Euforia Bola 2026
Asuh

Anak Campur Bahasa Bila Bercakap? Doktor Jelaskan Kenapa Ibu Bapa Tak Perlu Terlalu Risau

Anak Campur Bahasa

Gambar ini adalah untuk tujuan ilustrasi sahaja. Ia tidak mewakili sebarang kejadian, prosedur perubatan, atau interaksi sebenar antara profesional penjagaan kesihatan dan pesakit.

Ramai ibu bapa pernah melalui situasi ini.

Di rumah anak bercakap bahasa Melayu, bila jumpa nenek bertukar loghat Kedah, masuk tadika pula mula sebut perkataan Inggeris.

Situasi ini  menimbulkan persoalan, antaranya “normal ke anak campur-campur bahasa macam ni? Nanti anak aku lambat dapat bercakap dengan betul”.

Sebenarnya, kebimbangan itu sangat biasa. Menurut pakar, membesar dalam persekitaran yang mempunyai lebih daripada satu bahasa bukanlah penyebab anak lambat bercakap. Malah, ia boleh memberi banyak manfaat kepada perkembangan mereka.

Malaysia tempat terbaik untuk anak belajar lebih daripada satu bahasa

Malaysia mempunyai kelebihan yang tidak dimiliki oleh banyak negara lain.

Sejak kecil, ramai kanak-kanak sudah terdedah kepada sekurang-kurangnya dua atau tiga bahasa. Malah dalam Bahasa Melayu sendiri, kita ada pelbagai loghat seperti Kelantan, Kedah, Johor atau Sarawak.

Anak Campur Bahasa

Dr. Bernice Lim Pei Yi, Pakar Perunding Pediatrik, Sri Kota Specialist Medical Centre.

Berdasarkan perkongsian Dr. Bernice Lim Pei-Yi, semua pendedahan ini sebenarnya membantu otak anak menjadi lebih fleksibel dalam memproses bahasa.

Apa yang sering menjadi cabaran bukanlah kemampuan anak, tetapi kerisauan ibu bapa sendiri.

Ada yang sengaja menghadkan penggunaan bahasa kerana takut anak keliru atau lambat bercakap. Sedangkan, pembelajaran pelbagai bahasa tidak menyebabkan kelewatan bertutur.

Walaupun jumlah perkataan dalam satu-satu bahasa mungkin nampak sedikit, tetapi apabila dikira secara keseluruhan jumlah perkataan yang dituturkan biasanya sama atau lebih banyak.

Anak campur Bahasa Melayu dan Inggeris? Itu sebenarnya perkara biasa

“Mama, I nak susu.”

“Nak play dekat luar.”

Ramai ibu bapa menganggap anak mereka keliru apabila bercakap seperti ini.

Keadaan ini dikenali sebagai code-switching, iaitu kebolehan bertukar bahasa mengikut situasi. Kajian menunjukkan kanak-kanak melakukan perkara ini secara sistematik, bukannya secara rawak.

Malah, ramai orang dewasa di Malaysia juga bertutur dengan cara yang sama setiap hari.

Selain itu, kajian turut mendapati kanak-kanak yang membesar dengan lebih daripada satu bahasa berpotensi mempunyai beberapa kelebihan seperti:

  • Lebih mudah memberi fokus.
  • Lebih cekap bertukar antara tugasan.
  • Memori kerja yang lebih baik.
  • Lebih cepat membina kemahiran memahami orang lain atau empati.

Semua ini tidak memerlukan kelas khas.

Berbual dengan anak ketika makan, membaca buku sebelum tidur, menyanyi bersama atau berbual menggunakan bahasa yang paling selesa di rumah sudah cukup membantu perkembangan mereka.

Bila ibu bapa perlu risau?

Walaupun setiap kanak-kanak berkembang mengikut kadar masing-masing, ada beberapa pencapaian bahasa yang boleh dijadikan panduan umum.

Anak Campur Bahasa

Berdasarkan panduan pakar:

  • 6 hingga 9 bulan: Mula babbling dan meniru bunyi.
  • 12 bulan: Sekurang-kurangnya satu perkataan yang bermakna.
  • 18 bulan: Sekitar 10 hingga 20 perkataan dan mula menunjuk atau meminta sesuatu.
  • 24 bulan: Mula menggabungkan dua perkataan seperti “nak susu” atau “mama pergi”.
  • 3 tahun: Boleh membina ayat tiga perkataan atau lebih.
  • 4 hingga 5 tahun: Bertutur dengan lebih lancar dan mula membezakan bahasa mengikut orang yang diajak bercakap.

Namun ibu bapa disarankan mendapatkan pemeriksaan jika anak menunjukkan tanda-tanda seperti:

  1. Tidak memberi respons apabila dipanggil nama menjelang usia 12 bulan.
  2. Tiada cubaan berkomunikasi seperti menunjuk atau memanggil menjelang 18 bulan.
  3. Pernah bercakap tetapi tiba-tiba berhenti atau semakin kurang bercakap.

Jika naluri ibu bapa merasakan ada sesuatu yang tidak kena, jangan tunggu terlalu lama.

Dapatkan penilaian awal, kerana lebih tinggi peluang yang ada untuk membantu anak anda ketika mereka masih berada pada fasa perkembangan otak yang pesat.

Apa yang pasti, ibu bapa tidak perlu terlalu risau jika anak membesar dalam persekitaran yang mempunyai pelbagai bahasa.

Yang penting ibu bapa perlu kerap bercakap, berinteraksi dan meluangkan masa berkomunikasi dengan anak.

Tidak perlu menunggu sebutan menjadi sempurna atau menggunakan bahasa Inggeris yang fasih.

Teruskan berbual ketika makan, mandi, bermain atau sebelum tidur dengan menggunakan bahasa yang  anda selesa di rumah kerana  inilah yang akan menjadi asas kepada perkembangan bahasa mereka.

Untuk temujanji sila hubungi Pusat Perubatan Pakar Sri Kota (Jalan Mohet, 41000, Klang, Selangor)

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×