Bersalin

Hukum ‘Home Birth’ Menggunakan Khidmat Doula, Ini Penjelasan Mufti Wilayah

68
SHARES

“Dah macam berperang pulak di Facebook ni. Sebab tak nak kena bersalin Caesar, ada yang berani bersalin di rumah dengan bidan. Dahtu dikaitkan pula perubatan komersial dengan puak Yahudi. Kita ni tak tahu apa, boleh pening baca hujah masing-masing.”

Seperti yang kita tahu, isu berhubung kes doula menjadi viral akibat kematian seorang bayi yang dilahirkan di rumah. Apa yang menjadikan isu ini lebih ‘hangat’, ibu tersebut berada di bawah pengawasan doula dan bukannya pihak hospital. Sekalipun isu ini masih dalam siasatan pihak berkuasa,  langkah yang diambil oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan untuk menerangkan kepada masyarakat tentang isu ini dari segi syariah wajar dipuji.

Mari kita ketahui beberapa perkara tentang hukum menggunakan khidmat doula untuk bersalin ini.

1. Apakah Doula?

Bagi yang tertanya-tanya apakah doula itu sebenarnya, ia adalah istilah yang digunakan oleh seorang pelatih yang membantu memberikan sokongan dan panduan dari segi emosi, pendidikan dan fizikal kepada wanita mengandung semasa proses kelahiran.

Tidak dinafikan antara mereka ini mungkin ada yang berstatus profesional, namun ada juga yang menawarkan perkhidmatan tersebut tanpa latihan perbidanan yang formal.

Selalunya doula akan berkongsikan ilmu kehamilan, seperti cara meneran, cara bernafas, dan sebagainya agar wanita dapat bersalin dengan tenang tanpa sebarang intervensi / perubatan.

Foto Kredit: birthmattersok.com

2. Apa Hukum Bersalin Di Rumah?

Setelah meneliti dan mendapatkan maklumat dari pakar perubatan, pihak Mufti berpandangan bahawa penggunaan khidmat doula adalah TIDAK BOLEH dilakukan tanpa pemerhatian doktor atau bidan yang terlatih.

Menurut pihak Mufti lagi, alasan tidak mahu melahirkan anak di hospital kerana isu aurat tidak timbul kerana perlu difahami bahawa nyawa adalah jauh lebih penting maslahatnya berbanding aurat dalam situasi tersebut.

Tambahan pula, terdapat banyak kemudahan dan pilihan seiring dengan perkembangan kemudahan perubatan di hospital-hospital tertentu yang menawarkan khidmat bersalin dengan menutup aurat; serta inovasi seperti seluar bersalin mesra aurat yang membolehkan wanita berasa lebih selesa walaupun menerima khidmat doktor lelaki.

Selain itu, perlu diingat bahawa menyamakan situasi melahirkan anak di rumah dengan mencontohi Maryam AS adalah tidak benar. Menurut pihak Mufti, kejadian yang berlaku di zaman tersebut adalah kehendak Allah SWT untuk membuktikan kekuasaan-Nya. Adapun bagi manusia selainnya, tidak terlepas daripada aspek sabab-musabab-musabbib al-asbab (causality).

Foto Kredit : islamhouse.muslimthaipost.com

3. Dalil Yang Berkaitan

Berikut adalah beberapa hadis yang dikemukakan untuk menyokong hujah terhadap larangan menggunakan khidmat doula.

Daripada Amru’ bin Syu’aib, daripada bapanya, daripada datuknya bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ تَطَبَّبَ، وَلَا يُعْلَمُ مِنْهُ طِبٌّ، فَهُوَ ضَامِنٌ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mengubati dan tidak diketahui daripadanya (tidak mahir) ilmu perubatan, maka dia bertanggungjawab (atas apa-apa yang terjadi).”
(Riwayat Abu Daud, no. 2633)

Al-Muzhiri menjelaskan,

مَنْ شرع في علم الطب ولا يكون مشهورًا فيه، فإذا عالج مريضًا فهو ضامن

Maksudnya: Barangsiapa yang memasuki ilmu perubatan dan dia tidak menjadi masyhur dalamnya (tidak menguasainya), jika dia mengubat pesakit, dia bertanggungjawab (atas apa-apa yang terjadi).” (Lihat al-Mafatih Syarh al-Masabih, 4/217)

Perlu diingatkan bahawa ini merupakan satu bentuk peringatan daripada Rasulullah SAW agar tidak bermudah-mudahan dalam ilmu perubatan sekiranya tidak ada pengetahuan yang cukup mendalam tentangnya. Ini penting kerana ia akan membawa risiko kepada pesakit sendiri.

Jelas pihak Mufti lagi, berdasarkan hadis di atas, menyelamatkan nyawa dari sebarang mudarat dan yang membawa kepada mudarat adalah wajib. Bertepatan dengan prinsip penjagaan nyawa (hifz al-nafs) dalam maqasid syari’ah yang diletakkan oleh Imam al-Ghazali dalam bahagian dharuriyyat, kita amat berharap agar setiap nyawa dapat diselamatkan dari tindakan yang boleh membawa kepada kematian disebabkan oleh doula yang tidak bertanggungjawab.

Dalam banyak hadis juga, Rasulullah SAW melarang segala perlakuan yang boleh membahayakan sesama Muslim.

Sabda Nabi SAW:

إِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ حَرَامٌ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: Sesungguhnya darah kalian dan harta kalian haram atas kalian
(Riwayat Muslim, no. 1218)

Foto Kredit: aboutislam.net

4. Jalani Pemeriksaan Di Tempat Yang Diiktiraf

Oleh yang demikian, ibu mengandung digesa agar menjalani pemeriksaan rutin kehamilan di pusat-pusat perubatan yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Ternyata, usaha yang dilakukan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia tidak perlu diragui kerana rekod menunjukkan kejayaan mereka dalam mengurangkan kadar kematian ibu bersalin dari tahun demi tahun.

Inilah yang selalu orang panggil, Buku Merah!

Inilah yang selalu orang panggil, Buku Merah!

5. ‘Home birth’ Di Luar Negara

Mungkin ada yang mengambil contoh dan pendirian untuk menggunakan khidmat doula dengan alasan ia boleh dilakukan di luar negara.

Namun sebenarnya, doula di luar negara tidak sama sekali berperanan mengambil alih tugas bidan dan doktor terlatih yang diiktiraf, apatah lagi menyambut kelahiran yang berisiko tinggi.

bahaya kelahiran dalam air

Foto Kredit: heredg.com

Jelas Dan Terang

Dengan penjelasan panjang lebar daripada ramai pengamal perubatan terlatih di Malaysia berkaitan isu ini, mungkin ada sebahagian masyarakat yang masih ragu-ragu dan ingin kepastian daripada sudut pandangan Islam.

Maka, dengan ulasan oleh pihak Mufti yang mewakili ulama Islam di Malaysia ini diharap dapat menjadi panduan buat masyarakat di luar sana dalam menentukan rawatan serta cara bersalin yang selamat.

 

Sumber Rujukan:

http://muftiwp.gov.my/ms/bayan-linnas-cat/2292-bayan-linnas-siri-ke-125-hukum-menggunakan-khidmat-doula

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×