Nur

#DaruratBanjir: Ustazah Asma’ Harun Kongsi 6 Doa Mujarab Boleh Amalkan

65
SHARES

Doa Ketika Banjir.

Negara kita diuji dengan bencana banjir khususnya di beberapa negeri yang berisiko seperti apa yang berlaku di negeri Selangor sekarang. Ditambah pula dengan wabak Covid-19, situasi ini begitu getir bagi kebanyakan penduduk yang terlibat dengan bencana alam tersebut sehingga menyebabkan kematian dan kerugian harta benda. Sebagai hambaNya yang beriman, kita digalakkan untuk sentiasa berdoa kepada Allah dalam apa jua keadaan.

Di sini adalah 6 doa yang dikongsikan oleh Ustazah Asma’ Harun supaya anda boleh amalkan bersama agar terhindar dari banjir yang diajarkan oleh baginda Rasulullah SAW

Baca juga: #DaruratBanjir: Senarai Lengkap Tempat Anda Boleh Salurkan Derma & Bantuan

#DaruratBanjir: BERMUNAJAT DOA BUAT SAUDARA KITA YANG DITIMPA MUSIBAH BANJIR

doa semasa banjir

“Ya Allah, lindungilah saudara-saudara kami yang terlibat dengan musibah banjir. Jauhilah mereka daripada sebarang bahaya dan mudarat yang berpanjangan. Jadikanlah musibah ini sebagai suatu yang mengingatkan dan mendekatkan kami kepada-Mu. Kami hamba-Mu yang lemah, tiada daya dan upaya dalam diri kami melainkan semuanya datang daripada-Mu.” 

Hati benar-benar diruntun hiba melihat perkembangan mengenai banjir yang berlaku di negara kita. Alam seolah-olah berterusan menangis tanpa tanda-tanda ingin berhenti. Khabarnya air naik terlalu laju, ramai ahli keluarga terperangkap, ada anak kecil, wanita hamil dan orang-orang tua yang terlantar.

Di lebuh raya-lebuh raya pula, banyak kenderaan terperangkap, nak bergerak ke depan tidak boleh, ke belakang juga tidak boleh. Malah, ada yang terpaksa tidur di dalam kereta sementara menunggu bantuan sampai. Allahuakbar. Sungguh, dalam keadaan getir dan sukar ini, mari sama-sama panjatkan doa dan bermunajat memohon rahmat dan pertolongan daripada Allah SWT.

1.DOA KETIKA HUJAN

Daripada Aisyah R.anha berkata, Adapun Rasulullah SAW ketika melihat hujan, baginda berdoa :

اللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا

Maksudnya: “Ya Allah Kau jadikanlah curahan hujan ini sebagai curahan yang bermanfaat.” (HR Bukhari, hadis sahih)

2.DOA UNTUK ALIHKAN HUJAN

اللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلاَ عَلَيْنَا اللَّهُمَّ عَلَى الآكَامِ وَالظِّرَابِ وَبُطُونِ الأَوْدِيَةِ وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ

Maksudnya: “Ya Allah! (Kami bermohon agar hujan hanya) mengelilingi kami dan bukannya menimpa ke atas kami. Ya Allah! (Alihkan ia) ke atas tempat-tempat tinggi, gunung ganang dan bukit bukau, perut-perut lembah, dan tempat tumbuhnya pokok-pokok.” (HR Bukhari, hadis sahih)

3.DOA MEMOHON DIPULIHKAN BANJIR

Firman Allah SWT:

وَقِيلَ يَا أَرْضُ ابْلَعِي مَاءَكِ وَيَا سَمَاءُ أَقْلِعِي وَغِيضَ الْمَاءُ وَقُضِيَ الْأَمْرُ وَاسْتَوَتْ عَلَى الْجُودِيِّ ۖ وَقِيلَ بُعْدًا لِّلْقَوْمِ الظَّالِمِينَ

Maksudnya: “Dan diperintahkan kepada bumi dan langit dengan berkata: “Wahai bumi telanlah airmu, dan wahai langit berhentilah dari curahan hujanmu”. Dan (ketika itu) surutlah air, serta terlaksanalah perintah (Allah) itu. Dan bahtera Nabi Nuh itupun berhenti di atas gunung “Judi” serta diingatkan (kepada kaum kafir umumnya bahawa): “Kebinasaanlah akhirnya bagi orang yang zalim”. (Surah Hud: 44)

4.DOA MEMOHON PERTOLONGAN DARIPADA ALLAH SWT

Daripada Anas bin Malik, dia berkata, “Nabi Muhammad SAW ketika mendapat masalah yang berat, beliau membaca:

يَا حَىُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيثُ

Maksudnya: ”Wahai Rabb Yang Maha Hidup, wahai Rabb Yang Berdiri Sendiri dan tidak memerlukan segala sesuatu, dengan rahmat-Mu aku minta pertolongan).” (HR Tirmidzi, hadis hasan)

5.DOA SAAT KESULITAN

Ibnu Abbas r.a. berkata, ketika Rasulullah SAW mengalami kesulitan baginda membaca doa:

لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ الْعَظِيمُ الْحَلِيمُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَرَبُّ الْأَرْضِ وَرَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيمِ

Maksudnya: “Tiada sembahan yang hak selain Allah Yang Maha Agung dan Maha Penyantun. Tiada Tuhan selain Allah, Tuhan Penguasa arasy yang agung. Tiada sembahan yang hak selain Allah, Tuhan langit dan bumi serta Tuhan arasy yang mulia.” (HR Muslim, hadis sahih)

6.DOA MOHON BANJIR TIDAK BERLARUTAN

Firman Allah Taala:

يَا أَرْضُ ابْلَعِي مَاءَكِ وَيَا سَمَاءُ أَقْلِعِي وَغِيضَ الْمَاءُ

Maksudnya: “Wahai bumi telanlah airmu, dan wahai langit berhentilah dari curahan hujanmu”. (Surah Hud: 44)
Subhanallah Alhamdulillah Allahuakbar.

Mudah-mudahan, ujian dan musibah ini menjadi salah satu asbab Allah SWT menghapuskan dosa-dosa kita yang lalu. Dari Abu Sa’id Al Khudri dan dari Abu Hurairah dari Nabi ﷺ beliau bersabda,

مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلَا وَصَبٍ وَلَا هَمٍّ وَلَا حُزْنٍ وَلَا أَذًى وَلَا غَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا إِلَّا كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ

Maksudnya: “Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan keletihan, kekhuatiran dan kesedihan, dan tidak juga gangguan dan kesusahan bahkan duri yang melukainya melainkan Allah akan menghapus kesalahan-kesalahannya.” (HR Bukhari, hadis sahih)

SEMOGA ALLAH SWT MEMBERI KEKUATAN BUAT TIM PENYELAMAT DAN MANGSA YANG TERKESAN AKIBAT BANJIR INI. Allahuma Ameen.

Sumber: Ustazah Asma’ Harun

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×