Bersalin

Bayi 3 Bulan Meninggal Dunia Dicekik Ibu Sendiri, Dipercayai Meroyan

17.1K
SHARES

Bayi perempuan berusia tiga bulan maut dipercayai telah dicekik ibu kandungnya yang dilaporkan mengalami tekanan perasaan atau meroyan.

Kejadian berlaku di sebuah kampung di Cheneh, Chukai, pada hari ini, 11 September 2019.

Bayi malang terbabit disahkan meninggal dunia di klinik kesihatan di Cheneh, pada 11.30 pagi.

Foto Kredit: Buletin TV3

“Saya dah hantar dia ke syurga”

Menurut sumber berita di TV3 dan Harian Metro, pihak klinik terbabit didatangi oleh suami yang membawa bayi berkenaan dalam keadaan lemah.

Susulan itu, pihak klinik memberi bantuan kecemasan untuk menyelamatkan bayi berkenaan, tetapi gagal.

Hasil pemeriksaan mendapati terdapat unsur dera terhadap mangsa sebelum laporan polis dibuat. Menurut pihak polis, si suami pulang ke rumah untuk menghantar makanan dan mendapati isterinya sedang terbaring di sebelah bayi berkenaan pada 10 pagi.

Si suami bertanya kepada isterinya sama ada mahu makan atau tidak, tetapi wanita terbabit memaklumkan bahawa dia sudah ‘menghantar anak mereka itu ke syurga’.

Mendengar penjelasan itu lelaki terbabit serta-merta terus membawa anaknya ke klinik namun gagal diselamatkan.

Polis Tidak Menolak Kemungkinan Ibu Alami Kemurungan

Selepas melahirkan bayi sulung itu, difahamkan ibu mangsa pulang berpantang di rumah ibunya di Besut dan dalam tempoh dua hari berpantang, suaminya berusia 27 tahun membawa pulang anaknya itu untuk dijaga di Cheneh.

Memurut salah seorang ahli keluarga yang sudah beberapa kali melawat ibu dan bayi itu ketika dalam pantang, mereka tidak nampak apa yang pelik termasuk meroyan atau sebagainya.

“Cuma saya pernah dengar dia ada bercakap sesuatu yang tidak masuk akal, tetapi tidak pasti sama ada mengalami sebarang tekanan atau sebaliknya,” katanya.

Ketika berjauhan, bayi itu sering dibawa pulang ke Besut untuk bertemu dengan ibunya sepanjang dua bulan lebih berada bawah jagaan bapanya.

Pada masa bekerja, bapanya menghantar bayi ke rumah pengasuh untuk dijaga. Namun sejak dua minggu lalu, ibu bayi berkenaan dibawa pulang ke rumah mereka di Cheneh.

“Saya difahamkan semalam dan hari ini, si ibu tidak mahu anaknya itu dihantar ke rumah pengasuh dan saya tidak sangka perkara tidak diingini berlaku,” kata salah seorang ahli keluarga tadi.

Menurut pihak polis, bedah siasat terhadap mayat dijadualkan dilakukan di Kuala Terengganu esok.

Pihak polis tidak menolak kemungkinan kes dikaitkan demgan kemurungan, namun siasatan lanjut berhubung kejadian giat dijalankan dan pihaknya menunggu keputusan bedah siasat untuk tindakan selanjutnya.

*Sumber berita asal : Buletin TV3Harian Metro

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×