Deko & Hias

7 Tips Tanam & Jaga Pokok Strawberi Supaya Berbuah, Tak Payah Ke Cameron Highland Dah!

52
SHARES

Rona kemerahan dan rasa manis buah strawberi di Tanah Tinggi Cameron Highlands sememangnya menjadi buah mulut. Tahukah anda sebenarnya ada spesies strawberi yang sesuai ditanam di tanah rendah Malaysia. Ia tidak memerlukan kaedah rumah hijau pun. Anak benih pokok strawberi juga mudah didapati secara online. Memang wajar tanaman ini menjadi kian popular. Berikut adalah perkara yang perlu diberi perhatian dan dipatuhi dalam penjagaannya supaya habitat pokok strawberi anda nanti sempurna.

TIPS PENJAGAAN POKOK STRAWBERI

1. MEDIUM/TANAH

Strawberi memerlukan medium tanaman yang peroi dan bersaliran baik. Yang menjadi keutamaan ialah medium tersebut mampu memegang kelembapan dalam jangka masa yang lama. Kebanyakkan nurseri mengunakan sabut kelapa yang telah dirawat sebagai medium tanpa tambahan bahan lain. Ini kerana sifat sabut kelapa yang ringan serta mampu mengekalkan kelembapan amat sesuai dengan kondisi pokok strawberi. Secara tidak langsung sabut tersebut berupaya menjadi baja kompos.

2. PH MEDIUM

Pokok strawberi anda memerlukan pH yang simbang dangan keperluannya untuk mendapatkan saiz buah optimum. pH ideal untuk tanaman ini adalah antara 5.5 hingga 7.

3. PENCAHAYAAN

Pokok strawberi memerlukan pencahayaan sekurang-kurangnya 4 jam sehari untuk iklim Malaysia. Berbanding di negara beriklim sejuk, strawberi perlukan pengamatan cahaya minimum 6 jam sehari. Namun tidak terlalu terus. Letakkan di kawasan separa teduhan. Oleh itu, strawberi sesuai ditanam di ruang anjung kediaman.

4. KEPERLUAN SAIZ KAWASAN

Pokok strawberi tidak suka tumbuh secara berhimpit. Ia akan mengakibatkan kesukaran penghasilan bunga dan secara tidak langsung memberi kesan kepada hasil buah. Hal ini terjadi di sebabkan apabila pokok terlalu berhimpit-himpit, bahagian bawah atau pangkal pokok yang menghasilkan kudup bunga mengalami kesukaran menerima cahaya matahari. Oleh itu, jarak bagi setiap tanaman perlu dikekalkan sekurang-kurangnya 20 inci setiap satu.

5. SIRAMAN

Jika anda menggunakan sabut kelapa sebagai medium tanaman, penyiraman boleh dilakukan apabila medium kelihatan kering atau jika perlu. Perlu diingat, strawberi memerlukan medium tanaman yang sentiasa lembap bukan basah tau. Jika air terlalu banyak, ia akan merosakkan akar serta menggalakkan pertumbuhan kulat. Siraman paling perlu di jaga ketika buah sedia dipetik. 3-5 hari sebelum dipetik, penyiraman perlu dikurangkan untuk mengelak buah masam.

6. BAJA

Pokok strawberi paling sesuai menggunakan baja cecair kerana ia mudah diserap. Tambahan pula, sistem akar pokok strawberi yang terlalu pendek sukar menyerap atau mencapai baja yang jenis slow release. Baja kimia yang sesuai digunakan untuk strawberi adalah larutan 12:12:12 untuk tujuan tumbesaran pokok manakala larutan 15:15:15 digunakan untuk penggalak buah. Pembajaan perlu dilakukan sekurang-kurangnya 2 minggu sekali. Namun AWAS! Baja kimia bersifat panas dan mudah merosakkan akar pokok. Oleh itu, penggunaan baja dan racun kimia perlu minima.

Seeloknya, pokok strawberi sesuai menggunakan baja organik. Walaupun produktivitinya tidak optimum, jangka hayat tanaman lebih tahan lama berbanding penggunaan baja kimia.

7. PEMANGKASAN

Daun pokok strawberi perlu dipangkas setiap bulan. Sebaiknya, 7-9 daun sahaja yang dibenarkan untuk bagi setiap pokok. Ini kerana, jika daunnya terlalu banyak, penghasilan buah akan terganggu. Ia disebabkan oleh permukaan batang bawah pokok yang menghasilkan daun, sulur dan bunga terlindung dari cahaya matahari. Lebih kerap anda memangkas, lebih banyak sulur dan buah yang dapat dihasilkan. Selain itu juga, bilangan sulur perlu di kurangkan untuk membolehkan hasil buah lebih banyak.

Sumber: Baja Ezigrow Untuk Semua

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×