“Alamak, asyik merengek je dari tadi. Ada yang tak kena ke? Tidur dah, menyusu pun dah. Sakit perut ke?”
Selain persiapan fizikal dan mental, banyak pengetahuan yang perlu diambil tahu oleh ibu bapa baru bagi menjaga cahaya mata baru. Seperti bab penjagaan bayi seperti memandikan dan menidurkannya, ibu bapa juga perlu prihatin dalam hal sendawakan bayi.
Walaupun nampak seakan remeh, tapi sebenarnya angin yang berlebihan dalam perut bayi boleh mengakibatkan bayi gelisah dan perut tidak selesa. Jadi adalah penting bagi ibu bapa baru untuk ketahui kaedah terbaik untuk menangani gas berlebihan dalam perut.
Ibu Ayah Kena Tahu Sendawakan Bayi. Ini 7 Perkara Penting Untuk Difahami
1. Kenapa Mesti Sendawakan Bayi?
Angin yang sering terperangkap dalam sistem penghadaman perlu dibebaskan untuk melancarkan fungsinya. Angin boleh keluar melalui mulut atau sebagai kentut.
Bayi juga tidak terlepas daripada tertelan sedikit angin tidak kita menyusu badan atau daripada botol. Oleh itu, sendawa dapat melegakan perut bayi agar berasa lebih selesa selepas menyusu.
2. Punca ‘Angin’ Pada Bayi
Memang tidak dapat disangkal penyusuan dengan botol lebih mudah membuatkan bayi masuk ‘angin’. Hal ini kerana dengan menyusu botol, aliran susu lebih cepat dan bayi mudah tertelan angin.
Seperkara lagi, elakkan menggoncang susu botol terlalu kuat kerana perbuatan ini tanpa disedari dapat menambahkan gelembung udara dalam susu.
Selain susu botol, penyusuan badan dapat membuatkan bayi angin apabila payudara ibu terlalu penuh dan sedang mengalami letdown reflex. Jika bayi masih kecil, cuba pamkan dahulu aliran susu yang awal sehingga alirannya tidak terlalu laju. Bayi yang kelaparan dan minum susu dengan cepat juga boleh mengakibatkan angin dalam perut kecilnya.
3. Pemakanan Ibu Menyusu Juga Menyebabkan Bayi Kembung?
Selain cara penyusuan bayi, diet ibu menyusu mungkin dapat menyumbang kepada ‘angin’ dalam perut bayi melalui susu badan. Lebih-lebih lagi kekacang dan sayuran tinggi karbohidrat seperti kubis dan kacang tanah serta minuman berkarbonat. Selain itu, makanan yang selalu menjadi punca alahan kepada bayi apabila dimakan oleh ibu menyusu adalah produk tenusu seperti keju, susu dan aiskrim.
Bayi yang alergi kepada sesetengah pemakanan juga menghasilkan gas yang lebih banyak dalam perut. Oleh itu, ibu perlu mengubahsuai diet seharian supaya sesuai dengan bayi.
4. Waktu Terbaik Sendawakan Bayi
Selalunya bayi akan mula merengek apabila perut mereka terasa kembung. Untuk mengelakkannya, sendawakan bayi sejurus selepas menyusukan bayi. Bagi yang menyusu botol. Adalah dinasihatkan untuk sendawakan bayi selepas menyusukannya sebanyak 2 ke 3 auns (60 ke 90 ml) susu.
Bagi yang menyusu badan, sendawakan anak sebelum beralih ke sebelah payudara lagi. Tindakan ini dapat memberi ruang kepada perut bayi untuk minum lebih susu di samping membantu membuatkan bayi lebih kenyang.
5. Posisi Betul Untuk Sendawakan Bayi
Terdapat beberapa cara untuk sendawakan bayi mengikut kesesuaian ibu bapa.
Cara pertama ialah dengan menyandarkan pada bahu. Caranya ialah melentokkan bayi pada bahu dan menepuk belakangnya dengan perlahan.
Cara kedua ialah dengan meribakan bayi dan tepuk bayi secara perlahan. Sebelah tangan digunakan untuk menyokong dada dan sebelah lagi untuk menepuk belakang. Lentokkan badan sedikit ke hadapan untuk memudahkan sendawa.
Bagi bayi baru lahir, pastikan leher dan kepala disokong. Menukar bayi kepada beberapa posisi dapat membantu mengeluarkan angin dengan lebih lancar. Fokuskan menepuk belakang bayi pada bahagian kiri kerana lokasinya yang berdekatan dengan perut.
Jika bayi meragam tetapi tidak dapat sendawa, ibu bapa boleh cuba untuk melakukan urutan lembut pada bahagian perut atau lakukan pergerakan ‘mengayuh basikal’ dalam keadaan bayi berbaring. Melatih bayi untuk meniarap juga dapat membantu mengurangkan gas dalam perut.
6. Persediaan Yang Boleh Dilakukan
Sediakan kain lap yang bersih ketika menyusukan bayi. Harus diingat bahawa bayi boleh termuntah semasa sendawa. Apabila bayi merengek semasa menyusu atau makan, itu menandakan bahawa bayi sudah mula tidak rasa selesa pada perutnya.
Jadi, berhenti menyusukan dan cuba sendawakan bayi. Menangis yang berterusan dapat membuatkan bayi tertelan lebih angin sehingga membuatkannya meragam dan mudah termuntah.
7. Sampai Bila Bayi Patut Disendawakan?
Pada awal kelahiran bayi perlukan perhatian khusus kerana anggota badannya yang masih berkembang. Lama-kelamaan, ibu bapa tidak perlu sendawakan bayi sekerap dahulu kerana sistem penghadamannya yang semakin matang mengikut usia.
Apabila bayi sudah mula makan makanan pejal sekitar 6 bulan keatas, perutnya akan kurang angin dan tidak perlu disendawakan sekerap dahulu. Walaupun sudah mencapai usia tersebut, perbuatan sendawakan bayi perlu diteruskan sekiranya bayi kelihatan masih meragam selepas makan.
Pastikan bayi diberikan susu mengikut waktu yang tetap dan dengan kaedah penyusuan yang tetap bagi mengelakkan angin dalam perut.
Bantu Bayi Berasa Selesa Ya!
Sendawa dan kentut adalah normal bagi bayi untuk mengeluarkan lebihan gas dalam perutnya. Namun begitu, jika bayi muntah terlalu banyak dengan kerap setiap kali makan bukanlah perkara yang normal.
Jika masalah ini berterusan sehingga bayi nampak kurang aktif, jangan teragak-agak berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.