Sihat

Tanda Kekurangan Oksigen Dalam Badan & Petanda Senyap ‘Happy Hypoxia’

249
SHARES

TANDA KEKURANGAN OKSIGEN DALAM BADAN

Penularan wabak Covid-19 bukan sahaja telah mengubah gaya hidup kita, malah ia juga membuatkan kita risau kerana sifat dan gejalanya yang sukar dijangka serta berlainan bergantung kepada pesakit.

Ketika virus ini mula-mula melanda negara kita, ia dikenalpasti dengan gejala biasa seperti selsema, batuk, demam serta kehilangan deria bau dan rasa. Bagi kes yang lebih serius, ia boleh menyebabkan sesak nafas dan pneumonia.

Sejak gelombang ketiga, virus ini juga mula menunjukkan simptom baru iaitu ‘Happy Hypoxia’ atau tahap oksigen berkurangan dalam darah. Simptom baru ini juga digelar pembunuh senyap kerana tidak menunjukkan sebarang gejala.

Apa Itu ‘Happy Hypoxia’?

Berbanding namanya, ‘Happy Hypoxia’ bukanlah perkara yang positif atau baik.

Menurut perkongsian dari KKM, ia merujuk kepada keadaan di mana pesakit mempunyai kandungan oksigen yang rendah dalam darah namun tidak merasa kesukaran bernafas atau menunjukkan sebarang simptom.

Fenomena ini dinamakan ‘Happy Hypoxia’ kerana pesakit kekal ceria walaupun kadar oksigen di dalam badan rendah.

Berbanding pernafasan normal dengan kekerapan 12 hingga 20 kali seminit, pesakit Hypoxia pula boleh menjangkau pernafasan sehingga 40 ke 50 kali seminit. Pesakit juga akan merekodkan paras oksigen yang lebih rendah berbanding peratusan normal iaitu 95%.

tanda kekurangan oksigen

Kredit Foto : Kementerian Kesihatan Malaysia

Punca ‘Happy Hypoxia’

Hypoxia berpunca daripada pelbagai penyakit terutamanya paru-paru dan jantung. Gejala hypoxia juga mula dikaitkan dengan jangkitan virus Covid-19 yang sering menyebabkan kekurangan oksigen dalam badan.

Jika tidak dirawat segera, kesihatan boleh merosot teruk sehingga boleh menyebabkan kerosakan otak, paru-paru dan organ dalaman.

Baca juga: 6 Kebaikan Senaman Angkat Kaki, Sambil Baring Pun Boleh Kempiskan Perut! 

Tanda Kekurangan Oksigen Dalam Badan / Hypoxia

Walaupun ‘Happy Hypoxia’ sukar menunjukkan gejala, orang yang mengalami kekurangan oksigen dalam badan atau Hypoxia boleh menunjukkan simptom-simptom seperti berikut :

  • Pening Kepala
  • Sesak Nafas
  • Batuk
  • Denyutan Jantung Yang Laju
  • Perubahan Tahap Kesedaran
  • Peluh Sejuk dan Kulit Kebiruan

tanda kekurangan oksigen

Kredit Foto : Kementerian Kesihatan Malaysia

Cara Mengukur Paras Oksigen Dalam Badan

Dalam kebanyakan kes, di samping tidak menunjukkan sebarang gejala, ‘Happy Hypoxia’ juga boleh berlaku apabila pesakit berada pada tahap empat dan lima iaitu kategori yang melibatkan jangkitan paru-paru.

Dengan penularan varian baru serta trend penularan yang semakin meningkat, KKM menyarankan orang ramai untuk memiliki ‘Pulse Oximeter’ iaitu alat pengesan kadar oksigen dalam darah.

Pada waktu ini, semakan kadar oksigen dalam darah secara berkala adalah amat digalakkan bagi mengesan penyakit ini pada peringkat yang lebih awal.

Pastikan anda membeli ‘Pulse Oximeter’ yang berkualiti dari pengedar yang boleh dipercayai seperti farmasi berdekatan.

Kredit Foto : onhealth.com

Cara Mengetahui Tanda Kekurangan Oksigen Dalam Badan Menggunakan ‘Pulse Oximeter’

Berdasarkan infografik Dari KKM, cara penggunaan oximeter adalah seperti berikut :

  1. Tanggalkan pewarna kuku atau kuku palsu. Panaskan tangan dengan menggosok kedua-dua tapak tangan jika berasa sejuk.
  2. Pastikan badan berehat selama lima minit sebelum memulakan ukuran.
  3.  Letakkan tangan di dada pada paras jantung. Kekalkan tangan pada kedudukan tersebut.
  4. Hidupkan ‘Pulse Oximeter’ dan pasangkannya di jari telunjuk atau jari tengah di tangan yang berada di dada.
  5. Kekalkan posisi tangan dengan ‘Pulse Oximeter’ sekurang-kurangnya satu minit bagi mendapatkan bacaan stabil.
  6. Jika bacaan didapati stabil, catatkan sebagai rekod. Pastikan setiap bacaan dilakukan dengan berhati-hati.

Kredit Foto : Kementerian Kesihatan Malaysia

Disebabkan trend penularan yang semakin meningkat serta kemunculan varian baru, ‘Happy Hypoxia’ boleh menyerang sesiapa tanpa mengira usia. Yang lebih menggusarkan, sesetengah kes tidak dapat mengenalpasti simptom tersebut walaupun oksigen sudah berada di tahap yang kritikal.

‘Pulse Oximeter’ wajib dimiliki dalam setiap rumah. Ia juga penting bagi mengenalpasti tahap oksigen bagi kontak rapat dan pesakit Covid-19 yang menjalani kuarantin di rumah. Sekiranya anda dapati bacaan berada di bawah 95% dan tahap kesihatan menurun, jangan berlengah untuk dapatkan rawatan segera di Klinik Kesihatan berdekatan.

 

Sumber rujukan :

 

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×