Famili

Saya Mencari Anak Angkat Untuk Dibela. Ingin Bayi, Ada Tak?

2.3K
reads
Saya Mencari Anak Angkat Untuk Dibela. Ingin Bayi, Ada Tak?

Mencari Anak Angkat

Kami menerima banyak komen dan pertanyaan tentang bagaimana cara mengambil anak angkat. Kami tidak mempunyai maklumat yang lengkap, maka lebih baik kami serahkan pada yang lebih mengetahui prosedurnya. Sisters In Islam mempunyai artikel yang sangat bagus yang dapat merungkai personalan tentang cara mengambil anak angkat ekoran dari pertanyaan seorang pengadu. Kami sertakan tulisan dari Panel Peguam Sisters In Islam. Boleh baca di sini.

 

Soalan Pengadu Tentang Anak Angkat

Seorang bayi perempuan telah ditinggalkan di hadapan rumah saya. Walaupun saya masih bujang, namun saya ingin mengambilnya sebagai anak angkat. Saya percaya bayi itu satu anugerah kepada saya. Apakah langkah-langkah yang perlu saya ambil supaya bayi itu menjadi milik saya yang sah di sisi undang-undang?

Hanina Hashim,
Kuala Lumpur

Prosedur Ambil Anak Angkat 

Di Malaysia, terdapat dua cara untuk mendapatkan anak angkat. Cara yang pertama ialah dengan secara terus daripada ibu bapa yang ingin memberikan anak mereka sebagai anak angkat. Cara yang kedua ialah melalui permohonan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dalam kes saudari, apabila terjumpa bayi yang ditinggalkan, apa yang perlu dilakukan ialah melaporkan hal tersebut ke balai polis yang berhampiran. Seterusnya, bayi itu akan dibawa ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan.

Kemudiannya JKM akan mengambil alih dan menempatkan bayi tersebut di bawah jagaannya. Satu jangka waktu diperuntukkan untuk tuntutan daripada ibu bapa kandungnya. Jika tiada tuntutan, bayi itu akan diserahkan untuk dijadikan anak angkat.

Oleh itu, saudari perlu membuat permohonan pengambilan anak angkat melalui JKM. Faktor utama yang dipertimbangkan oleh JKM ialah kebajikan bayi tersebut. Maka, selain daripada mengisi borang permohonan, satu temu duga akan dijalankan untuk menentukan sama ada saudari mampu dan layak menjadi ibu angkat kepada bayi tersebut.

Antara perkara-perkara yang yang dipertimbangkan oleh JKM ialah latar belakang sosial pemohon serta kesanggupan pemohon menjadi keluarga angkat. Ini kerana pertimbangan utama ialah kebajikan anak itu. Selain itu, syarat-syarat dalam Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991 dan Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 juga perlu dipenuhi.

Antara syarat-syarat perundangan yang perlu dipenuhi ialah:

  • Ibu bapa angkat mestilah sekurang-kurangnya berumur 25 tahun dan sekurang-kurangnya 18 tahun lebih tua daripada anak angkat itu;
  • Anak angkat itu hendaklah di bawah umur 18 tahun;
  • Ibu bapa dan anak angkat hendaklah menetap di Malaysia.

Semasa menemu bual pemohon, pegawai JKM akan cuba membuat penilaian-penilaian seperti kemampuan pemohon untuk memberi kasih sayang, jagaan dan perlindungan yang sempurna kepada anak angkat itu nanti, pemohon faham implikasi dan cabaran menjadi keluarga angkat, pemohon mampu memelihara anak itu dari segi ekonomi, kesihatan, sosial, emosi, mental dan sebagainya.

Walaupun pada kebiasaannya pemohon anak angkat ini adalah pasangan yang telah berkahwin, namun tiada halangan dalam Akta bagi seorang yang bujang untuk memohon anak angkat.

Saudari perlulah membuktikan kepada JKM bahawa walaupun saudari akan menjaga anak angkat tersebut berseorangan, tetapi saudari sanggup mengambil apa-apa langkah yang perlu bagi memastikan bahawa kebajikan bayi tersebut akan terpelihara.

Melihat kepada amalan, agak sedikit sukar bagi seorang yang masih bujang untuk mendapat anak angkat. Oleh sebab tujuan utama JKM ialah memelihara kebajikan anak angkat tersebut, maka JKM berusaha untuk memberikan institusi keluarga yang sempurna kepada anak angkat itu.

Walaupun begitu, ada beberapa kes yang mana seorang yang bujang juga diberikan peluang mengambil anak angkat. Seperti yang telah diterangkan, yang menjadi keutamaan ialah kebajikan anak tersebut.

Kami memuji niat saudari yang mulia. Asal sahaja saudari menunjukkan kejujuran hati saudari, kami merasakan bahawa semua pihak akan dapat melihatnya. Semoga berjaya.

Panel Peguam Sisters In Islam.

(Segala kemusykilan boleh dikemukakan kepada Sisters In Islam di alamat No. 7, Jalan 6/10, 46000, Petaling Jaya, Selangor, atau telefon ke Talian TeleNisa 03-77843733 pada hari Isnin, Khamis dan Jumaat atau e-mel: telenisa@sistersinislam.org.my )

 

Kompilasi Persoalan Tentang Anak Angkat

Kami gabungkan pelbagai soal-jawab dari JPN dan JKM untuk kebaikan kita bersama.

Apakah definisi Anak Angkat?

Mengikut Seksyen 6(1) Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 (Akta 253), anak angkat bermaksud:

Telah dalam jagaan dan dipelihara serta dididik oleh seseorang atau pasangan sebagai anaknya yang berterusan atau anak mereka secara anak angkat de facto selama 2 tahun sebelum tarikh permohonan.

Apa itu Anak Angkat De Facto?

De Facto bermaksud seseorang kanak-kanak itu berada dalam jagaan, sedang dibesarkan, ditanggung dan dididik oleh mana-mana orang atau pasangan suami isteri bersama tidak kurang dari dua (2) tahun.

Apa objektif mengambil anak angkat?

Untuk Ibu Bapa Peliharaan ia dapat memberi peluang kepada seseorang atau pasangan suami-isteri yang tidak mempunyai anak merasai suasana kehidupan berkeluarga mengikut saluran yang betul dan dapat menumpang dan mencurahkan kasih sayang kepada anak pelihara.

Untuk Anak Pelihara, ia dapat memberi peluang kepada kanak-kanak menikmati kehidupan berkeluarga dan mendapat belaian kasih sayang. Ia juga sebagai rangsangan untuk tumbesaran dari aspek fizikal, mental, sosial, emosi dan psikologi serta pendidikan holistik yang lebih baik dan sempurna.

Apa syarat-syarat untuk mengambil anak angkat dari JKM?

  1. Warganegara Malaysia dan menetap di Malaysia.
  2. Berusia 25 hingga 60 tahun.
  3. Perkahwinan secara sah (5 tahun ke atas).
  4. Bagi perkahwinan yang kurang dari 5 tahun dan mempunyai komplikasi kesihatan reproduktif atau  kesihatan yang menyukarkan proses kehamilan atau perkahwinan yang lewat juga boleh dipertimbangkan permohonannya.
  5. Peluang untuk mendapat anak tipis kerana faktor usia.
  6. Pemohon bujang boleh dipertimbangkan dan perbezaan umur di antara pemohon dan kanak-kanak mestilah lebih 21 tahun. Pemohon lelaki bujang dibenarkan mengambil kanak-kanak lelaki sahaja.
  7. Mempunyai pendapatan yang mampu menyara kehidupan keluarga.
  8. Hendaklah sihat dari segi mental dan fizikal.
  9. Bebas dari rekod kesalahan jenayah.
  10. Keadaan tempat tinggal yang sesuai dan selamat.
  11. Menganut agama yang sama dengan kanak-kanak.

Apa dokumen yang diperlukan untuk mengambil anak angkat dari JKM?

  1. Gambar ukuran pasport (suami/isteri).
  2. Surat pengesahan dari pegawai perubatan mengenai status kesihatan pemohon (suami/isteri).
  3. Salinan kad pengenalan (suami/isteri).
  4. Salinan sijil nikah/sijil pendaftaran perkahwinan.
  5. Slip gaji atau pengesahan pendapatan (suami/isteri).
  6. Lain-lain dokumen sokongan, contoh: laporan Pakar Perubatan, surat sokongan lain dan sebagainya.

Apakah yang akan ditanya semasa sesi temuduga dengan JKM?

  1. Menilai latar belakang sosial pemohon.
  2. Menilai kesanggupan pemohon menjadi keluarga pelihara.
  3. Menjelaskan tentang implikasi menjadi keluarga pelihara.
  4. Kesanggupan pemohon memenuhi syarat mengikut Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 dan Akta
    Pengangkatan 1952, Adoption Ordinance (Sarawak Cap 91)(Ammendment 2002) dan The Adoption (Central Registry)
    Regulations 1960 serta Adoption Ordinance 1960 (Sabah No. 23 of 1960)yang mana bersesuaian.

 

Bagaimana memohon anak angkat secara online?

  1. Sediakan dokumen yang diperlukan
  2. Permohonan boleh dibuat secara online atau datang sendiri ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah/ Jajahan (PKMD/J) di tempat pemohon bermaustautin atau tinggal.

Ini link untuk memohon anak angkat secara online dari JKM: http://www.jkm.gov.my/paponline/index.php?menu=permohonan

 

Bagaimana untuk semak satus permohonan anak angkat secara online dari JKM?

Sila gunakan link ini: http://www.jkm.gov.my/paponline/index.php?menu=semak_status_pemohon

 

Bolehkah ambil anak angkat yang tiada Sijil Kelahiran?

Salah satu keperluan utama untuk Permohonan Pengangkatan ialah Sijil Kelahiran. Jika kanak-kanak lahir di negara ini tetapi tidak mempunyai Sijil Kelahiran, Permohonan Daftar Lewat Kelahiran hendaklah dibuat terlebih dahulu

 

Berapa had umur maksimum anak angkat?

Had umur kanak-kanak yang boleh dianakangkatkan adalah di bawah umur 18 tahun.

 

Berapa umur minimum ibu-bapa yang ingin ambil anak angkat?

Syarat umur ibu atau bapa angkat ialah 25 tahun ke atas dan jarak umur dengan anak angkat ialah 18 tahun. Bagi ibu atau bapa angkat yang mempunyai tali persaudaraan dengan ibubapa kandung kanak-kanak, syarat umur ibubapa angkat ialah 21 tahun.
Di mana tempat memohon anak angkat?

Permohonan anak angkat boleh dibuat di mana-mana kaunter JPN berhampiran dengan kawasan kediaman ibu bapa angkat.

 

Perlukah bawa anak angkat sekali semasa proses permohonan?

Kanak-kanak WAJIB hadir bersama-sama ibu bapa angkat untuk proses pengangkatan.

 

Perlukah ibu-bapa kandung datang semasa proses permohonan?

Kehadiran ibu bapa kandung tidak diwajibkan jika Surat Keizinan Berkanun dikemukakan.
Bagaimanakah ibu bapa angkat boleh membuktikan bahawa mereka telah menjaga kanak-kanak tersebut selama 2 tahun seperti yang ditetapkan oleh Akta?

Pembuktian boleh dibuat melalui Surat Keizinan ibu bapa kandung iaitu Akuan Berkanun yang dibuat oleh ibu bapa kandung semasa proses penyerahan kanak-kanak tersebut kepada ibu bapa angkat. Tempoh 2 tahun dikira dari tarikh penyerahan dan bukan dari tarikh Akuan Berkanun dibuat.
Bolehkah tempoh penjagaan oleh ibu bapa angkat dikurangkan atas budi bicara Pendaftar Pengangkatan?

Tidak, kerana tempoh penjagaan selama 2 tahun itu telah ditetapkan oleh Akta 253.

 

Bolehkah perjanjian secara tidak formal antara ibu bapa kandung dengan ibu bapa angkat dibuat?

Tidak. Surat Akuan Berkanun antara kedua-dua pihak adalah keperluan undang-undang.
Bolehkah saudara (relative) kanak-kanak memohon untuk pengangkatan kanak-kanak tersebut?

Boleh. Syaratnya salah seorang pasangan suami isteri hendaklah mencapai umur 25 tahun dan mereka adalah saudara lelaki atau perempuan, bapa saudara atau ibu saudara, samada melalui pertalian darah atau pertalian kahwin kanak-kanak tersebut .

 

Bolehkah ibu bapa kandung membuat Permohonan Pengangkatan bagi anak kandung mereka?

Tiada halangan dari segi Akta.
Bolehkah ibu tunggal membuat Permohonan Pengangkatan?

Tiada sekatan dalam Akta 253 mengenai perkara ini.

 

Bolehkah bapa tunggal membuat Permohonan Pengangkatan?

Walaupun dalam Akta 253 tidak menyekat mana-mana individu untuk memohon pengangkatan, permohonan adalah TIDAK DIGALAKKAN dari bapa tunggal sekiranya kanak-kanak tersebut adalah perempuan. Untuk kes-kes seperti ini, rujukan akan dibuat kepada Pendaftar Besar Kelahiran dan Kematian dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Bolehkah kanak-kanak Islam dianakangkatkan oleh ibu bapa bukan Islam?

Walaupun dalam Akta 253 tidak menyebut tentang perkara ini Buku Arahan Pendaftaran Pengangkatan 1952 menyatakan bahawa kanak-kanak beragama Islam tidak boleh dianakangkatkan oleh ibu bapa angkat yang bukan beragama Islam.
Bolehkah kanak-kanak bukan beragama Islam dianakangkatkan oleh bapa angkat yang beragama Islam?

Kanak-kanak yang bukan beragama Islam boleh dianakangkatkan oleh ibu bapa angkat yang beragama Islam.
Bolehkah pemohon beragama Islam memohon pengangkatan melalui Perintah Mahkamah (Akta 257)?

Pengangkatan melalui Perintah Mahkamah (Akta 257) hanya untuk pemohon-pemohon yang bukan beragama Islam. Manakala pengangkatan melalui Akta Pendaftaran Pengangkatan (Akta 253) adalah terbuka kepada semua yang layak.
Bilakah Permohonan Pengangkatan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat?

Permohonan pengangkatan hanya dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat jika tiada keizinan dari ibu bapa / ibu / bapa kandung kanak-kanak untuk pengangkatan tersebut. Walau bagaimanapun tiada halangan untuk Pendaftar merujuk kes kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat mengikut keperluan.

 

Adakah kes di mana selepas permohonan pengangkatan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat, kanak-kanak ditarik dan diletakkan di bawah jagaan JKM?

Tiada.

 

Bolehkah kanak-kanak yang lahir di luar negeri dianakangkatkan oleh pasangan suami isteri di Malaysia?

Boleh, dengan syarat kanak-kanak menyempurnakan tempoh pemastautin biasa seperti diwajibkan oleh Akta dan mempunyai surat perjalanan yang sah sebelum layak untuk Permohonan Pengangkatan.

 

Bolehkah pasangan suami isteri yang tinggal di luar negera membuat Permohonan Pengangkatan untuk kanak-kanak tempatan?

Di bawah Akta 253, kedua-dua ibu bapa angkat dan kanak-kanak hendaklah tinggal bersama di negara ini selama 2 tahun berterusan sebelum layak untuk membuat Permohonan Pengangkatan.

 

Bolehkah dengan proses pengangkatan, warganegara kanak-kanak ditentukan?

Tidak.

 

Bolehkah kanak-kanak yang telah dianakangkatkan dikeluarkan dengan Sijil Kelahiran dan bukan Sijil Anak Angkat?

Pengangkatan yang dibuat di bawah Aka 253 hanya boleh dikeluarkan dengan Sijil Pengangkatan dan bukan Sijil Kelahiran.

 

Bolehkah Sijil Pengangkatan digunakan untuk urusan rasmi?

Sijil Pengangkatan mempunyai taraf kesahihannya sama seperti Sijil Kelahiran dan boleh digunakan untuk Pendaftaran Sekolah, Permohonan Kad Pengenalan, Permohonan Pasport dan lain-lain urusan rasmi.
Berapa bayaran dikenakan untuk Permohonan Pengangkatan?

RM 30.00 dikutip sebagai bayaran pendaftaran setelah permohonan diluluskan.

 

Bolehkah kanak-kanak yang telah dianakangkatkan dipulangkan kembali kepada ibu bapa kandung atau diberikan kepada pasangan suami isteri yang lain?

Pemulangan dan pengangkatan semula De Facto tidak dibenarkan, tetapi pengangkatan tersebut boleh dibatalkan dengan Perintah Mahkamah mengikut Sek. 13(2) Akta 253.

 

Bolehkah ibu bapa kandung mengambil kembali kanak-kanak selepas pengangkatan De Facto diluluskan?

Tidak. Dari segi undang-undang sivil, pengangkatan tersebut adalah muktamad.

 

Bolehkah seorang kanak-kanak yang telah dianakangkatkan melalui Akta Pendaftaran Pengangkatan (Akta 253) iaitu secara De Facto dianakangkatkan semula di bawah Akta Pengangkatan (Akta 257) iaitu melalui Perintah Mahkamah?

Boleh. Tetapi bagi kanak-kanak yang dianakangkatkan melalui Perintah Mahkamah TIDAK BOLEH dianakangkatkan semula melalui proses Pengangkatan De Facto.

 

Perlukah daftar anak angkat?

Mengambil anak angkat tanpa didaftarkan adalah tidak melanggar mana-mana undang-undang negara tetapi jika didaftarkan ianya dapat memberi perlindungan kepada anak angkat dan ibu bapa angkat kerana ia diiktiraf dari segi undang-undang.

 

Bagaimana untuk tahu lebih lanjut?

JPN

Boleh buatt pertanyaan melalui e-Pertanyaan (SISPAA JPN) di http://jpn.spab.gov.my

Juga boleh hubungi:

Pegawai Perkhidmatan Pelanggan
Tel : 03-80008000
Faks : 03-88808288
Emel (pro@jpn.gov.my)
JKM

Boleh hubungi:

Bahagian Kanak-Kanak
Jabatan Kebajikan Masyarakat
Telefon : 03-8323 1000

Sumber: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di http://www.jpn.gov.my/soalan_lazim/anak-angkat/ dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di http://www.jkm.gov.my/paponline/index.php?menu=info

 

Berikut adalah komen dari salah seorang pembaca:

AWAS! Komen-komen anda sedang dipantau! Jangan mudah memberi nombor telefon anda di sini. Sindiket jual beli anak dan perdagangan manusia adalah besar. Sila berhati-hati berurusan dengan pihak yang mengaku mempunyai anak untuk dijadikan angkat kepada pasangan yang terdesak dan sanggup membayar.

AWAS ! Jangan sampai terperangkap! Sila laporkan kepada pihak berkuasa jika ada pihak ini menawarkan khidmat ini. Anda sepatutnya berhubung dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat jika ingin mengambil anak angkat supaya anda tidak ditipu atau didakwa bersubahat.

AMARAN: SILA JANGAN LETAKKAN NOMBOR TELEFON ANDA DI SINI. PIHAK SIRAPLIMAU.COM TIDAK AKAN BERTANGGUNGJAWAB ATAS APA-APA MASALAH YANG SEDANG DAN AKAN BERLAKU DI KEMUDIAN HARI. SEMUA KOMEN ADALAH DI BAWAH TANGGUNGJAWAB INDIVIDU.

 

Yang Popular

To Top