Seorang murid pendidikan khas mencuri perhatian ramai apabila dilihat rajin mengutip sampah di sekitar kawasan sekolah setiap hari. Perkongsian itu raih perhatian warganet dan memuji sifat ibu bapanya yang mendidik anak mengutip sampah sejak kecil.
MURID PENDIDIKAN KHAS DIPUJI KUTIP SAMPAH DI KAWASAN SEKOLAH

Foto: Threads @faizar_roy
Baru-baru ini, tular perkongsian di Threads tentang video memaparkan seorang murid lelaki sedang mengutip sampah di sekitar kawasan sekolah.
Menurutnya, murid berkenaan bukan sahaja membersihkan kawasan di dalam sekolah, malah turut mengutip sampah di luar pagar sekolah termasuk di bahu jalan.
“Anak siapa la ni, bagus kutip-kutip sampah sampai kat luar kawasan sekolah. Semoga terus buat kebaikan dan berjaya dalam pelajaran.”
Dalam hantaran sama, perkongsian itu turut memaklumkan bahawa dia percaya murid tersebut ialah individu yang pernah dikongsikannya sebelum ini kerana sering melakukan kerja-kerja kebajikan dengan mengutip sampah di kawasan berkenaan.
“Saya syak ini budak baik yang sama yang saya post minggu lepas. Dia memang buat kerja amal kutip sampah di kawasan sekolah dan kawasan luar tepi jalan.
“Teruskan buat jasa baik anak muda. Terbaik parent di luar sana dapat mendidik anak seperti ini. Alhamdulillah.”
Pernah Kutip Sampah Di Longkang Luar Sekolah

Foto: Threads @faizar_roy
Sebenarnya, ini bukan kali pertama murid tersebut menjadi perhatian warga maya.
Minggu lalu, pengguna tersebut turut memuat naik satu lagi video yang memaparkan seorang murid dipercayai individu sama sedang mengutip sampah di sekitar longkang dan kawasan pokok di luar sebuah sekolah yang dipercayai terletak di SMK Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang.
Perkongsian itu sekali lagi menerima pujian ramai kerana sikap prihatin murid berkenaan terhadap kebersihan persekitaran.
Netizen Berkata Kutip Sampah Memang Jadi Rutin Hariannya

Foto: Threads @faizar_roy
Meninjau ruangan komen, beberapa individu yang mendakwa mengenali murid berkenaan memaklumkan bahawa aktiviti mengutip sampah itu sememangnya menjadi rutin hariannya.
Menurut mereka, pelajar PPKI itu dilihat berjalan dari satu hujung sekolah ke hujung yang lain semata-mata untuk memastikan kawasan sekolah kekal bersih.
“Budak ni hari-hari kutip sampah. Dia pelajar PPKI. Memang rutin harian dia.”
Seorang lagi netizen berkata dia sering melihat murid tersebut mengutip sampah di sekitar jalan berhampiran sekolah.
“Budak ni selalu kutip sampah tepi-tepi jalan kat sekolah dia. Saya selalu nampak dia, hanya mampu doakan hidup dia sentiasa baik-baik saja.”
Dalam masa sama, ada juga individu berkongsi bahawa murid berkenaan sanggup berjalan mengelilingi kawasan sekolah untuk mengutip sampah satu demi satu.
“Saya selalu nampak budak ni masa hantar anak pergi sekolah. Memang rajin budaknya. Bukan sekitar luar sekolah sahaja dia kutip sampah, dari hujung ke hujung sekolah dia berjalan kutip satu-satu.
“Yang paling bagus, ada antara pelajar yang lepas makan pergi dekat budak ni bagi sampah kepada dia. Kalau semua pelajar macam ni, memang bersih kawasan sekolah.”
Perkongsian itu membuatkan ramai tersentuh hati dan berharap sikap mulia murid berkenaan dapat menjadi contoh kepada masyarakat, khususnya dalam memupuk budaya menjaga kebersihan tanpa mengira usia mahupun latar belakang.
Baca juga: Berita Baik! Pelajar 10A SPM Layak Masuk Program Matrikulasi Secara Automatik Tanpa Kira Kaum – PMX
Sumber: Threads @faizar_roy
