Kita sedia maklum pandemik Covid-19 yang melanda negara kini telah memberi impak yang besar kepada para pelajar terutamanya dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan saluran khusus TV pendidikan, DidikTV Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi membantu pelajar yang tidak mempunyai akses internet yang mencukupi untuk mengikuti kaedah PdPR pada waktu sukar ini.
Ini juga dapat menerapkan nilai murni dan mewujudkan masyarakat bermaklumat. Saluran DidikTV ini akan menjadi platform memperkasakan budaya ilmu.
Bersiaran dari jam 7 pagi hingga 12 tengah malam
Bagi pengetahuan ibu bapa dan anak-anak, ini merupakan kali pertama KPM memperkenalkan saluran khusus TV Pendidikan dengan pengisian bermula dari jam 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari.
Ini juga merupakan usaha berterusan KPM dalam meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti bagi semua murid di seluruh negara. Jadi, ibu bapa bolehlah meluangkan masa untuk menonton DidikTV bersama anak-anak anda.
Kaedah penyampaian lebih menyeluruh
Menariknya tentang DidikTV, ia dapat membantu menyelesaikan masalah PdPR terutamanya buat anda yang tinggal di kawasan pedalaman dan mempunyai masalah kemudahan peranti serta internet.
DidikTV juga menyediakan kandungan yang lebih menyeluruh dan mampu membantu guru yang kurang mahir dalam aspek teknologi terkini.
Bermula dari peringkat pra sekolah hingga tingkatan 6
Bukan itu saja, DidikTV juga akan menyiarkan program-program berteraskan kurikulum dan kokurikulum KPM.
Antaranya berita mengenai dunia pendidikan dari peringkat pra sekolah hingga tingkatan 6, program bercorak didik hibur (edutainment) serta kandungan yang dihasilkan oleh murid.
Selain itu, kandungan pembelajaran sepanjang hayat yang memberi fokus kepada nilai-nilai murni dan pembangunan karakter murid juga akan disiarkan.
Terdiri daripada kalangan guru berpengalaman
Bagi tenaga pengajar pula, mereka terdiri daripada guru-guru berpengalaman dalam bidang masing-masing supaya kualiti pengajaran yang disampaikan kepada murid adalah pada tahap terbaik.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, “Saya percaya dan yakin ramai dalam kalangan warga pendidik kita mempunyai kemahiran dan kepakaran menyampaikan kandungan pembelajaran secara kreatif.” Ia sekaligus akan menjadikan standard pengajaran yang sama di seluruh negara.
Program ini juga membantu para pelajar terutamanya calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan mula menduduki peperiksaan pada minggu hadapan dengan slot ‘Road to Success SPM 2020’.
Contohnya macam video dekat bawah ini.
Ikuti PdPR yang lebih efektif sekarang!
Ibu bapa serta anak-anak di rumah tidak perlu risau lagi. Anda boleh terus menonton dan alami PdPR dengan lebih efektif melalui saluran khusus DidikTV di ntv7.
Selain itu, jangan lepaskan peluang anda untuk sertai pertandingan Tonton, Rakam & Kongsi!
Nak tahu lebih lanjut, anda tengok gambar di bawah dan ikuti langkah penyertaan tersebut. Selamat mencuba dan selamat belajar semua!