Nur

10 Sikap Untuk Kekal Bahagia & Berjaya Anda Kena Amalkan, Hidup Tenang…

37
SHARES

Tahun 2023 sudah pun tiba dan sebagai pembuka tirai sudah tentunya ramai yang berazam mahu menjadi insan lebih baik berbanding tahun sebelumnya. Tak mudah sebenarnya untuk istiqamah tetapi setiap perjalanan pahit, pasti ada manisnya di hujung nanti.

Jadi, berikut merupakan 10 sikap untuk kekal bahagia dan berjaya anda patut amalkan untuk tahun baharu ini. Kehidupan pastinya lebih tenang dan teratur.

Baca juga: Doa Ketika Hujan Agar Berhenti, Bacaan Yang Disarankan Nabi SAW

10 SIKAP UNTUK KEKAL BAHAGIA & BERJAYA ANDA KENA AMALKAN

Tahun baru 2023 memberi nafas dan semangat baru untuk kita setelah lalui perjalanan yang jauh sepanjang 2022.

1. MENJAGA SOLAT 

Untuk menjadi umat Islam yang berjaya, solat mesti dijaga terutamanya solat fardhu kerana itulah formula utama untuk berjaya. Allah tidak pernah menjanjikan orang yang kahwin akan mendapat anak, kerja siang malam akan jadi kaya, namun Allah berjanji siapa yang jaga solat, dia adalah orang yang berjaya di Dunia dan Akhirat.

Jangan melengahkan solat hanya semata-mata untuk melakukan kerja dunia kerana dengan solatlah segala urusan kita akan dimudahkan melalui keberkatan waktu dan pertolongan Allah dari arah yang tidak disangka. Sebenarnya rahsia di sebalik solat awal waktu adalah ia akan membentuk peribadi kita menjadi seorang yang sangat disiplin, subhanAllah.

2. SEDEKAH 

Sungguh, sedekah tidak akan mengurangkan harta atau menjadikan kita miskin. Kadang kita tidak lokek berbelanja demi gaya hidup yang mewah, tetapi menjadi berkira-kira dalam sedekah. RM1 terasa sudah cukup yang penting ikhlas, tetapi RM100 pula terasa sangat sedikit demi penampilan, makanan yang lebih dari kadar keperluan, kosmetik, dan lain-lain. Kita tidak sedar bahawa ganjaran yang disediakan untuk orang yang suka bersedekah sangat besar.

Firman Allah SWT:

مَثَلُ الَّذِيْنَ يُنْفِقُوْنَ اَمْوَالَهُمْ فِيْ سَبِيْلِ اللّٰهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ اَنْۢبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِيْ كُلِّ سُنْۢبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللّٰهُ يُضٰعِفُ لِمَنْ يَّشَاۤءُ ۗوَاللّٰهُ وَاسِعٌ عَلِيْمٌ

Maksudnya: “Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah melipatgandakan bagi siapa yang Dia kehendaki, dan Allah Maha Luas lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Baqarah: 261)

3. MENJAGA SILATURRAHIM & UKHUWAH 

Dalam usaha untuk mencapai matlamat, kita amat memerlukan sokongan daripada keluarga tersayang dan orang sekeliling. Maka jagalah silaturrahim sesama kaum keluarga sebaiknya serta memelihara ukhuwah dengan kawan, jiran, guru serta orang soleh. Boleh jadi doa merekalah yang menjadi asbab kejayaan kita.
Banyakkan menghubungkan talian persaudaraan sama ada terhadap orang yang dikenali atau tidak dengan memberi salam, ziarah, bertukar hadiah dan juadah.

Mempunyai hubungan baik dengan orang sekeliling tidak menjamin tiada permusuhan, tetapi ia membuatkan hati kita sangat lapang kerana kita tidak membuang masa untuk menjatuhkan, mempunyai sifat dengki atau sombong terhadap orang lain. Inilah rahsia untuk berjaya dan bahagia.

4. BANYAK MENABUR MANFAAT 

Menjadi seorang yang berjaya, paling utama adalah mendapatkan cinta daripada Allah SWT, antara laluannya adalah dengan banyak menabur manfaat. Daripada Ibnu Umar r.anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

أَحَبُّ النَّاسِ إِلَى اللَّهِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ، وَأَحَبُّ الأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ سُرُورٌ تُدْخِلُهُ عَلَى مُسْلِمٍ

Maksudnya: “Manusia yang paling dicintai Allah adalah yang paling bermanfaat bagi manusia lainnya, dan amal yang paling dicintai Allah adalah kebahagiaan yang engkau masukkan kepada diri seorang muslim.” (HR Tabrani, hadis hasan)

5. TIDAK MENINGGALKAN MEMBACA AL-QURAN WALAU SEHARI 

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءتْكُم مَّوْعِظَةٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَشِفَاء لِّمَا فِي الصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِين

Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.” (Surah Yunus: 57)

6. BERSYUKUR 

Hidup bersyukur buatkan kita lebih menghargai apa yang kita miliki di tangan, menjauhkan kita daripada menghitung nikmat yang ada pada orang lain. Di media sosial kita selalu membandingkan kehidupan kita dengan mereka yang pamerkan kehidupan yang serba bahagia walaupun hakikatnya tidak begitu. Syukur di saat susah dan senang, semoga nikmat yang Allah berikan akan terus bertambah secara berpanjangan, insyaAllah.

7. MERANCANG PENCAPAIAN KECIL & BESAR 

Biasakan diri membuat sebuah carta matlamat di rumah supaya kita dapat menyusun perkara yang kita ingin capai sama ada yang kecil atau besar. Bila matlamat kecil berjaya dicapai, kita akan rasa semakin bersemangat untuk menjayakan pencapaian yang lebih besar. Mulakan dengan niat, catatkan, kemudian bertindak bagi mencapai matlamat tersebut.

8. MEMOHON MAAF & MEMAAFKAN 

Antara perkara yang menghakis bahagia adalah kesalahan kita kepada orang dan rasa dendam terhadap seseorang. Apabila dua perkara ini bersarang dalam diri maka susah untuk kita berjaya kerana hati dirantai dengan sifat mazmumah.

Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda:

مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ, وَمَا زَادَ اَللَّهُ عَبْدًا بِعَفْوٍ إِلَّا عِزًّا, وَمَا تَوَاضَعَ أَحَدٌ لِلَّهِ إِلَّا رَفَعَهُ اَللَّهِ

Maksudnya: : “Tidaklah sedekah itu mengurangkan harta, dan tidaklah Allah menambahkan bagi seseorang hamba yang memaafkan (saudaranya) kecuali kemuliaan (di dunia dan akhirat), serta tidaklah seseorang merendahkan diri kerana Allah kecuali Dia akan tinggikan darjatnya (di dunia dan akhirat).” (HR Muslim, hadis sahih)

9. BANYAK MENGINGATI MATI 

Bagi sesetengah orang, bila sebut tentang kematian membuatkan dia rasa takut dan lemah semangat, namun jika kita lihat satu sudut pandang yang berbeza tentang kematian, sebenarnya ia membuatkan kita lebih bersemangat dalam melakukan sesuatu sehabis baik kerana kita tahu bahawa satu hari nanti hidup kita di sini akan berakhir.

Menurut ulama tasawuf, kematian adalah pintu masuk untuk bertemu dengan kekasih abadi iaitu Allah dan Rasulullah SAW. Ia juga dapat memutuskan hati kita daripada terus terikat dengan kecintaan dunia secara mendalam. Hasilnya, kita akan mengambil dunia pada kadar yang diperlukan sahaja, tidak sehingga hanyut dan melalaikan. SubhanAllah.

10. MELETAKKAN SEPENUH PENGHARAPAN KEPADA ALLAH SWT 

Kita sentiasa kena usaha untuk memiliki 9 sikap di atas untuk berjaya dan bahagia. Namun ia tidak akan lengkap tanpa sifat ke-10 ini iaitu meletakkan sepenuh pengharapan (tawakal) kepada Allah SWT setelah melakukan ikhtiar.

Firman Allah SWT:

…فَاِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللّٰهِ ۗ اِنَّ اللّٰهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِيْنَ

Maksudnya: “…Kemudian, apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mencintai orang yang bertawakal.” (Surah Ali-Imran: 159)

Beruntunglah orang yang mempunyai 10 sikap ini, semoga pada tahun baru ini kita dapat menjadi insan yang berjaya Dunia Akhirat dan mencapai bahagia, insyaAllah.

Sumber: Facebook Ustazah Asma’ Harun

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×