Sihat

5 ‘Penderaan’ Perokok Pada Anak Kecil, Walaupun Merokok Luar Rumah

1.3K
SHARES

Kebanyakan perokok mengambil ringan terhadap kesan bahaya asap rokok kepada orang ramai, bahkan keluarga sendiri. Ramai yang berfikiran cetek menganggap, “Ayah aku dulu merokok, kami semua sihat je, tak ada masalah pun sampai dah besar panjang”.

Jika ini mentaliti anda, nampaknya anda belum faham 5 perkara ini.

5 Bahaya Asap Rokok Kepada Anak Kecil

1. Asap Rokok Tetap Beracun Walaupun Tidak Secara Langsung

Secara umumnya terdapat 3 jenis exposure atau pendedahan asap rokok, dan ketahuilah bahawa ketiga-tiga tahap ini tetap merbahaya.

  • First-hand smoke, iaitu asap yang disedut oleh perokok itu sendiri.
  • Second-hand smoke, iaitu asap yang dihembuskan oleh perokok atau dilepaskan oleh rokok yang menyala.
  • Third-hand smoke, iaitu kesan asap rokok selepas seseorang selesai merokok. Kesan ini boleh terlekat di kulit, baju, bangku, sofa, lantai, langsir, dalam kereta, dan sebagainya walaupun selepas berjam-jam ditinggalkan oleh perokok.

Jadi, memang betul anda tak menghembus asap di hadapan bayi atau kanak-kanak di tempat awam. Tapi, tempat duduk bekas perokok juga masih mempunyai kesan racun yang terlekat pada ruang sekitarnya.

Apa yang lebih buruk, jika anda seorang perokok dan mempunyai anak kecil, anda akan sentiasa mendedahkannya kepada racun-racun ini sepanjang hari. Lemasnya!

bahaya asap rokok

Foto Kredit: todayonline.com

2. Hembusan Rokok Juga Mengandungi ‘Jangkitan’ Dari Mulut Anda

Menurut satu lagi sumber, asap rokok ‘basi’ ini lebih merbahaya kepada anak-anak kerana mereka bukan saja terdedah kepada 7000 jenis bahan beracun (70 daripadanya boleh menyebabkan kanser), malah juga asap buangan dari mulut perokok yang berpenyakit seperti batuk, bronkitis, atau penyakit paru-paru.

Menurut sebuah laman web kesihatan MyHealth.Alberta, kesan toksin ini boleh dijumpai di dalam darah, air kencing, air liur, dan air susu badan, walaupun terdedah kepada asap rokok dalam jangka masa yang pendek.

Sudahlah konsentrasi bahan karsinogen, nikotin, karbon monoksida, benzen, formalsehid dan hidrogen sianid dua kali ganda lebih tinggi, dapat pula penyakit free yang di’sumbangkan’ daripada air liur perokok ini. Kita kalau batuk dan bersin pun tutup mulut, kan?

Tips Berhenti Merokok

Foto Kredit: yourworldlyvoices.files.wordpress.com

3. Batuk, Kahak, Lelah Yang Asyik Berulang Ke Hospital

Bukan semua anak dilahirkan dengan keadaan kesihatan yang sama. Ada yang lebih sensitif berbanding yang lain. Kalau tak ‘alert’, anda boleh menjadi punca penderitaan mereka buat jangka masa panjang.

Apa yang perlu anda faham, semua anak kecil mempunyai peparu yang lebih kecil. Kalau orang dewasa bernafas dalam kadar 15 atau 16 kadar pernafasan seminit, kanak-kanak pula bernafas pada kadar yang lebih tinggi, iaitu dalam 40 hingga 50 kadar pernafasan seminit.

Oleh kerana mereka bernafas lebih cepat, tubuh kecil itu terpaksa menghirup jumlah bahan kimia beracun yang lebih banyak berbanding orang dewasa. Bila dah mula batuk, bayi biasanya mengambil masa yang lama untuk sembuh. Pendedahan berterusan boleh menyebabkan masalah radang pernafasan, lelah (asthma), kahak, dan jangkitan paru-paru yang kronik.

Foto Kredit : elespecial.com

4. Sesetengah Penyakit Akan Kekal Hingga Dewasa Dan Boleh Menjadi Lebih Kronik

Sistem kekebalan tubuh anak-anak yang masih belum sekuat orang dewasa mengakibatkan mereka mudah jatuh sakit. Masalah kesihatan seperti lelah, batuk, dan penyakit berkaitan saluran pernafasan ini boleh menjadi kronik walaupun apabila meningkat usia dewasa.

Kajian yang didedahkan oleh Daily Mail menjelaskan bahawa ia mempunyai perkaitan yang kuat dengan pendedahan kepada asap rokok yang kerap, terutamanya oleh ibu bapa sendiri. Bahkan, hampir 90% daripada kanak-kanak yang menghidap penyakit paru-paru adalah daripada keluarga yang sekurang-kurangnya mempunyai seorang perokok.

Foto Kredit: rotana.net

5. Menjejaskan Pembelajaran, Menyebabkan Kemurungan, & Ketagihan Di Awal Usia

Penderitaan terakhir ini pula ditujukan khas buat bapa-bapa perokok. Sebagai bapa, anda boleh menjadi punca ketagihan rokok anak-anak dalam usia muda. Risiko menjadi perokok meningkat sebanyak 1 setengah kali ganda apabila mereka terbiasa dengan budaya merokok di rumah.

Ketidakselesaan keadaan tersebut bukan saja mengganggu mereka untuk belajar, tetapi dalam beberapa penelitian lain, pakar turut mendapati ia boleh menjejaskan IQ anak serta menjadi punca hiperaktif (ADHD) dan kemurungan.

Ingat, rokok boleh menyebabkan anak terlibat dengan masalah disiplin di sekolah. Ia juga boleh menjadi punca kecenderungan terhadap dadah, aktiviti liar lain dan jenayah. Tak cukup dengan ‘menzalimi’ ruang persekitaran mereka untuk membesar, takkanlah kita sanggup melihat masa depan mereka bermasalah?

senarai sekolah bermasalah hotspot

Foto Kredit: sarawakvoice.com

Fikir Dulu Sebelum Merokok

Benarlah anda ada hak untuk merokok, tapi beringatlah bahawa kesannya bukan kena pada anda seorang saja. Pandang kiri kanan dan prihatinlah kepada penderitaan orang lain, terutamanya anak anda yang masih kecil. Cukuplah anda seorang saja yang menghirup dan menelan asap rokok itu.

Jika suami masih tidak berjaya berhenti merokok, teruskanlah sokongan moral dan kata-kata semangat. Kini, terdapat Klinik Berhenti Merokok, rawatan kaunseling, beserta ubat khusus yang disediakan di hospital kerajaan secara percuma.

Bagi orang awam pula, kalau nampak orang yang merokok, cuba cari tempat duduk yang jauh daripada mereka atau tukar saja ke restoran yang lain.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×