Sihat

Tiada Lagi ‘Muncung Itik’, Ketahui 5 Perkara Tentang Ujian HPV DNA Berbanding Pap Smear

20.1K
SHARES

Sebut saja pasal pap smear, ramai dah terbayang ‘muncung itik’ atau alat pembuka vagina yang digelar spekulum. Memang rasa gerun, ngeri dan ngilu je bila memikirkan nak kena menghadap benda ni kan?

Itulah antara sebab ramai wanita menunda dan mengelak daripada melakukan pemeriksaan pap smear sedangkan ianya amat penting dijadikan rutin setiap 3-5 tahun bagi mengesan kanser serviks di peringkat awal.

Dalam Majlis Pelancaran Revolusi ROSE Ke Arah Menuju Penghapusan Kanser Serviks di Malaysia, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, pemeriksaan dikenali sebagai HPV DNA telah dilaksanakan di bawah kelolaan Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Maksudnya, kini dah ada cara baru untuk kita mengesan kanser serviks iaitu dengan melakukan ujian HPV DNA. Mari kita ketahui beberapa perkara tentang prosedur ujian ini berbanding pap smear.

Cegah Kanser Serviks, Ini 5 Perkara Tentang Ujian HPV DNA Berbanding Pap Smear

Pelancaran Program R.O.S.E (Removing Obstacles to Cervical Screening) oleh YAB DPM Dato Seri Dr Wan Azizah, satu langkah penting dalam revolusi membanteras kanser serviks. Program in turut dihadiri oleh Menteri Kesihatan YAB Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan YAB Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Puan Hannah Yeoh.

Berikut adalah beberapa perkara penting tentang program tersebut.

1. Ujian Dilakukan Sendiri

Selain ‘gerun’ nak kena menghadap ‘muncung itik’, mesti ramai wanita yang berasa malu nak buat pemeriksaan pap smear kerana ia membabitkan organ intim. Lebih-lebih lagi kalau tak ada pilihan doktor perempuan.

Dengan pemeriksaan HPV DNA, ujian boleh dilakukan sendiri. Hanya 5 minit diperlukan menggunakan kaedah persampelan sendiri. Wanita akan dibekalkan dengan kit ujian dan mereka boleh mengambil sampel sendiri di kawasan tertutup dengan lebih privasi.

2. Mudah

Jangan risau, kit berkenaan tidak memerlukan peralatan klinikal khusus, seperti pap smear. Maka, orang awam boleh menggunakannya dengan mudah.

Pemeriksaan hanya perlu dilakukan menggunakan berus kecil seperti putik kapas untuk mengambil sampel tisu di kawasan permukaan serviks.

Foto Kredit: Project ROSE

3. Tak Menyakitkan

Berbanding pap smear, anda mungkin akan berasa tak selesa kerana akan dikangkangkan bagi mendapatkan sampel. Namun berbeza dengan pap smear, kaedah ujian HPV DNA tidak menyakitkan kerana pengambilan tisu melibatkan di kawasan permukaan sahaja.

Lebih mudah kan?

4. Keputusan Dalam 3 Hari

Selepas prosedur ini selesai, anda tak perlu menunggu lagi kerana keputusan akan terus dihantar melalui telefon.

Sekiranya keputusan anda negatif, maka anda disyorkan untuk mengulangi semula ujian ini dalam tempoh 5 tahun. Atau jika sebaliknya, anda akan disarankan untuk datang ke klinik bagi pemeriksaan lanjutan.

Foto Kredit: Project ROSE

5. Amat Berkesan

Menariknya, sungguhpun kaedah ini lebih mudah, namun ia tetap berkesan dalam mengesan kehadiran kanser serviks sepertimana pemeriksaan pap smear.

Pemeriksaan HPV DNA disyorkan kepada wanita berusia 30 tahun ke atas dan ia boleh dilakukan di 49 Klinik LPPKN di seluruh Malaysia.

Foto Kredit: says.com

Jangan ‘Mengelat’ Lagi!

Tentunya ini adalah berita baik, terutamanya bagi anda yang selama ini asyik bertangguh daripada membuat pemeriksaan pap smear, sebab sekarang dah ada alternatif yang lebih mudah.

Jadi, tak ada alasan lagi untuk mengelak pemeriksaan saringan kanser serviks ini. Ingat, kanser serviks adalah kanser ketiga yang paling banyak berlaku pada wanita di Malaysia.

Semoga inisiatif ini membantu kita mencegah dan mengesan kanser dari peringkat awal dan sekaligus menyelamatkan nyawa. Kalau nak tahu lebih lanjut, boleh rujuk Project ROSE untuk sebarang update.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×