“Bahaya ke keputihan ketika mengandung ni sampai doktor kata kena buat test untuk GBS. Apa benda GBS ni?”
GBS bukannya Geng Bas Sekolah ya. Ia adalah nama singkatan untuk sejenis kuman / bakteria dipanggil ‘Group B Streptococcus’.
Kebanyakan ibu mungkin hanya tahu tentang GBS ini setelah disahkan positif oleh doktor. Sebelum ni tak pernah dengar pun!
Sebenarnya, lebih kurang 1 dari 4 wanita adalah pembawa kuman GBS. Namun tak semua menyedari bahawa mereka adalah pembawa bakteria ini.
Walaupun tidak menunjukkan sebarang masalah pada ibu, namun GBS berisiko terhadap bayi dalam kandungan sehingga boleh membawa maut.
Berikut adalah beberapa perkara yang ibu perlu tahu tentang GBS ketika mengandung.
Apakah GBS Positif Ketika Mengandung? Ini 5 Perkara Ibu Perlu Tahu
1. GBS & Keputihan Ketika Mengandung
Secara umumnya, kehadiran bakteria GBS ini boleh hidup secara ‘aman’ di dalam beberapa bahagian tubuh wanita iaitu faraj, usus, dubur dan pundi kencing tanpa menunjukkan sebarang masalah kesihatan kepada ibu.
Oleh itu, kebanyakan ibu pembawa GBS adalah sihat dan tiada simptom. Jika ada, simptom yang biasa dihadapi ibu adalah keputihan yang banyak atau berpanjangan ketika hamil.
Namun GBS boleh menjadi amat berbahaya kepada bayi yang bakal dilahirkan jika ia tidak dipantau oleh doktor.
2. Risiko GBS Kepada Bayi
Menurut Dr Aishah Alsagoff, terdapat beberapa risiko jangkitan kuman GBS ini kepada bayi yang perlu ibu tahu.
Antaranya:
- GBS adalah kuman nombor 1 yang menyebabkan meningitis (jangkitan kuman selaput otak) pada bayi baru lahir seawal minggu pertama kelahiran
- Selain meningitis, simptom utama GBS adalah gangguan pernafasan dan kuman dalam darah (sepsis)
- Jangkitan GBS kepada bayi boleh jadi seawal sejurus selepas kelahiran sehingga 90 hari selepas kelahiran
- Kadar kematian bayi untuk jangkitan awal kuman GBS (early onset) sebelum pengenalan rutin antibiotik ketika bersalin adalah sehingga 55%. Kini kadar kematian bayi disebabkan jangkitan kuman GBS adalah kurang dari 5%.
3. Bagaimana Mengesan GBS
GBS boleh dikesan melalui ujian swab pada vagina atau rektum (dubur).
Ia bukanlah ujian mandatori dilakukan kepada semua ibu mengandung.
Sebaliknya, ujian ini hanya dijalankan kepada mereka yang berisiko, menunjukkan simptom seperti keputihan yang luarbiasa, terutamanya mereka yang pernah mengalami GBS pada kehamilan sebelumnya.
4. Rawatan / Persediaan Bersalin
Risiko jangkitan GBS kepada bayi adalah 1 dalam 200 jika ibu tidak menerima antibiotik ketika bersalin
Walaubagaimanapun, risiko ini berkurangan kepada 1 dalam 4000 jika ibu menerima antibiotik ketika bersalin.
Jika ibu tidak pernah membuat ujian swab bagi GBS, lazimnya doktor akan mempreskripsikan antibiotik jika ibu mengalami tanda-tanda ini ketika bersalin bagi mengelakkan risiko jangkitan GBS:
- Pecah air ketuban melebihi 18 jam sebelum kelahiran
- Pecah air ketuban sebelum 37 minggu kandungan
- Jangkitan air kencing disebabkan GBS ketika mengandung
- Mempunyai sejarah bayi sebelum ini dijangkiti GBS
- Demam ketika bersalin
5. Tanda Jangkitan GBS Kepada Bayi
Untuk ibu yang berisiko tinggi, jika bayi disahkan atau disyaki dijangkiti kuman GBS, bayi anda perlu ditahan di NICU untuk penjagaan rapi.
Menurut BabyCenter, dalam kebanyakan kes, gejala jangkitan GBS pada bayi boleh diketahui semasa atau sebaik sahaja kelahirannya.
Tanda-tanda biasa jangkitan awal GBS termasuklah:
- mendengus
- kurang menyusu
- kelesuan
- cepat meragam
- tekanan darah rendah
- suhu badan tinggi atau rendah,
- kadar degupan jantung dan /atau
- kadar pernafasan yang luar biasa.
Beberapa prosedur yang akan dilakukan seperti mengambil sampel darah, air tulang belakang, memberi bantuan pernafasan dan rawatan IV antibiotik adalah perlu dan penting demi kesihatan bayi.
GBS Tidak Berjangkit Kepada Pasangan
Kuman / bakteria GBS ini tidak dikategorikan sebagai STD (sexually transmitted disease) dan ibu tidak perlu risau kerana ia tidak dipindahkan melalui hubungan seks.
Apapun, janganlah ibu terlalu risau kerana anda akan dipantau oleh doktor setelah mengetahui keadaan kesihatan yang lengkap melalui buku kesihatan masing-masing.