Pilihan sabun yang berwarna-warni dan berbentuk seperti manisan atau makanan serta item penjagaan badan yang berbau buah-buahan kini semakin menjadi pilihan pengguna. Meskipun cantik dipandang dan berbau semerbak apabila dihidu namun ia mendatangkan kekeliruan kepada sesetengah orang terutamanya warga tua dan kanak-kanak sehinggakan ada yang menyangkakan ia makanan sebenar dan memakannya. Berikut perkongsian Dr. Kamarul Ariffin mengenai kes keracunan dialami pesakit.
Mohon berhati-hati bila beli sabun atau losyen yang berbau seperti makanan, contohnya: coklat, mentega, buah-buahan dan sebagainya. Dalam minggu ni sahaja saya dah lihat 2 kes termakan bahan-bahan ni.
KES 1
Seorang warga emas yang termakan sabun yang mempunyai bentuk seperti jeli kering dan berbau seperti buah-buahan. Selepas termakan (telan) baru dia perasan itu bukan makanan. Selepas beberapa minit, dia mengadu lidahnya terasa panas, disusuli dengan ke tidak selesa pada perut. Kemudian minta ahli keluarga untuk ke klinik bagi dapatkan rawatan.
Jika pek sabun ada gambar buah, bentuk dan bau pun seperti makanan,memang mudah tersalah. Lagi-lagi kalau labelnya dalam Bahasa Inggeris, tulisan kecil, dan disimpan di tempat tidak sesuai.
KES 2
Seorang ibu masuk ke bilik dan lihat anaknya yang berusia 3 tahun sedang memegang losyen pelembap tubuh, dan isinya ada dalam mulut anaknya serta lantai. Tak pasti berapa banyak diminum. Beberapa minit kemudian kanak-kanak itu mengalami muntah-muntah, dan disusuli dengan cirit-birit sejam kemudian. Kanak-kanak itu di bawa ke klinik kerana kelihatan sangat lemah. Kanak-kanak tak pandai baca, maka mereka bergantung kepada bau dan warna untuk mengenal pasti sesuatu. Losyen itu berwarna koko pucat dan berbau seperti susu berperisa coklat.
Kebanyakan sabun dan losyen mempunyai ketoksikan yang rendah, tetapi boleh mengakibatkan simptom ketidak-selesaan pada lidah serta perut, muntah-muntah, dan cirit-birit. Peluntur pula lazimnya mempunyai ketoksikan yang tinggi, dan boleh menyebabkan muntah dan najis berdarah, sakit, sawan, tekanan darah rendah, pengsan, dan kematian.
Jika tertelan bahan-bahan ni, tak usah paksa muntahkan kerana ia boleh akibatkan komplikasi lain. Bawa terus jumpa doktor. Lebih elok bawa sekali pek atau botol bahan tersebut. Jika beli sabun atau losyen berperisa dan berciri seperti seperti makanan, pastikan disimpan di tempat sesuai dan tidak boleh dicapai oleh kanak-kanak, atau tempat bertutup yang boleh dikunci.
Sumber : Dr. Kamarul Ariffin