Famili

Orang Ramai Minta Program AKM Diperluas Ke Negeri Lain!

106
SHARES

Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia, Jom Masuk IPT Keluarga Malaysia, pertandingan e-sport, sukan rakyat, padanan perniagaan, pameran, jualan usahawan, zumba dan cabutan bertuah antara program yang telah memeriahkan program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) yang bermula semalam.

Tarikan berkenaan adalah antara lebih 20 acara keseluruhan yang disediakan sepanjang empat hari penganjuran program 100 Hari AKM yang membuka tirainya semalam hingga Ahad ini. Dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, acara ini mendapat sambutan hangat para pengunjung.

Sebahagian orang ramai menghadiri Karnival Kerjaya 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia anjuran PERKESO di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam. – NSTP/Azhar Ramli

Eratkan Hubungan Rakyat Dan Pihak Kementerian!

Secara keseluruhan, sebanyak 31 kementerian termasuk lima agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) ‘mendekati’ rakyat melalui perkhidmatan yang ditawarkan sepanjang penganjuran program itu.

Lebih menarik, program yang diadakan bermula jam 9 pagi hingga 10 malam di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) ini turut menampilkan 98 jualan gerai usahawan dan 24,300 peluang pekerjaan ditawarkan daripada kalangan 75 majikan yang mengambil bahagian dalam Karnival Kerjaya sepanjang empat hari AKM.

Netizen Mahu Program AKM Diperluaskan Lagi!

Majoriti pengunjung yang ditemui menyambut baik penganjuran program terbabit selain mengharapkan kerajaan dapat memperluaskannya ke negeri lain bagi memastikan semua rakyat Malaysia dari seluruh pelusuk negara turut dapat sama-sama menikmatinya.

Penjawat awam, Mohd Yuhanis Mohamad Yusof, 33, berkata adalah penting bagi program ini diperluaskan ke seluruh negara bagi memberikan peluang rakyat di luar ibu kota untuk turut sama merasai pelbagai tawaran dan perkhidmatan sepanjang 100 hari pentadbiran Perdana Menteri.

Mohd Yuhanis berkata, dia berasa teruja kerana sudah lama tidak dapat merasai kemeriahan acara besar seumpama ini sejak negara dan dunia dilanda COVID-19.

“Penganjuran acara seperti ini juga menggambarkan bahawa keadaan negara bertambah baik termasuk dalam aspek ekonomi kerana rakyat sudah mulai keluar untuk mendapatkan perkhidmatan dan berbelanja di sini.

“Banyak perkhidmatan dan jualan menarik di sini, …memang tidak rugi datang, saya sendiri sanggup menaiki pengangkutan awam untuk datang dari Putrajaya,” katanya.

Pengunjung, Nur Shahirah Atieka Kalam ‘Elmi, 28, pula berkata banyak maklumat kejayaan dan pencapaian Perdana Menteri diperolehnya melalui penganjuran program itu melalui pameran yang memudahkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan.

“Program seperti ini wajar diadakan lagi setiap tahun dan diperluaskan ke negeri lain bagi memberi peluang mereka yang tidak berkesempatan hadir di KLCC untuk turut sama turut serta selepas ini,” katanya.

Pendedahan Awal Terhadap Dunia Pekerjaan!

Penuntut dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhd Idham Hakim Iskandar, 19, berkata beliau memanfaatkan cuti semester dengan menghadiri ke program ini sebagai pendedahan awal terhadap dunia pekerjaan.

Kesempatan penganjuran program itu digunakan sebaiknya untuk mendapat maklumat mengenai peluang pekerjaan yang wujud bagi memudahkannya memohon apabila tamat pengajian kelak.

“Program seperti ini bagus dan perlu diadakan sebagai acara tahunan kerana ia berperanan sebagai pusat sehenti untuk mendapatkan pelbagai maklumat sama ada mengenai pendidikan mahupun pekerjaan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pameran Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Menteri), Mohd Ikhmal Abu Bakar, berkata melalui program ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menawarkan perkhidmatan memperbaharui kad pesara yang boleh siap dalam tempoh hanya lima minit.

Beliau berkata, selain kemudahan oleh JPA, program AKM memberikan peluang kepada pengunjung mendapatkan maklumat lanjut mengenai agensi berkaitan lain seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dengan cara lebih mudah.

Beliau berkata, sepanjang program AKM diadakan, pengunjung boleh mendapatkan maklumat lanjut agensi di bawah tanggungjawab Menteri Tugas-Tugas Khas yang mungkin tidak diketahui sebelum ini.

“Pegawai dan kakitangan bertugas juga sentiasa bersedia berkongsi maklumat lanjut setiap agensi kepada pengunjung,” katanya.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×