Riadah/Relax

5 Lokasi Taman Riadah Menarik Sekitar KL & Selangor, Masuk Tak Perlu Bayar Pun

24
SHARES

Kuala Lumpur dan Selangor memilik banyak tempat riadah yang menarik dan luas. Infrastruktur yang sempurna dan baik juga melengkapi setiap taman atau kawasan riadah bagi kemudahan dan keselesaan pengunjung. Berjalan menikmati panorama alam semulajadi dapat merehatkan minda dan memberikan inspirasi kepada anda dan di samping dapat meluangkan waktu berkualiti bersama tersayang dengan mengunjungi taman-taman menarik berikut, anda juga dapat membakar kalori secara tidak langsung. Minda positif dan badan pun sihat!

1. TAMAN TASIK TITIWANGSA

Pengubahsuaian dan penambahbaikan dengan adanya penambahan Canopy Bridge yang terdapat di taman ini akan membolehkan anda merasakan bagai diselubungi kabus buatan yang sememangnya menerujakan. Jangan lepaskan peluang untuk bergambar dan menikmati suasana dan pemandangan dari atas jambatan tersebut. Taman ini pastinya adalah tempat hiburan terbaik buat kanak-kanak kerana terdapatnya taman permainan air yang terbuka bagi aktiviti mandi manda yang berdekatan dengan taman permainan di situ.

Fasiliti surau dan tandasnya juga bersih dan mesra OKU. Pemandangan KLCC, KL Tower dan bandar metropolitan yang tersergam indah menjadi latar belakang Tasik Titiwangsa, aktiviti seperti berkuda, berjoging, kayak dan berbasikal boleh dilakukan di taman ini. Anda juga akan melintasi kumpulan tai chi yang aktif pada setiap minggu, memang tiada masalah jika mahu turut serta sekali.

2. TAMAN METROPOLITAN KEPONG (TAMAN LAYANG-LAYANG)

Taman yang terkenal dengan akitiviti bermain layang-layang ini menyediakan pelbagai ruangan aktiviti menarik yang lain seperti berjoging atau berbasikal di laluan siar kakinya iaitu sejauh 3.5 km, anda juga boleh memancing ataupun memilih untuk berkelah di atas rumpur hijau yang luas. Keindahannya di waktu petang dimeriahkan lagi dengan adanya aneka gerai jualan makanan dan minuman, gerai menjual layang-layang serta permainan seperti belon buih untuk kanak-kanak.

Taman seluas 90 hektar ini juga turut mempunyai padang bola sepak. Trek kereta kawalan dan menara pemerhati. Seisi keluarga semestinya gembira jika mengunjungi tempat rekreasi seperti ini, kepelbagaian corak dan warna layang-layang yang melintas angkasaraya juga akan membuatkan anda lupa akan masalah lain buat seketika.

3. TAMAN BOTANI PERDANA (TAMAN TASIK PERDANA)

Salah satu taman bandar terbesar di pusat bandar. Terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur dan boleh diakses melalui bas, teksi dan perkhidmatan rel KTM. Terdapat tumbuhan dengan pelbagai warna yang cantik. Anda juga boleh melihat rusa yang terdapat dalam taman ini. Saiz tamannya yang besar sering dikunjungi orang ramai pada hujung minggu.

Taman ini juga berdekatan dengan begitu banyak tarikan tambahan bermaksud ia adalah destinasi yang wajib dikunjungi. Contohnya, di dalam taman ini anda dapat melihat KL Bird Park, Butterfly Park, Orchid and Hibiscus Gardens, Deer Park (masuk percuma), Planetarium / Balai Cerap. Di sekitar taman pula anda boleh mengunjungi Masjid Negara, Muzium Nasional, dan Muzium Kesenian Islam.

4. HUTAN SIMPAN KOMUNITI KOTA DAMANSARA

Tempat ini sangat popular bagi aktiviti pendakian dan juga bagi mereka yang gemar berbasikal menaiki bukit. Di sebalik persekitaran bandar di Kota Damansara, terdapat hutan simpan yang boleh dijadikan sebagai tempat bagi mengeluarkan peluh dan menikmati keindahan serta kehijauan rimba.

Terdapat 9 Denai yang dibina iaitu Denai Petaling, Denai Pengakap, Denai Temuan, Denai Sahabat, Denai Unity, Denai Harmoni, Denai Tahak Sipew, Unity Peak dan juga Denai Tiga Puteri. Menaiki dan menuruni semula bukit memakan masa hampir 4 jam sekiranya pengunjung memilih untuk mendaki sehingga ke denai paling tinggi iaitu Denai Tiga Puteri, namun pemandangan yang diperoleh apabila sampai ke puncak amat berbaloi dengan penat lelah pendakian.

Sepanjang laluan juga anda boleh bertegur sapa dengan pendaki lain yang saling mengucapkan selamat pagi, menjadikan hari anda bertambah baik dengan udara segar sepanjang pendakian. Papan tanda dan peta yang terdapat di sana juga memudahkan anda untuk memilih laluan. Memang sesuai untuk pergi bersama rakan sekerja atau keluarga bagi merehatkan minda dengan menikmati panorama semulajadi.

5. TAMAN BOTANI PUTRAJAYA

Antara taman yang tercantik di asia dan dikenali sebagai taman botani buatan manusia terbesar di Malaysia. Anda boleh melihat pelbagai jenis bunga-bungaan dari seluruh pelusuk dunia yang terdapat di “Floral Garden’. Pokok-pokok hijau dan segar sepanjang jalan juga boleh dilihat secara dekat bersama pemandangan tasik yang terbentang di taman botani ini. Bagi yang suka berbasikal, anda boleh menyewa basikal untuk mengelilingi taman seluas 92 hektar ini mahupun menaiki trim yang dipandu oleh staff di sana.

Anda juga boleh mengetahui banyak perkara tentang herba tempatan yang digunakan oleh orang dahulu kala dalam merawat penyakit. Taman ini sememangnya luas dan bagi yang gemar melihat pemandangan dan menikmati kehijauan, alternatif berjalan kaki adalah yang terbaik buat anda. Di sini anda boleh berjoging, bergambar untuk pelbagai acara seperti perkahwinan atau ‘ootd’ yang sering diambil di Kawasan Astana Morocco iaitu replika Istana Moroccan yang terdapat di Marrakesh, Morocco dalam Taman Botani Putrajaya ini.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×