Euforia Bola 2026
Famili

“Pelukan & Salam Raya 2024 Itu Sangat Berharga..” – Kini Susuk Tubuh Ibu Tidak Lagi Terlihat Di Pagi Raya

Membuka tirai ‘Salam Syawal Siraplimau’, untuk 2026 kami mulakan dengan edisi syahdu yang penuh rindu. Raya tanpa ibu terpaksa dilalui oleh Nurul Afiqah, 26 tahun, dari Pasir Gudang, Johor, meninggalkan kenangan manis yang kini hanya hidup dalam ingatan.

Kehilangan ibu tersayang, Norati Binti Raja Yusof, seminggu sebelum Syawal pastinya menjadi detik paling sukar dalam hidupnya.

Baca juga: Kisah Cinta Dari Borneo Ke Belgium, Wanita Ini Tempuh Perjalanan Hidup Luar Biasa!

RAYA TANPA IBU, RUMAH RASA SUNYI DAN LAIN

RAYA TANPA IBU

Bagi Nurul, arwah ibunya adalah wanita luar biasa, seorang yang sentiasa tersenyum walaupun berdepan ujian berat, cekal membesarkan anak-anak dan bijak mengurus rumah tangga.

“Walaupun sedang sakit, saya jarang nampak ibu mengeluh. Dia tetap tersenyum,” kongsinya.

Hubungan mereka sangat rapat dan Nurul sering berkongsi cerita tentang tekanan kerja, hal kehidupan dan apa sahaja yang terbuku di hati. Ibunya bukan sekadar pendengar, malah pemberi nasihat yang menenangkan.

Arwah disahkan menghidap kanser payudara tahap akhir pada awal 2024. Keadaan kesihatannya semakin merosot pada awal 2025. Ketika Ramadan tahun lalu, ibunya mengalami sesak nafas dan dikejarkan ke hospital sebelum dimasukkan ke zon merah.

Doktor memaklumkan keadaan sudah tiada harapan dan memberi suntikan morphin untuk mengurangkan kesakitan.

RAYA TANPA IBU

“Hati saya kosong. Rasa macam masa berhenti. Saya cuma mahu berada dekat dengannya sebab saya tahu setiap detik itu sangat berharga,” luah Nurul.

Selepas pemergian arwah, suasana rumah berubah sama sekali. Lebih memilukan kerana ia berlaku pada bulan Ramadan. Malam tarawih pertama tanpa ibu menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan. Walaupun mereka tetap solat berjemaah seperti biasa, perasaan kosong jelas terasa.

Setiap kali menjelang raya, persiapan dibuat bersama. Tahun lalu, mereka sempat mengecat rumah berwarna putih atas permintaan arwah. Walaupun sakit, ibunya masih menjahit dan menyiapkan baju raya terakhir untuk adik-adiknya.

Antara yang paling dirindukan adalah ayam masak merah dan sayur lodeh air tangan ibu. Di kampung, ibunya dikenali sebagai ‘ketua cef’ setiap kali raya.

Kekalkan tradisi walaupun ibu sudah tiada

“Raya terakhir bersama ibu pada 2024 masih jelas dalam ingatan. Walaupun sakit, dia tetap bangun membantu memasak. Pelukan dan salam pagi raya itu sangat berharga. Raya tetap raya, tapi rasanya kosong,” ujarnya.

Walaupun ibu sudah tiada, Nurul tetap meneruskan tradisi yang ditinggalkan. Dia masih menggunakan resipi tulisan tangan arwah untuk membuat kuih raya seperti cornflakes madu.

Setiap kali membacanya, kenangan bersama ibu kembali bermain di fikiran. Baginya, yang paling sukar adalah menyambut raya dalam suasana meriah tetapi hati terasa kosong. Namun kekuatan diperoleh daripada Allah, ayah dan adik-beradik yang saling menyokong antara satu sama lain.

RAYA TANPA IBU

“Orang kata masa akan sembuhkan, tapi bagi saya kehilangan ibu tak pernah hilang. Cuma kita belajar untuk hidup dengan rasa itu. 

“Nikmatilah hidup bersama ibu sebelum Allah tarik peluang itu. Jangan tunggu hilang baru menyesal. Kenangan gelak tawa, pelukan pagi raya dan kasih sayangnya akan sentiasa hidup dalam hati saya,” tambahnya.

Namun di sebalik kesedihan itu, Nurul mahu arwah diingati sebagai seorang ibu yang tabah, kuat menghadapi ujian dan berjaya membesarkan anak-anak yang tidak pernah putus mendoakannya.

Baca juga: Pakar Dedah Daun Selasih Boleh HALANG Kanser Payudara & Hati, Ini Caranya Kalau Buat Sendiri

AMARAN!

Artikel ini merupakan temu ramah eksklusif Sirap Limau dengan pihak terbabit. Jadi, anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di laman portal yang lain tanpa pemberian kredit yang tepat.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×