang kali diperlukan untuk benar-benar pasti.Takda rawatan untuk anencephaly. Bayi anencephaly tidak boleh hidup bila dilahirkan dan kebanyakkan bayi ni akan meninggal sebelum dilahirkan ataupun mati beberapa jam selepas dilahirkan. Ada kes yang bayi seperti ini boleh hidup selama beberapa hari, tapi sangat jarang berlaku.
Bila pernah terjadi sekali, akan ada peluang untuk ianya berulang lagi. 1 dalam 50 ( 2% ). Maka, semua wanita disarankan untuk mengambil asid folik 400mcg sekurang-kurangnya 3 bulan sebelum hamil sehingga minggu ke 12 kehamilan. Untuk wanita yang pernah ada bayi anencephaly atau mereka yg ada kencing manis sebelum hamil, dos folik asid adalah tinggi – sebanyak 5mg perlu diberikan 3 bulan sebelum merancang untuk hamil lagi. Usaha ini dapat mengurangkan risiko mendapat bayi dengan anencephaly atau kecacatan tiub neural.
Pasangan yg pernah ada masalah bayi anencephaly jika berpeluang boleh berjumpa genetic counselllor untuk berbincang risiko mendapat anak sekali lagi dengan anencephaly. So dah faham ke kenapa saya membebel hari-hari kat pesakit mengenai pentingnya asid folik? Betul, kalau dah makan sebaldi asid folik sekalipun kalau Allah dah takdirkan baby anencephaly, mmg akan dapat anencephaly jua. Bukan ke kita perlu ikhtiar dan ikhtiar sebelum menyerah dan tawakkal?
Sumber: Dr. Muhammad Izzat