Bersalin

Sakit Pergelangan Tangan & Ibu Jari, 5 Perkara Tentang DeQuervain’s Tenosynovitis Mama Perlu Tahu

57.3K
SHARES

Walaupun jarang kita dengar orang sebut tentang DeQuervain’s tenosynovitis, tapi rupanya ramai ibu yang baru melahirkan mengalami kondisi ini tanpa disedari. Ia melibatkan rasa sakit pada pergelangan tangan, terutamanya ketika menggerakkan ibu jari atau mendukung bayi.

Sindrom yang disebabkan oleh keradangan pada tendon di ibu jari ini sering dikaitkan dengan simptom selepas bersalin dan ia kadangkala turut digelar ‘new mom’s syndrome’ atau ‘Mommy Thumb’, seperti yang dilaporkan dalam The New York Times.

Berikut adalah beberapa perkara yang anda perlu tahu tentang DeQuervain’s Tenosynovitis:

5 Perkara Ibu Perlu Tahu Tentang DeQuervain’s Tenosynovitis

1. Punca Ia Berlaku

Beberapa faktor boleh menjadi punca keradangan DeQuervain’s Tenosynovitis, antaranya hormon yang turun naik atau pengumpulan cecair dalam tubuh semasa kehamilan. Walaubagaimanapun, kemungkinan yang paling besar adalah disebabkan proses mengangkat dan menggunakan tangan yang terlalu kerap (over-used).

Proses berulang ini memberi tekanan pada otot yang berfungsi menggerakkan ibu jari, iaitu tendon.

Posisi mengangkat atau mendukung bayi yang salah juga boleh menyebabkan bengkak menjadi lebih teruk pada bahagian tendon sehingga ke tulang pada pergelangan tangan.

Foto Kredit: webMD.com

2. Bila Ia Berlaku

Walaupun kondisi ini boleh berlaku pada sesiapa saja dan pada bila-bila masa, ia kerap berlaku pada wanita selepas bersalin – iaitu kira-kira 2 hingga 3 minggu selepas melahirkan. Biasalah, bila berpantang memang kita kerap mendukung bayi, sampai sambil tidur pun boleh dukung bayi, kan?

Di samping itu, ia lazimnya melibatkan tangan yang lebih dominan. Maksudnya, jika anda seorang kidal, anda akan sakit pada tangan kiri dan begitu juga sebaliknya.

Foto Kredit: romper.com

3. Simptom DeQuervain’s Tenosynovitis

Antara simptom DeQuervain’s Tenosynovitis

  • Rasa sakit yang dirasai pada bahagian ibu jari adalah simptom utama penyakit ini. Rasa sakit mungkin akan datang perlahan-lahan atau secara mendadak. Malah, sakit ini mungkin boleh terasa hingga ke bahagian awal lengan (antara siku dan pergelangan tangan).
  • Rasa sakit selalunya menjadi lebih teruk apabila tangan dan ibu jari digunakan terutamanya ketika menggenggam objek atau memusingkan pergelangan tangan.
  • Terdapat bunyi ketikan atau sensasi yang dirasakan apabila ibujari digerakkan.
  • Bengkak pada bahagian pergelangan tangan yang berhampiran dengan ibu jari.

 

4. Adakah Ia Serius?

Untuk menentukan sama ada seseorang mengalami DeQuervain’s Tenosynovitis, doktor mungkin akan menjalankan Ujian Finkelstein. Dalam ujian ini, anda akan diminta menggenggam tangan dengan memposisikan ibu jari berada di dalam genggaman. Ibu jari ini kemudiannya perlu dibengkokkan ke arah jari kelingking. Jika rasa sakit semakin teruk, maka anda mungkin mengalami DeQuervain’s Tenosynovitis.

Tahap kesakitan akan didiagnos oleh doktor berdasarkan pemeriksaan fizikal dan laporan oleh pesakit.

Foto Kredit: ortopedia.blog.br

5. Cara Mengatasi / Rawatan

Terdapat beberapa cara untuk mengatasi rasa sakit akibat DeQuervain’s Tenosynovitis, antaranya:

  • Tindakan pertama yang perlu diambil adalah memastikan bahawa anda mendukung bayi anda dengan betul. Perhatikan bahagian pergelangan tangan supaya ia berada dalam keadaan lurus semasa mendukung atau mengangkat bayi.
  • Gunakan alat penggendong / baby carrier / stroller sekiranya anda keluar membawa bayi supaya tangan anda tidak terlalu letih untuk mendukungnya.
  • Sekiranya rasa sakit tidak begitu kuat, anda boleh menggunakan tuaman ais pada bahagian tersebut.
  • Sedikit gerakan tangan atau senaman boleh dilakukan seperti dalam gambar rajah di bawah

Foto Kredit: summitmedicalgroup.com

  • Jika perlu, anda boleh menggunakan brace atau wrist support pada tangan yang sakit.
  • Jika masih belum lega, terdapat juga ubat tahan sakit dan anti-radang yang boleh dipreskripsikan. Namun, jangan lupa beritahu doktor sekiranya anda menyusu badan.
  • Andainya keradangan ini berada tahap yang teruk, suntikan ubat anti-radang seperti cortisone akan diberikan.
  • Akhir sekali, jika kesakitan masih teruk, pembedahan akan dilakukan pada bahagian tendon tersebut.

Jangan Abaikan Kesakitan

Memang betul, dalam sesetengah kes, rasa sakit ini akan menghilang dengan sendirinya. Ia selalu berlaku apabila ibu mengurangkan aktiviti berat seperti mendukung bayi. Namun ada kalanya simptom ini akan menjadi lebih teruk dan kronik apabila dibiarkan tanpa pemeriksaan dan rawatan. Bahkan, ia boleh berulang pada masa akan datang walaupun telah sembuh sepenuhnya.

Jadi, jangan abaikan rasa sakit yang dirasai, terutamanya jika anda berasa sakit yang amat kuat dan tajam serta mengesan bengkakan pada bahagian pergelangan tangan. Dengan rawatan awal, lebih tinggi peluang untuk disembuhkan dengan mudah dan dalam masa yang cepat.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×