Kini Trending

‘Nyawa saya seolah-olah berada hujung tanduk’

440
SHARES

“Nyawa saya seolah-olah berada di hujung tanduk ketika menyelamatkan diri di atas bumbung sebuah lori.

“Mungkin… mungkin tanpa bantuan bot penyelamat Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sabtu lalu, nyawa saya sudah melayang,” kata seorang mangsa banjir, P Sidamparam, 60.

Menetap di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, beliau yang juga jurulatih maraton negara, berkata ketika kejadian pada Sabtu lalu itu, beliau cuba membawa keluar keretanya ke kawasan bengkel lori berdekataan sebelum terperangkap dalam air yang sudah memenuhi hingga ke paras tempat duduk.

Bimbangkan keselamatan diri ekoran air semakin tinggi selepas tujuh jam terperangkap, Sidamparam, yang juga bekas pelari marathon negara menaiki bumbung lori di bengkel itu dan kemudian, menghantar lokasi melalui aplikasi WhatsApp kepada anaknya pada jam kira-kira 6 pagi untuk mendapatkan bantuan.

“Bot penyelamat ATM tiba pada jam kira-kira 12 tengah hari dan saya amat bersyukur kerana jika mereka lambat tiba, mungkin saya tiada di sini.

“Penghargaan juga perlu diberikan buat pasukan penyelamat bomba dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), yang banyak membantu saya dan penduduk di Taman Sri Muda kerana tanpa bantuan dan komitmen mereka mungkin lebih ramai mangsa kehilangan nyawa,” Tambahnya lagi

Pada masa sama, Sidamparam, yang juga pesara polis berkata, dalam keadaan tanpa dijangka ini, semua pihak tidak boleh menuding jari menyalahkan mana-mana agensi kerana mereka sudah melakukan yang terbaik.

Sidamparam dan keluarga di hadapan rumahnya yang dinaiki air di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam.

Beliau berkata, akibat bencana itu, banyak barangan kesayangannya khususnya pingat dan surat watikah atas perkhidmatannya sebagai pegawai polis dan pencapaiannya sebagai atlet, turut musnah.

Katanya, antara ‘barangan’ kesayangannya yang hanyut dibawa arus deras ialah Pingat Jasa Pahlawan Negaran dan Kesatria Mangku Negara.

“Saya menganggarkan kerugian adalah sekitar RM80,000, namun bencana banjir ini juga memberikan hikmah di sebaliknya apabila ramai pihak tampil ke depan untuk membantu dan meluahkan simpati mereka,” katanya.

Sidamparam berkata, walaupun hampir seminggu kejadian banjir, beliau masih tidak menang tangan menerima pelbagai bantuan, termasuk daripada agensi kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyantuni mangsa banjir di Parlimen Bera, Selasa lalu.

Sementara itu, pekerja swasta, Wan Nor Rahman Wan Mustafa, 41, yang datang dari Johor bagi melawat keluarganya di Shah Alam tidak mungkin dapat melupakan kenangan melihat bot penyelamat bomba membawa ibu mentua, adik dan anak saudaranya yang berusia 11 bulan daripada terkandas di rumah dua tingkat di Taman Sri Muda.

Beliau bersama ahli keluarga lain menginap di inap desa di Taman Sri Muda pada Sabtu lalu sebelum dimaklumkan oleh penduduk taman berhubung kemungkinan banjir.

“Masa itu saya tidak menyangka berlakunya banjir sebab hujan macam tidak begitu lebat, namun keadaan agak mengejutkan apabila air mula naik hingga ke tangga ke bahagian atas rumah.

“Ketika terkandas di bahagian tingkat dua itu, saya dapat melihat bot penyelamat bomba dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) datang mengambil penduduk taman.

“Ketika itu, saya meminta mereka untuk menyelamatkan ibu mentua saya yang berusia 64 tahun dan bayi sebelum menunggu bantuan seterusnya tiba,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebelum ini mengumumkan peruntukan awal berjumlah RM100 juta bagi membaiki kerosakan kediaman dan infrastruktur akibat banjir.

Kerajaan juga bersetuju memberikan sumbangan RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir di seluruh negara dengan bantuan itu dipercepatkan di seluruh negara.

Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan cuti kecemasan kepada semua kakitangan awam yang terkesan akibat bencana banjir, manakala bagi kakitangan swasta, syarikat disarankan memberi pekerja cuti berbayar atau ‘paid leave’ dengan tidak menolak peruntukan cuti tahunan dan gaji mereka.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×