Tidak menghairankan bahawa ramai di antara kita telah mengalami sakit lutut sendiri atau mendengar seseorang mengadu mengenainya. Lagipun, ia adalah aduan biasa yang memberi kesan kepada orang-orang dari semua peringkat umur, terutamanya orang tua. Sakit pada lutut berpunca pada struktur dibahagian lutut itu sendiri sama ada, ligament, tisu rawan, tulang, tendon atau otot disekelilingnya.
Baca juga: Anak-Anak Boleh Main ‘Tablet’ Tapi Ada Syarat Yang Ketat Perlu Dipatuhi…
SIMPTOM, PUNCA, LANGKAH DAN SENAMAN RINGKAS
Sakit lutut merupakan salah satu masalah yang sering kali kita dengar dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Lazimnya keadaan ini akan berlaku kepada warga tua namun ianya mampu memberikan mimpi buruk kepada golongan 30 hingga 40-an jika tidak ditangani dengan segera.
Sakit lutut ini dikenali sebagai knee osteoarthritis (OA). Osteoarthritis boleh berlaku disebabkan lapisan tulang rawan (cartilage) yang berada pada permukaan tulang menjadi semakin nipis secara beransur- ansur dan mengakibatkan ruang antara sendi menjadi rapat lantas akan berlaku keradangan.
Apabila ruang sendi menjadi rapat, kewujudan penonjolan tulang tidak normal (osteophytes) di permukaan sendi akan mengakibatkan rasa sakit setiap kali pergeseran di antara permukaan sendi berlaku. Pengurangan penghasilan cecair pelincir didalam sendi juga akan berlaku kepada golongan berumur.
Kesakitan akan dapat dirasai pada sendi lutut apabila melakukan pergerakan. Jika kesakitan berlarutan, pergerakkan sendi akan mula kurang dan akan menghadkan aktiviti harian individu terbabit.
Antara simptom sakit lutut atau knee OA ialah:
1. Bengkak di kawasan lutut disebabkan keradangan dalam sendi.
2. Bunyi geseran yang kuat dan bunyi ‘click’ yang menyakitkan pada sendi lutut.
3. Kesakitan dan kekerasan pada sendi lutut yang berlaku di waktu pagi.
4. Kesakitan di sendi lutut sehingga menyebabkan pergerakkan terbatas dan tidak mencapai kualiti kehidupan seharian yang optimum.
Punca utama:
1. Umur – Pesakit yang mengalami masalah ini selalunya mereka yang berumur lewat 40 – 50 tahun dan ke atas.
2. Jantina – Wanita lebih berisiko mengalami masalah ini berbanding lelaki.
3. Sejarah kecederaan bersukan pada lutut – Golongan ini lebih berisiko untuk mendapat masalah osteoarthritis jika tidak mendapatkan rawatan yang terbaik.
4. Obesiti – Mereka yang mempunyai masalah berat badan berlebihan atau BMI tidak normal berisiko mendapat lutut osteoarthritis.
Antara langkah yang boleh dilakukan:
1. Tuam ais bagi mengurangkan bengkak dan sakit.
2. Dapatkan rehat secukupnya.
3. Kurangkan pergerakkan bagi mengelakkan keradangan di kawasan sendi lutut menjadi lebih teruk.
4. Bagi golongan berumur, disarankan untuk menggunakan alat bantuan seperti tongkat ketika berjalan.
5. Menurunkan berat badan bagi mengurangkan tekanan pada sendi lutut.
6. Melakukan senaman sendi yang sesuai. Rujuk gambar yang dikepilkan.
7. Ubat – ubatan dan pembedahan gantian sendi lutut jika keadaan semakin teruk.
8. Rawatan FISIOTERAPI, merangkumi rawatan modaliti bagi mengurangkan sakit dan mempercepatkan tempoh pemulihan. Selain itu senaman untuk menguatkan otot dan renggangan bagi mengelakkan otot menjadi ketat.
Antara senaman ringkas untuk osteoarthritis lutut:
1. Ini adalah senaman renggangan untuk otot betis.
2. Posisi anda hendaklah dalam keadaan duduk melunjur.
3. Gunakan tuala, sangkutkan pada tapak kaki dan pegang hujung tuala seperti dalam gambar.
4. Kemudian, tarik tuala sambil angkat sedikit kaki secara perlahan.
5. Tahan selama 15-30 saat (ikut kemampuan).
6. Lakukan senaman ini sebanyak 3 kali.
1. Ini adalah senaman renggangan untuk otot hamstring (belakang peha).
2. Lakukan dalam posisi baring.
3. Gunakan tuala, sangkutkan pada tapak kaki dan pegang hujung tuala seperti dalam gambar.
4. Gunakan tuala untuk mengangkat kaki anda ke arah dada, lutut dalam keadaan tegak atau sedikit bengkok.
5. Tahan selama 20-30 saat. Turunkan kaki secara perlahan.
6. Ulang sebanyak 2 kali.
1. Pastikan anda berada dalam keadaan bersedia seperti di dalam gambar.
2. Boleh dilakukan dalam posisi baring atau duduk melunjur.
3. Luruskan kaki dan keraskan otot peha, tahan selama 5 saat.
4. Kekalkan otot dalam keadaan keras kemudian angkat kaki tinggi sedikit.
5. Tahan selama 10 saat.
6. Lakukan senaman ini sebanyak 3 set (10 kali x 3 set).
1. Pastikan anda berada dalam keadaan bersedia seperti di dalam gambar.
2. Boleh dilakukan dalam posisi baring atau duduk melunjur.
3. Letakkan gulungan tuala atau bantal di bawah pelipat lutut.
4. Kekeraskan otot peha dan tekan lutut ke bawah (tekan tuala ke bawah).
5. Kemudian, tegakkan kaki anda, tahan selama 10 saat.
6. Lakukan senaman ini sebanyak 3 set (10 kali x 3 set).
1. Anda perlu berada dalam posisi baring seperti di dalam gambar.
2. Gunakan gulungan tuala atau bantal.
3. Letakkan di antara lutut.
4. Tekan bantal menggunakan kedua -dua lutut dan kepit sekuat mana yang anda mampu.
5. Tahan selama 10 saat.
6. Ulang senaman ini sebanyak 3 set (10 kali x 3 set).
1. Sediakan kerusi yang selesa.
2. Duduk dalam posisi tegak, tidak membongkok dan lutut dalam keadaan 90 darjah.
3. Dalam keadaan yang sama angkat dan tegakkan kaki anda seperti di dalam gambar.
4. Tahan selama 5-10 saat (ikut kemampuan).
5. Lakukan senaman ini sebanyak 3 set (10 kali x 3 set).
Semoga bermanfaat!