Kewangan

Tengok Baki Terendah, Ini Cara Nak Tahu Sama Ada Wang Simpanan Kita Wajib Dizakatkan

2.1K
SHARES
zakat simpanan

“Alhamdulillah, tahun lepas dapat menabung lebih sikit. Rasanya kalau wang simpanan dah cukup setahun ni dah kena zakat kan? Berapa banyak yang kena zakat? Macam mana cara kira zakat simpanan ni?”

Antara persoalan yang selalu berlegar di fikiran kita berkaitan zakat ini contohnya – Jenis wang simpanan bagaimana yang kena zakat? Berapa nilai atau jumlah simpanan yang wajib dikenakan zakat? Kalau duit simpanan ada dalam beberapa akaun berlainan macam mana? Dan kalau asyik keluar masuk tu kena zakat juga ke?

Jadi, untuk menjawab beberapa persoalan ini, jom kita ketahui serba sedikit tentang zakat wang simpanan dan cara untuk mengiranya. Sebenarnya mudah saja. Yang penting, fahamkan beberapa perkara asas ini.

Hukum Zakat Wang Simpanan

Wang yang disimpan di dalam akaun simpanan serta lain-lain bentuk simpanan di bank atau mana-mana institusi kewangan WAJIB dizakatkan apabila memenuhi syarat-syaratnya.

Dalil yang merujuk kepada hukum ini adalah:

“Tiada wajib atas engkau sesuatu (pada emas) sehingga engkau memiliki 20 dinar (bersamaan 85 gram). Apabila ada pada engkau 20 dinar dan cukup haul, maka wajiblah zakat padanya 1/2 dinar (2.5%) Maka jika lebih dari 20 dinar, hendaklah dihisab menurut lebihannya itu 2.5% daripada keseluruhannya.” (Riwayat Abu Daud)

Maksudnya wang yang terdaat dalam akaun bank biasa seperti Maybank, CIMB, atau pelaburan ASB, ASN, KWSP dan sebagainya perlu dizakatkan jika memenuhi syaratnya.

*Tapi KWSP kena cerita lain kali sebab lain sikit cara zakatnya.

Syarat Wajib Zakat Wang Simpanan

Jadi, apakah syarat yang menyebabkan wang simpanan kita wajib atau tidak dikeluarkan zakat?

Ada 2 syaratnya iaitu:

  • Cukup nisab (*bersamaan nilai simpanan sebanyak 85 gram emas mengikut harga semasa)
  • Cukup haul (cukup tempoh setahun disimpan ).

Cara nisab ini dikira adalah bersandarkan kepada nilai 85 gram harga emas semasa. Kadar nisab ini juga biasanya berbeza sedikit mengikut negeri, macam kadar zakat fitrah jugalahkan, ada negeri yang lain- sikit kadarnya. Tapi ia taklah jauh beza. Boleh check di laman web pusat zakat negeri masing-masing.

Contohnya, kadar nisab terkini untuk negeri Selangor tahun 2019 adalah bersamaan RM13,490. Maksudnya, kalau wang simpanan kita dalam akaun tu menyamai RM13,490 atau melebihi nilai nisab tu, barulah ia wajib dizakatkan.

Kalau tak cukup atau tak menyamai nilai RM13,490 tu, maksudnya tak wajiblah untuk dizakatkan.

Faham kan?

Kadar nisab di negeri Pulau Pinang

Kadar nisab di Selangor

Cara Kira Zakat Wang Simpanan

Cara kira zakat simpanan ni mudah saja. Kadar zakatnya adalah 2.5% daripada baki terendah yang ada di dalam simpanan berkenaan setelah cukup setahun.

Langkah-langkah Pengiraan Zakat Wang Simpanan

• Tentukan tarikh bermulanya jumlah simpanan yang mencukupi nisab. Itulah tarikh bermulanya haul.

• Pastikan jumlah simpanan tidak kurang dari jumlah nisab di sepanjang tempoh haul (setahun) tersebut.

• Dapatkan jumlah baki terendah dalam haul tersebut yang melebihi nisab.

• Buat tolakan jika ada wang faedah (riba) atas sesuatu simpanan.

• Bandingkan jumlah baki terendah simpanan ini dengan nisab akhir haul. Jika jumlah ini menyamai atau melebihi dari nisab tersebut, maka wajiblah dikeluarkan zakat sebanyak 2.5% (jumlah baki terendah x 2.5%).

cara bayar zakat fitrah online

Senarai pusat zakat yang boleh dibayar melalui Maybank2u

Contoh Pengiraan Zakat Wang Simpanan

Untuk lebih faham macam mana nak kira zakat wang simpanan ni, ada beberapa situasi biasa yang mudah untuk kita sesuaikan dengan situasi masing-masing.

Contohnya kalau simpanan jenis tetap, simpanan asyik keluar masuk, atau simpanan yang terdapat pada beberapa akaun.

1. Cara Kira Zakat Untuk Akaun Simpanan Tetap

Tarikh: 01.01.2018
Simpanan: RM15,000

Tarikh: 31.01.2019
Simpanan: RM15,500

Zakat yang wajib dikeluarkan:
RM15,000 (baki terendah) x 2.5 % = RM375

2. Cara Kira Zakat Untuk Akaun Simpanan Tidak Tetap

Tarikh: 01.01.2018
Masuk: RM20,000
Keluar: –
Baki: RM20,000

Tarikh: 04.01.2018
Masuk: –
Keluar: RM1,000
Baki: RM19,000

Tarikh: 08.06.2018
Masuk: RM1,000
Keluar: –
Baki: RM20,000

Tarikh: 15.08.2018
Masuk: –
Keluar: RM2,000
Baki: RM18,000

Tarikh: 31.12.2018
Masuk: RM400
Keluar: –
Baki: RM18,400

Zakat yang wajib dikeluarkan:
RM18,000 (baki terendah) x 2.5% = RM 450

3. Cara Kira Zakat Untuk Beberapa Akaun

Untuk menentukan baki terendah, semua jumlah wang simpanan dalam akaun-akaun simpanan tersebut perlu disatukan. Biarpun pendeposit mempunyai pelbagai akaun simpanan, tetapi pada hakikatnya pendeposit mempunyai satu simpanan sahaja.

Jika simpanan dalam salah satu akaun sudah mencukupi atau melebihi nisab (nilai 85 gram emas), maka simpanan di dalam buku-buku lain, walaupun kurang dari nisab, wajib dikenakan zakat.

Contohnya:

Baki terendah simpanan di Bank ‘A’ berjumlah RM14,000.00 dan di dalam akaun Bank ‘B’ berjumlah RM800.00, maka kedua-dua akaun tersebut adalah wajib zakat.

RM14,000.00 + RM800.00 x 2.5% = RM370.00 zakat.

Zakat hanya dibayar setahun sekali. Jika pemilikan kita berterusan, zakat simpanan wajib dkeluarkan untuk tahun berikutnya.

4. Zakat Wang Simpanan Dalam Akaun Patuh Syariah

Bagi anda yang menyimpan dalam akaun bank patuh syariah, anda boleh semak sama ada mereka ada prosedur untuk zakatkan sebahagian wang kita apabila cukup syaratnya.

Contohnya kalau anda menyimpan dalam Tabung Haji, anda dah tak perlu nak risau untuk keluarkan zakat simpanan sebab Tabung Haji dah siap-siap keluarkan zakat simpanan untuk kita.

Zakat Akan Menyuburkan Harta

Mudah kan cara nak kira zakat ni sebenarnya? Kalau nak bayar nanti, pilihlah sama ada nak pergi terus ke Pusat Zakat atau guna online banking pun boleh.

Percayalah, mengeluarkan zakat adalah satu cara meraih rezeki dan mencapai keberkatan hidup. Jangan takut simpanan kita berkurang sebab Allah Yang Maha Kaya berkuasa memberi dan menarik balik apa-apa nikmat yang Dia pinjamkan pada kita.

Mungkin kita tak sedar, sihat juga satu nikmat, ketenangan jiwa satu nikmat, anak-anak kita berjaya dalam hidup juga satu rezeki, harta kita Allah lindung dan selamat tidak dicuri pun satu rahmat, kereta jenis lama tapi jarang rosak, keluarga ramai tapi jarang sakit, cukup makan, cukup pakai dan pelbagai nikmat lagi. Inilah nikmat keberkatan yang kita semua mungkin tak nampak tetapi sudah lama kita nikmati tanpa kita sedari.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

Bandingan (sedekah/zakat) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menumbuhkan 7 tangkai tiap-tiap satu tangkai itu pula mengandungi 100 biji dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya. – (Surah al-Baqarah: Ayat 261)

Diharapkan dengan perkongsian ini lebih ramai dapat faham tentang zakat wang simpanan. Jadi, jom berzakat!

Sumber rujukan: Pusat Zakat Pulau Pinang, Pusat Zakat Negeri Sembilan, Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan PPZ MAIWP

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×