Tujuh pelajar tahfiz dari Madrasatul Quran Ar-Redha turun ke Pantai Tanjung Lompat bagi menunaikan solat hajat dan doa selamat, selain melaungkan azan sebagai ikhtiar membantu usaha mencari tiga pelajar yang masih belum ditemukan selepas tragedi lemas.
Baca juga: Cekodok Pisang Lebih Garing Di Luar Guna Tepung Beras, Ini Sukatan & Orang Ada Gastrik Boleh Makan!
PELAJAR TAHFIZ LAUNG AZAN, IKHTIAR CARI REMAJA LEMAS

Kredit: BERNAMA
Usaha tersebut dilakukan ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kedua susulan kejadian yang mengorbankan seorang pelajar, manakala tiga lagi masih hilang.
Mudir Madrasatul Quran Ar-Redha, Muhammad Redza Imran Abdullah berkata, pihak madrasah mengambil inisiatif berkenaan sebagai satu bentuk ikhtiar daripada mereka yang berada di lokasi.
Menurutnya, kesemua tujuh pelajar yang terlibat berusia antara 11 hingga 17 tahun dan telah khatam al-Quran.
Katanya, azan, solat hajat dan doa selamat itu turut dilakukan selepas pihak madrasah memperoleh keizinan daripada keluarga mangsa.
“Sebagai manusia, kita tidak mempunyai daya. Apa yang dilakukan ini bukan untuk menunjukkan apa-apa, sebaliknya kita hanya memohon pertolongan daripada Allah.
“Ini merupakan ikhtiar kita sebagai umat Islam, selain usaha yang sedang digerakkan oleh pasukan penyelamat,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar, Fauziah Misri turut berada di lokasi bagi melihat perkembangan operasi SAR selain bertemu dengan keluarga pelajar yang terlibat.
Beliau menyifatkan kejadian berkenaan sebagai satu tragedi yang amat menyedihkan, lebih-lebih lagi apabila membabitkan empat pelajar.
Menurutnya, tindakan sewajarnya perlu diambil bagi meningkatkan aspek keselamatan di kawasan pantai berkenaan.
Beliau berkata, antara langkah yang akan dipertimbangkan adalah pemasangan papan tanda amaran bagi mengingatkan orang ramai mengenai keadaan di kawasan tersebut.
“Kawasan pantai ini sebenarnya tidak dibuka kepada orang awam untuk aktiviti mandi-manda dan berkelah. Pantai ini juga tidak diselenggara oleh mana-mana pihak dan kebiasaannya digunakan nelayan untuk turun ke laut,” katanya.
Susulan kejadian itu, beliau berkata perbincangan akan diadakan bersama pihak berkaitan bagi melihat keperluan memasang papan tanda amaran di kawasan tersebut.
Dua orang mayat mangsa ditemui

Selepas lebih 24 jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan, seorang lagi mangsa tragedi lemas di Pantai Tanjung Lompat, Penawar, berjaya ditemukan hari ini.
Muhammad Thaqif Rayyan Rumainoor, 16, ditemukan terapung oleh seorang nelayan kira-kira 800 meter dari kawasan penemuan mangsa pertama.
Mayat mangsa ditemukan sekitar jam 1.53 petang tadi sebelum dibawa ke daratan untuk tindakan lanjut.
Sebelum ini, mangsa pertama, Alif Taqiudin Kamal Hasrul Mohamad, 16, ditemukan pada jam 1.25 petang semalam oleh pasukan SAR dengan bantuan penduduk kampung.
Mangsa ditemukan kira-kira 800 meter dari lokasi dia dilaporkan lemas.
Dalam perkembangan terkini, operasi SAR masih diteruskan bagi mengesan dua lagi pelajar, Mohamad Haiman Fitri Supian dan Muhammad Adib Hafiy Kamal, yang masih belum ditemukan.
Kesemua empat pelajar berusia 16 tahun terbabit dilaporkan mengalami kejadian lemas ketika berada di Pantai Tanjung Lompat semalam.
Sumber: Sinar Harian & Malaysia Gazette
