Penggunaan bekas ubat sememangnya memudahkan seseorang menyusun ubat mengikut waktu pengambilan, terutama bagi mereka yang perlu mengambil beberapa jenis ubat setiap hari.
Namun, cara ubat dikeluarkan daripada pembungkus asal dan disimpan dalam bekas juga perlu diberi perhatian bagi mengelakkan ubat rosak atau berlaku kesilapan pengambilan.
Baca juga: Jadual Waktu SPM 2026 Versi Lengkap, Ini Tarikh Ujian Amali, Mendengar & Peperiksaan Bertulis
BEKAS UBAT MEMANG BERGUNA TAPI BOLEH UNDANG PADAH

Perkara itu dikongsikan oleh Izzuddin Mohamad menerusi laman Threads selepas dia melihat cara seseorang menyediakan ubat di dalam pillbox.
Menurut Izzuddin, antara perkara yang perlu dielakkan ialah mengeluarkan tablet daripada blister terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam pillbox.
Katanya, sesetengah ubat boleh menjadi sensitif dan kurang stabil apabila terdedah kepada udara. Oleh itu, membiarkan tablet terdedah untuk tempoh tertentu berpotensi menjejaskan kestabilan atau kualiti ubat, bergantung kepada jenis ubat berkenaan.
Sebagai langkah lebih baik, Izzuddin mencadangkan supaya blister dipotong dalam bahagian kecil dengan tablet masih berada di dalam pembungkus asal.
“Kalau boleh jangan terus bukak ubat daripada blister. Sebab apa? Sebab ubat sangat sensitif dan tak stabil apabila terdedah pada udara,” katanya dalam perkongsian tersebut.
Blister yang telah dipotong itu kemudian boleh dimasukkan ke dalam ruang pillbox. Tablet hanya dikeluarkan daripada blister apabila tiba waktu untuk mengambil ubat.
Selain isu penyimpanan, Izzuddin turut memberi perhatian kepada risiko medication error atau kesilapan pengubatan.
Dalam situasi yang dikongsikan, terdapat dua jenis tablet berwarna putih yang kelihatan hampir sama. Menurutnya, ia merupakan amlodipine dan atorvastatin.

Walaupun kedua-duanya berbentuk tablet dan kelihatan hampir serupa, ubat tersebut mempunyai tujuan serta waktu pengambilan yang berbeza mengikut arahan preskripsi.
Dia menjelaskan bahawa amlodipine perlu diambil pada waktu pagi, manakala atorvastatin pula pada waktu malam sebelum tidur, berdasarkan situasi yang dikongsikan.
Cadang letak label nama ubat dan waktu pengambilan
Bagi mengurangkan risiko kekeliruan, Izzuddin mencadangkan supaya setiap ruang dalam pillbox dilabel dengan nama ubat serta waktu pengambilan.
Langkah mudah seperti meletakkan label atau tag boleh membantu pengguna mengenal pasti ubat dengan lebih mudah, terutama sekiranya terdapat beberapa jenis tablet yang mempunyai bentuk dan warna hampir sama.
“Buat label/tagging pada bekas pillbox nama ubat dan waktu pengambilan,” jelasnya.
Menurutnya, penyediaan ubat dengan cara yang lebih sistematik dapat membantu mengurangkan risiko ME atau medication error.
Perkongsian tersebut secara tidak langsung mengingatkan orang ramai bahawa penyimpanan ubat bukan sekadar memasukkan semua tablet ke dalam satu bekas untuk memudahkan pengambilan.
Baca juga: “Dulu Cantik Macam Anak Patung, Pelajar Cemerlang SPM” – Rakan Lama Dedah Kisah Kak Liza Teluk Intan
Sumber: Threads Izzuddin Mohamad
