Sihat

Jangan Pegang Jarum/Pin Tudung Guna Bibir, Doktor Jelas Risiko Boleh Cederakan Paru-Paru!

25
SHARES

Kadangkala kesibukan kita mengejar masa membuatkan kita mengambil remeh perkara yang sebenarnya mendatangkan risiko. Contoh mudah adalah wanita bertudung yang terbiasa meletakkan pin atau jarum di sekitar mulut, bibir ataupun gigi mereka.

Tragedi tertelan mahupun tersedak jarum atau pin tudung semakin kerap berlaku atas faktor yang tidak disengajakan seperti batuk, ketawa, bersin mahupun bercakap sewaktu pin atau jarum tudung masih berada di kawasan yang berisiko untuk tertelan sebagaimana yang dikongsikan oleh Dr. Nurul Yaqeen dalam kiriman Facebook beliau berkenaan pesakit yang tertelan jarum dan mendapatkan rawatan.

Ingatkan saudara, rakan dan anak perempuan anda untuk tidak melakukan tindakan berisiko tersebut apabila memakai tudung.

PIN TUDUNG BOLEH MENCEDERAKAN PARU-PARU

Kepada para hijabista dan wanita di luar sana, tolong berhati-hati ketika memakai hijab mahupun tudung menggunakan pin, kerana ia boleh mencederakan paru-paru anda. Memegang pin tudung menggunakan mulut / bibir / gigi ketika menggayakan hijab adalah sangat berbahaya kerana pin itu boleh terlepas masuk ke dalam mulut, seterusnya pergi ke paru-paru dan mencederakan paru-paru anda.

Sekiranya ia berlaku, pembedahan dengan secara bius penuh terpaksa dilakukan menggunakan ‘rigid bronchoscopy’ (kamera untuk melihat ke dalam paru-paru), seperti yang telah dilakukan oleh doktor-doktor pakar paru-paru dari Respiratory UKMMC. Pesakit wanita itu bernasib baik kerana pin tudung tersebut telah berjaya dikeluarkan dengan selamatnya.

Adalah lebih selamat meletakkan pin tersebut di tangan baju atau di tempat lain sahaja ketika menggayakan hijab atau tudung anda. Kes-kes seperti ini telah banyak berlaku sebelum ini. Segeralah berjumpa doktor pakar paru-paru jika anda tersedak pin tudung dan mengalami simptom tersedak pin tudung seperti berikut

1. Batuk berterusan

2. Batuk berdarah

3. Sakit dada

4. Kesukaran bernafas

TIPS MEMEGANG PIN TUDUNG SECARA SELAMAT AGAR PARU-PARU TERPELIHARA

Cara memegang pin tudung secara selamat ketika memakai tudung atau hijab, agar tidak mencederakan paru-paru

Maaf, saya tidak mempunyai model yang sesuai, jadi teddy bear ini adalah model yg terbaik buat masa ini. Pin yang bermodel bunga ros pink adalah objek yang perlu anda berikan perhatian (Gambar 1)

CARA YANG SALAH :

Gambar 2 : Cara yang salah adalah dengan memegang pin tudung menggunakan mulut/bibir/gigi. Ini kerana, sekiranya anda tiba-tiba terbatuk/terketawa/terbercakap ketika ini, pin tersebut akan terus meluncur laju menuju ke tekak dan seterusnya ke paru-paru, lalu mencederakan paru-paru anda. Sangat bahaya!

CARA YANG BETUL :

Gambar 3 : Cara yang betul, meletakkan pin di tepi atau di tempat letak pin ketika memakai tudung. Setelah tudung selesai dipakai, barulah diambil pin di tempatnya, dan diletakkan di tudung. Cara ini merupakan teknik terbaik untuk memegang pin tudung.

Gambar 4 : Cara yang betul, boleh sematkan pin di tangan baju (jika memakai baju berlengan panjang). Setelah tudung selesai dipakai, barulah diambil pin dari situ, dan diletakkan di tudung. Tetapi agak sedikit berisiko, kerana boleh melukakan tangan pula. Jadi berhati-hati.

Nota : Berhati-hati dalam apa jua tindakan yang anda lakukan. Pakailah tudung secara selamat. Sayangi paru-paru anda!

Sumber : Dr. Nurul Yaqeen , Respiratory UKMMC

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×