Nur

[GAMBAR] Lokasi Kaum Thamud Yang Diazab Oleh Allah & Kisah Nabi Salleh – UAH

218
SHARES
kisah nabi salleh

LOKASI KAUM YANG DIAZAB OLEH ALLAH SWT

SubhanAllah, Alhamdulillah, Allahu Akbar.

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

Satu pengalaman yang sangat menginsafkan semasa perjalanan ibadah umrah yang lalu ialah saat melewati kawasan Al-Hijr, penempatan yang pernah didiami oleh umat Nabi Salleh a.s., iaitu kaum Thamud.

Sesiapa yang hadir ke kawasan ini pasti akan terpegun dengan binaan dan seni arkitek yang dimiliki oleh kaum yang diazab ini.

Tetapi perlu sentiasa beringat, sekalipun tempat ini sangat indah dari segi seni bina dan bentuk semula jadinya, ia merupakan sebuah tempat yang dilaknat oleh Allah SWT.

Semasa dalam perjalanan menuju ke sini kerap kali terlintas dalam fikiran tentang pesanan Rasulullah SAW di dalam sebuah hadis yang berbunyi:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَدْخُلُوا عَلَى هَؤُلَاءِ الْمُعَذَّبِينَ إِلَّا أَنْ تَكُونُوا بَاكِينَ فَإِنْ لَمْ تَكُونُوا بَاكِينَ فَلَا تَدْخُلُوا عَلَيْهِمْ لَا يُصِيبُكُمْ مَا أَصَابَهُمْ

Maksudnya:

“Janganlah kalian memasuki tempat yang penghuninya diseksa kecuali kalian menangis. Jika tidak mampu menangis maka janganlah kalian memasukinya agar kalian tidak mendapat musibah sebagaimana mereka mendapatkannya.”
(HR Bukhari, hadis sahih)

Kawasan yang diturunkan bala sepatutnya tidak dikunjungi dengan rasa gembira, tetapi rasa keinsafan dan takut akan azab Allah SWT.

 

KAWASAN AL-HIJR

Al-Hijr merupakan sempadan antara bumi Hijjaz (Madinah) dan Syam (Jordan, Palestine, Lubnan, Syria).

Al-Hijr juga terletak berdekatan dengan Tabuk, lokasi yang pernah berlakunya peperangan di zaman Rasulullah SAW. Saya menuju ke sini dengan kenderaan yang agak laju mengambil masa selama 4 jam.

Bagaimana agaknya zaman dahulu tentera Islam bergerak dengan berjalan kaki, menunggang unta dan berkuda? Allahu Akbar.

 

 



MADAIN SALLEH

Madain Salleh bererti Bandar atau Kota Nabi Salleh a.s..

Kota ini juga diberi nama Al-Hijr yang bermaksud kawasan berbatu. Batu-batuan semula jadi ciptaan Allah SWT di kawasan ini sangat unik, subhanAllah.

Tempat ini juga diisytiharkan sebagai tempat simpanan sejarah dunia oleh United Nations Educational Scientific and Cultural Organization (UNESCO) pada tahun 2008 yang pertama di Arab Saudi.

Nabi Salleh a.s.. ialah seorang Rasul yang diutuskan kepada kaum Thamud.

Mukjizat Nabi Salleh a.s. ialah mengeluarkan unta betina daripada batu. SubhanAllah. Nama Nabi Salleh A.S. disebut 9 kali di dalam Al-Quran iaitu Surah Al-A’raf, Hud, Al-Hijr, Al-Isra’, Asy-Syua’ra, An-Naml, Al-Qamar dan Ash-Shams.

Nabi Salleh a.s.. adalah rasul ke-5 manakala Nabi Hud a.s. adalah rasul ke-4, diutuskan kepada kaum ‘Ad, satu kaum yang sangat kaya-raya dengan hasil tanaman, ternakan dan hasil bumi. 

kota nabi salleh

kota nabi salleh

Namun mereka adalah kaum yang ingkar kepada Allah SWT dan ajaran Nabi Hud a.s., lalu mereka diazab oleh Allah SWT dengan didatangkan angin kencang yang panas hingga mematikan semuanya.

Allah SWT merekodkan peristiwa ini di dalam Al-Quran:

فَاَخَذَتْهُمُ الصَّيْحَةُ بِالْحَقِّ فَجَعَلْنٰهُمْ غُثَاۤءًۚ فَبُعْدًا لِّلْقَوْمِ الظّٰلِمِيْنَ

Maksudnya:

“Lalu mereka (Kaum ‘Ad) benar-benar dimusnahkan oleh suara yang menggemparkan, dan Kami jadikan mereka (seperti) sampah yang dibawa banjir. Maka binasalah bagi orang-orang yang zalim.”
(Surah Al-Mukminun: 41)

Kaum Thamud kemudiannya mewarisi kekayaan kaum ‘Ad selepas dibinasakan. Namun dengan nikmat itu juga mereka menyekutukan Allah SWT dengan menyembah batu, bukit, dan lain-lain.

Kaum Thamud diberi keistimewaan bertukang bukit bukau untuk dijadikan bangunan dan kediaman mereka.

Terdapat juga tulisan asal daripada kaum Thamud yang masih kekal sampai ke hari ini dan dijaga oleh UNESCO sebagai tempat bersejarah dunia. Kedatangan kami ke sini perlu menaiki basnya yang tersendiri.

Keadaan di sini juga sangat terkawal supaya tidak berlaku apa-apa yang tidak diingini. Kawasan ini mempunyai keluasan 4000 hektar.

KISAH NABI SALLEH A.S.

Nabi Salleh a.s. adalah penduduk tempatan kaum Thamud. Baginda berasal daripada sebuah keluarga yang mulia dan dihormati dalam kalangan kaum tersebut.

Sejak kecil Nabi Salleh a.s. merupakan seorang yang pintar dan menjadi harapan penduduk untuk dijadikan pemimpin apabila baginda besar kelak.

Asbab keperibadiannya yang mulia, Allah SWT mengangkat baginda menjadi Rasul.

Namun apabila Nabi Salleh a.s. menjalankan tugasnya sebagai penyampai risalah Allah SWT, kaumnya terus menentang dan mengejeknya sebagai seorang penipu, gila dan ahli sihir.

Tanpa berputus asa Nabi Salleh a.s. tetap berusaha memujuk kaumnya dengan lembut. Mereka yang menolak termasuk golongan bangsawan dan berkedudukan.

Mereka yang menyambut seruan Nabi Salleh a.s. pula terdiri daripada golongan fakir miskin dan bawahan.

Kesannya, ajaran Nabi Salleh a.s. tersebar sesama kaum Thamud. Hal ini membuatkan golongan bangsawan berasa dendam hingga mereka mula memberi tekanan dan mencabar Nabi Salleh a.s. untuk membuktikan kenabian baginda.

Cabaran yang mereka pinta ialah mengeluarkan seekor unta daripada batu kerana kaum Thamud sangat sukakan batu-batuan.

kisah kaum thamud

SubhanAllah, dengan izin Allah SWT, Nabi Salleh a.s. berjaya mengeluarkan seekor unta betina daripada batu berdekatan. Kemudian Nabi Salleh a.s. memberi amaran supaya unta itu tidak disakiti sama ada ketika minum atau makan kerana azab Allah akan menimpa jika mereka ingkar.

Malangnya mukjizat itu tidak melembutkan hati mereka yang keras bahkan mereka merancang untuk membunuh unta tersebut. Allahu Akbar.

Akhirnya unta tersebut mati dibunuh oleh dua orang lelaki yang ditawarkan oleh seorang wanita kaya-raya, anak gadis, harta benda dan kedudukan. Mereka menunggu di sebalik batu sekitar kawasan unta tersebut selalu meminum air. Kemudian seorang memanah unta tersebut dan seorang lagi memenggal lehernya dengan pedang.

Mereka pun bersorak gembira seolah-olah memenangi satu peperangan yang besar dan sebarkan berita itu kepada kaum mereka.

Apabila berita tersebut sampai kepada Nabi Salleh a.s., baginda berkata kepada mereka, “Nantikanlah azab Allah yang sangat dahsyat atas apa yang kamu lakukan dalam masa 3 hari.”

Kenapa dalam masa 3 hari?

Kerana seolah-olah Nabi Salleh a.s. sedang memberi peluang kepada kaumnya untuk bertaubat.

Pada hari pertama, wajah kaum Thamud bertukar menjadi kekuningan.

Pada hari kedua, wajah mereka bertukar kemerahan. Pada hari ketiga wajah mereka bertukar kehitaman. Allahu Akbar.

Dalam tempoh ini pula mereka merancang lagi untuk membunuh Nabi Salleh a.s.. Saat baginda telah dikepung untuk dibunuh oleh 9 orang, Allah SWT menurunkan batu-batu yang tidak tahu dari mana sumbernya lalu menghempap kesemua 9 orang lelaki ini.

Begitulah Allah SWT memelihara Nabi-Nya.
Setelah itu Nabi Salleh a.s. menyuruh pengikutnya yang beriman supaya menyelamatkan diri ke arah Jordan dan Palestin. Pada waktu itu turunlah azab Allah SWT ke atas kaum Thamud seperti yang difirmankan di dalam Al-Quran:

وَاَخَذَ الَّذِيْنَ ظَلَمُوا الصَّيْحَةُ فَاَصْبَحُوْا فِيْ دِيَارِهِمْ جٰثِمِيْنَۙ (67) كَاَنْ لَّمْ يَغْنَوْا فِيْهَا ۗ اَلَآ اِنَّ ثَمُوْدَا۠ كَفَرُوْا رَبَّهُمْ ۗ اَلَا بُعْدًا لِّثَمُوْدَ (68)

Maksudnya: “Kemudian suara yang mengguntur menimpa orang-orang zalim itu, sehingga mereka mati bergelimpangan di rumahnya. (67) Seolah-olah mereka belum pernah tinggal di tempat itu. Ingatlah, kaum samud mengingkari Tuhan mereka. Ingatlah, binasalah kaum Thamud. (68)”
(Surah Hud: 67-68)

SEJARAH UNTUK DIRENUNGI

Tuan Puan,

Jika kita hayati sedalam-dalamnya sirah Nabi terdahulu, kaum yang mengingkari perintah Allah SWT dan Rasul-Nya segera diazab dan lenyap di muka bumi. Maka jangan pula kita sebagai umat Islam, berbangga melanggar perintah Allah SWT tanpa rasa bersalah.

SubhanAllah. Boleh saja Allah SWT turunkan azab ke atas umat akhir zaman yang sudah banyak melakukan dosa seperti umat terdahulu. Namun disebabkan doa Rasulullah SAW, Allah SWT tangguhkan azab itu ke Hari Pembalasan nanti.

Contohnya, umat Nabi Luth yang melakukan sodomi iaitu hubungan sejenis sesama lelaki, juga telah dibuat oleh umat ini. Jika dulu umat terdahulu menyembah berhala, umat ini juga masih ada yang melakukannya.

Firman Allah SWT:

وَاذْكُرُوْٓا اِذْ جَعَلَكُمْ خُلَفَاۤءَ مِنْۢ بَعْدِ عَادٍ وَّبَوَّاَكُمْ فِى الْاَرْضِ تَتَّخِذُوْنَ مِنْ سُهُوْلِهَا قُصُوْرًا وَّتَنْحِتُوْنَ الْجِبَالَ بُيُوْتًا ۚفَاذْكُرُوْٓا اٰلَاۤءَ اللّٰهِ وَلَا تَعْثَوْا فِى الْاَرْضِ مُفْسِدِيْنَ

Maksudnya:

“Dan ingatlah ketika Dia menjadikan kamu khalifah-khalifah setelah kaum ‘Ad dan menempatkan kamu di bumi. Di tempat yang datar kamu dirikan istana-istana dan di bukit-bukit kamu pahat menjadi rumah-rumah. Maka ingatlah nikmat-nikmat Allah dan janganlah kamu membuat kerusakan di bumi.”
(Surah Al-A’raf: 74)

Semoga dengan kisah Nabi Salleh a.s. ini dapat meningkatkan rasa tawadhuk kita di hadapan Allah SWT yang mengurniakan kita kelebihan menjadi seorang muslim dan umat Nabi Muhammad SAW.

Maka gunakanlah kesempatan ini untuk kita sama-sama membina taqwa dan cinta yang lebih mendalam terhadap Allah SWT, insyaAllah.

Rujukan:
1. Qasasul Anbiya’, karangan Ibnu Katsir
2. Di Bawah Teduhan Kisah-kisah Al-Quran, oleh Ustaz Syaari Ab Rahman

ASMA’ BINTI HARUN

#UAHSahabatDuniaAkhirat

(Sumber: Facebook Ustazah Asma’ Harun)

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×