Bagi anda yang gemar menikmati hidangan tempatan dalam suasana menarik, Makamakan kini membuka cawangan terbaharu di Look At 118, Kuala Lumpur, berdekatan dengan Muzium Tekstil Merdeka.
Diperkenalkan oleh Serai Group, Makamakan membawa konsep kopitiam yang mengetengahkan pelbagai hidangan kegemaran rakyat Malaysia, daripada nasi lemak dan nasi kerabu hingga mi, roti serta pencuci mulut tradisional.
Lebih menarik, lokasi ini membolehkan pengunjung menikmati hidangan sambil melihat pemandangan bangunan Merdeka 118 yang ikonik. Anda juga boleh meluangkan masa meneroka galeri Muzium Tekstil Merdeka yang mengetengahkan warisan tekstil dunia Melayu.
Bawa Cita Rasa Malaysia Dalam Satu Tempat

Makamakan dibangunkan berasaskan kerinduan terhadap makanan yang mengingatkan seseorang kepada rumah dan tanah air.
Konsepnya menghimpunkan pengaruh masakan Melayu, Cina dan India yang sudah lama menjadi sebahagian daripada budaya makanan masyarakat Malaysia.
Menurut Datuk Najib Hamid daripada Makamakan, ungkapan “Dah makan ke?” bukan sekadar pertanyaan, sebaliknya mencerminkan cara masyarakat Malaysia menunjukkan keprihatinan dan kasih sayang antara satu sama lain.
Melalui konsep ini, pengunjung berpeluang menikmati pelbagai cita rasa tempatan dalam satu kunjungan tanpa perlu memilih satu jenis masakan sahaja.
Daripada Nasi Lemak Hingga Nasi Kenduri, Banyak Pilihan Menu

Jika anda merancang untuk berkunjung, antara hidangan utama yang boleh dicuba termasuk Makamakan Signature Nasi Lemak Ayam Bawang Goreng Berempah.
Bagi penggemar nasi lemak, terdapat juga pilihan Sambal Sotong dan Daging Masak Hitam. Sementara itu, Makamakan Signature Nasi Itik Kanton & Chilli Oil menawarkan sentuhan masakan Kantonis untuk mereka yang ingin mencuba kelainan.
Pengunjung yang menggemari hidangan nasi pula boleh memilih Nasi Kerabu Ayam Percik, Nasi Kerabu Kambing Bakar atau Nasi Kenduri yang diinspirasikan daripada hidangan dalam majlis kenduri tradisional Melayu.
Pilihan lain termasuk Mee Goreng gaya mamak, Cantonese Noodles with Prawn & Chicken dan Kuey Teow Beef Noodle Soup.
Bagi penggemar roti, anda boleh mencuba Roti Jala & Kari Ayam, Roti Bom atau Roti Titab. Terdapat juga hidangan untuk dikongsi seperti Cucur Udang, Satay Ayam atau Daging dan Lontong Muar.
Kalau mahu menikmati snek atau kudapan manis, Kaya Kok Crispy Puff, Ikan Bilis Crispy Puff dan Peanut Sesame Ball turut tersedia.
Malah, pengunjung yang menginginkan hidangan Barat juga boleh memilih Hainanese Chicken Chop atau Fish & Chips.
Lengkapkan Hidangan Dengan Pencuci Mulut Dan Minuman Kopitiam
Selepas menikmati hidangan utama, anda boleh mencuba pencuci mulut tradisional seperti Cendol Gula Melaka, ABC Ice Kacang dan Bubur Pulut Hitam.
Hidangan ini juga boleh dipadankan dengan minuman kegemaran ramai, termasuk Teh Tarik, Kopi O, Milo Ping Kaw Kaw dan Bandung Soda Gembira.
Dengan pilihan menu yang pelbagai, Makamakan sesuai dijadikan persinggahan untuk menikmati hidangan bersama keluarga atau rakan-rakan ketika berada di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur.
Singgah Makan Sambil Terokai Warisan Budaya
Terletak di Look At 118, cawangan baharu Makamakan menawarkan pengalaman yang menggabungkan makanan dan tarikan budaya dalam satu lokasi.
Selepas menjamu selera, pengunjung boleh meluangkan masa meneroka Muzium Tekstil Merdeka yang terletak berdekatan, selain menikmati pemandangan bangunan Merdeka 118.
Gabungan tarikan ini menjadikan lokasi berkenaan pilihan untuk mereka yang mahu mengisi masa lapang dengan aktiviti santai sambil mengenali warisan Malaysia.
Makamakan di Look At 118 kini dibuka kepada orang ramai. Untuk maklumat lanjut, anda boleh mengikuti akaun Instagram Makamakan atau melayari laman web rasmi Serai Group.
