Famili

Kenapa Hanya Air Kencing Bayi Lelaki Dikira Najis Ringan? Ini Penjelasan Mufti WP

1K
SHARES

“Aduh, tak sempat pakai baju dia dah pancut pulak…. Nasib baiklah Afiq ni kecik lagi, senang nak cuci. Eh, tapi kenapa kalau air kencing bayi perempuan tak dikira najis ringan jugak ye?”

Waktu belajar dulu, mesti kita pernah dengar tentang pengkelasan jenis najis kan?

Salah satu yang termasuk dalam kategori najis ringan disebut secara spesifik iaitu air kencing bayi lelaki bawah 2 tahun yang masih belum makan apa-apa selain susu ibunya.

Tapi pernah tak kita terfikir, kenapa air kencing bayi perempuan bawah 2 tahun yang masih belum makan tak tergolong sebagai najis ringan (mukhaffafah) juga? Sebaliknya, ia tergolong dalam najis pertengahan (mutawasitah) dan perlu dibasuh hingga hilang bau, warna dan rasa.

Berikut adalah penjelasan oleh Mufti Wilayah Persekutuan untuk pengetahuan kita semua.

AL-KAFI #1376: PERBEZAAN BASUHAN BAYI AIR KENCING BAYI LELAKI

Soalan

Saya ingin bertanya kepada mufti mengapa dibezakan cara basuhan air kencing bayi yang berumur bawah dua tahun bayi lelaki dengan bayi perempuan?

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Islam adalah agama yang mengangkat nilai kebersihan sebagai teras utama dalam kehidupan manusia. Aspek kebersihan ini disebutkan secara jelas sebagai salah suatu cabang dari cabang keimanan melalui hadith yang diriwayatkan oleh Abu Malik al-Ash’ari:

الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيمَانِ

Maksudnya: “Bersuci itu adalah antara ciri-ciri keimanan.”

Riwayat Muslim (223)

Maka berdasarkan hal ini, air kencing bayi meskipun di bawah umur dua tahun, tetap diperintahkan untuk dibersihkan.

Para fuqaha’ telah bersepakat bahawa bayi yang umurnya sudah melebihi dua tahun dan telah makan makanan, maka air kencingnya dianggap najis. Oleh itu, wajib membersihkan mana-mana pakaian yang terkena air kencing tersebut. Lihat al-Mausuah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah (27/25).

Para fuqaha’ berhujah dengan berdalilkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

اِسْتَنْزِهُوا مِنْ اَلْبَوْلِ, فَإِنَّ عَامَّةَ عَذَابِ اَلْقَبْرِ مِنْهُ

Maksudnya: Bersucilah kamu sekalian daripada air kencing, kerana umumnya azab kubur itu adalah disebabkannya”

Riwayat al-Daraqutni (7)

Dalam mensyarahkan hadith ini, Imam Ibn Hajar menyebutkan perlu untuk diambil suruhan daripada hadith ini agar bersuci daripada semua jenis air kencing secara umumnya, dan penekanan ke atas suruhan ini diletakkan azab untuk orang mukmin yang tidak membersihkan diri daripada najis air kencing.

Lihat Syarh Bulugh al-Maram (1/247).

Foto Kredit: arrahman.id

Najis Bayi Lelaki Bawah 2 Tahun Yang Belum Makan Dianggap Najis Ringan Dalam Mazhab Syafie

Namun begitu, para fuqaha’ berbeza pandangan ke atas bayi lelaki yang berumur di bawah dua tahun yang tidak makan sesuatu apa pun melainkan susu ibunya sendiri.

Mazhab Imam Abu Hanifah dan Imam Malik menganggap tiada perbezaan di antara najis bayi lelaki dengan perempuan yang berumur dua tahun ke bawah yang tidak makan apa-apa melaikan susu ibu. Kedua-duanya najis yang perlu dibasuh apabila terkena pada pakaian berdasarkan hadith di atas.

Sementara itu, Mazhab Imam al-Syafie dan Mazhab Imam Ahmad menyatakan bahawa bayi lelaki yang berumur di bawah dua tahun, air kencingnya dikira najis yang ringan.

Cara Mencuci

Apabila terkena pada pakaian, cukuplah sekadar dipercikkan air pada tempat yang terkena najis tersebut. Kedua-dua mazhab tersebut menyandarkan pendapat mereka pada hadith Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ummu Qais:

أَنَّهَا أَتَتْ بِابْنٍ لَهَا صَغِيرٍ، لَمْ يَأْكُلِ الطَّعَامَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم، فَأَجْلَسَهُ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي حِجْرِهِ، فَبَالَ عَلَى ثَوْبِهِ، فَدَعَا بِمَاءٍ فَنَضَحَهُ وَلَمْ يَغْسِلْهُ‏

Maksudnya: Bahawa dia (Ummu Qais) pernah datang kepada Rasulullah SAW bersama anak lelakinya yang masih kecil dan belum memakan makanan lalu Rasulullah SAW mendudukkan anak itu di pangkuan Baginda, kemudian bayi tersebut kencing di atas pakaian Baginda. Maka Baginda meminta air lalu memercikkannya ke atas kain Baginda dan tidak membasuhnya (menjirus air).

Riwayat al-Bukhari (223) Muslim (287)

Sementara bayi perempuan pula meskipun berumur di bawah dua tahun, tetapi meletakkannya sebagai najis seperti yang lain dan harus dibasuh atau dijiruskan air apabila terkena pada pakaian atau mana-mana tempat yang perlu dibersihkan.

Hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Samh:

يُغْسَلُ مِنْ بَوْلِ الْجَارِيَةِ وَيُرَشُّ مِنْ بَوْلِ الْغُلاَمِ

Maksudnya: Air kencing bayi perempuan dibasuh dan air kencing bayi lelaki cukup dipercikkan dengan air.

Riwayat al-Nasai’ (305) Ibn Majah (525)

Persoalan yang diajukan berkaitan dengan sebab pensyariatan atau sebab Nabi SAW melakukan hal demikian memerlukan kepada pemahaman beberapa perkara.

Yang pertama, antara cara untuk berinteraksi dengan nas atau perintah hukum syarak, setiap mukmin itu perlulah menerimanya. Tambahan lagi, sekiranya hal itu datang daripada Baginda SAW, maka hendaklah diambil tanpa ada pertikaian.

Hal ini sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah SWT:

وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا

Maksudnya: Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya.

(Surah al- Hasyar: 7)

Imam Ibn Kathir berkata selagi mana suruhan itu daripada Nabi hendaklah dilakukan dan apa yang dilarang hendaklah ditinggalkan. Sesungguhnya apa yang diperintahkan Baginda akan membawa kepada kebaikan dan apa yang dilarang itu akan membawa kepada keburukan.

Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim (13/485).

Namun begitu, tidaklah menjadi kesalahan sekiranya kajian atau pertanyaan di datangkan bukan kerana ingin mengingkari hukum namun kerana ingin mencari rahsia kebesaran Allah SWT.

Permasalahan ini dibahaskan oleh Imam al-Baijuri menyatakan bahawa asal bagi kaum lelaki adalah kerana penciptaannya daripada air dan tanah.

Manakala perempuan pula diciptakan daripada tanah dan darah atau berasal daripada Nabi Adam.

Lihat Hasyiah al-Baijuri (1/154).

Kajian Ilmiah Moden

Kami kemukakan di sini sebuah kajian ilmiah moden yang menemui bahawa wujudnya perbezaan antara air kencing bayi lelaki dan perempuan. Kajian tersebut dijalankan oleh Ashil Muhammad Ali dan Dr. Ahmad Muhammad Soleh dari Universiti Duhok, Iraq.

Kajian tersebut mengkaji peratusan kewujudan bakteria dalam air kencing bayi semasa menyusu dan bayi yang baru lahir. Mereka mengumpulkan sampel air kencing bayi secara rawak yang kesemuanya berjumlah 73 bayi (35 perempuan dan 38 lelaki).

Seterusnya sampel tersebut dikaji dan dengan ujian makmal dan berlanjutan selama beberapa bulan dengan menggunakan kaedah tertentu.

Hasil yang didapati adalah seperti berikut:

▪️ Pada kumpulan usia sifar hingga 30 hari, peratus kewujudan bakteria dalam air kencing bayi perempuan 95,44% lebih banyak berbanding pada air kencing bayi lelaki di mana jumlah bakteria di bidang mikroskopik untuk air kencing bayi perempuan mencapai 41.9 sedangkan pada bidang yang sama untuk bayi lelaki hanya berjumlah 2 saja.

▪️ Pada kumpulan umur (dari satu bulan hingga dua bulan) peratus kewujudan bakteria dalam air kencing bayi perempuan 91,48% lebih banyak berbanding pada air kencing bayi lelaki di mana jumlah bakteria di bidang mikroskopik untuk air kencing bayi perempuan mencapai 24.1 sementara jumlah dalam bayi laki-laki hanya 2,25.

▪️ Pada kumpulan umur 2-3 bulan, peratusan kewujudan bakteria dalam air kencing bayi perempuan 93,69% lebih banyak berbanding pada air kencing bayi lelaki, di mana jumlah bakteria di bidang mikroskopik untuk air kencing bayi perempuan mencapai 24.1 sementara jumlah pada kes bayi lelaki hanya 1.6.

▪️ Pada kumpulan usia lebih dari 3 bulan, peratusan bakteria dalam air kencing bayi perempuan 69% lebih banyak berbanding pada air kencing bayi lelaki di mana jumlah bakteria di bidang mikroskopik untuk air kencing bayi perempuan 13,9 sementara dalam kes air kencing bayi lelaki jumlahnya 6.8.

(Lihat al-Mausu’ah al-Muyassarah fi al-I’jaz al-‘Ilmi fi al-Quran al-Karim wa al-Sunnah al-Sahihah al-Mutahharah dihimpun dan disusun oleh Syahatah Saqr, hlm. 469-470)

Foto Kredit: sciencedaily.com

Kesimpulan

Berdasarkan nas dan hujah di atas, kami nyatakan bahawa air kencing bayi lelaki berumur bawah dua tahun yang belum makan sebarang makanan melainkan susu ibunya dipercikkan air sahaja berbeza dengan air kencing bayi perempuan hendaklah dibasuh.

Namun, sebaiknya juga untuk keluar daripada kekhilafan ini, dibasuh kedua-duanya.

Sebab atau hikmah disebalik hal ini, memerlukan kajian yang lebih mendalam terutamanya kajian-kajian yang baik oleh pakar perubatan dan pakar-pakar yang berkaitan.

Semoga kita diberikan kefahaman yang baik oleh Allah SWT. Amin.

*Sumber asal: Laman Rasmi Mufti Wilayah Persekutuan

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×