Famili

Ibu Takut Anak Sulung Rasa Tersisih Bila Mengandung Anak Kedua, Ini Tips Atasinya Sesuai Usia

137
SHARES
hamil anak kedua

“Dulu masa pregnant anak sulung rasa ‘excited’ je. Sekarang ni bila nak dapat anak kedua, tak sangka perasaan bercampur baur dan sukar digambarkan. Macam mana dengan si abang ni nanti agaknya. Boleh ke dia terima adik baru? ‘Jealous’ tak dia? Ish, rasa risau pulak…”

Siapa sangka, kelahiran anak kedua menimbulkan pelbagai emosi pada benak fikiran ibu berbanding kehadiran anak sulung terdahulu. Ia sememangnya berbeza, terutamanya jika kehamilan berlaku tanpa dirancang. Rasa belum bersedia, bimbang, keliru dan tak kurang juga rasa bersalah pada anak sulung.

Sebenarnya semua ini adalah sesuatu yang normal dan lahir daripada naluri keibuan anda. Kita mudah rasa kasihan pada anak sulung sebab kita tak mahu dia rasa tersisih.

Selain cuba berfikiran positif, ada beberapa perkara yang boleh anda lakukan untuk mengatasi emosi negatif ini di samping membuatkan anda berasa lebih bersedia untuk meneruskan kehamilan anak kedua dengan lebih ceria.

Tips Agar Anak Sulung Tak Cemburu Pada Adik Baru, Panduan Mengikut Usia

Setiap anak memberi reaksi yang berbeza apabila mengetahui tentang kehadiran adik barunya. Ada yang gembira, ada yang sedih, meragam, atau kurang faham tentang apa yang bakal berlaku. Ini semua bergantung pada tahap usia dan kematangan masing-masing.

Berikut adalah beberapa langkah yang boleh dilakukan ibu ayah mengikut usia anak sulung anda.

Usia 0-2 Tahun

Menurut Fran Walfish, Psy.D., penulis buku The Self-Aware Parent, walaupun masih kecil tapi usia ini sebenarnya merupakan tahap paling sukar untuk anak sulung menerima adik baru. Ini kerana mereka masih memerlukan perhatian ibu, terutamanya bagi anak yang masih menyusu badan.

Rutinnya mungkin berubah dek kerana kesibukan anda menguruskan 2 orang anak kecil. Malah, anak anda juga boleh menjadi tantrum apabila si adik dah mula aktif dan mampu merampas mainan daripada abang atau kakaknya.

Apa Yang Boleh Anda Buat

  • Beritahu tentang kehadiran bayi baru walaupun mereka mungkin belum faham. Letakkan tangannya pada perut anda untuk merasa tendangan bayi. Sedikit sebanyak, ia memberi peluang kepada mereka berdua untuk bonding sebelum bayi lahir lagi.
  • Banyakkan memeluk dan mencium anak sulung setiap hari. Tindakan ini walaupun nampak mudah tapi ramai ibu rasa sukar melakukannya dek kerana terlalu sibuk dan letih menguruskan bayi.
  • Usaha mendapatkan ‘alone time’ bersama anak sulung dengan melakukan aktiviti yang biasa anda lakukan dengannya sebelum kelahiran bayi baru. Minta suami jagakan bayi seketika atau tolong uruskan mana-mana kerja yang tergendala.

Foto Kredit: chicagotribune.com

Usia 2-4 Tahun

Kalau anak yang lebih kecil cenderung untuk berasa keliru dan sedih dengan adik barunya, anak pada usia toddler ini pula dah mula pandai mengamuk dan tantrum bila tak puas hati terhadap sesuatu. Bahkan, mereka mungkin mahu lebih perhatian dan menjadi ‘manja’ seperti seorang bayi!

Menurut pakar, usia ini juga merupakan tempoh yang mencabar bagi ibu bapa kerana banyak ‘perangai’ mereka yang perlu anda faham. Fasa peralihan daripada fasa bayi kepada anak kecil (toddler) sering dikaitkan fasa ini sebagai ‘terrible two’ atau ‘terrible three’.

Apa Yang Boleh Anda Buat

  • Anak pada usia ini memang ada yang terlebih manja dan suka berkepit dengan ibu. Jadi, libatkan suami supaya rutin yang biasa dilakukan oleh ibu boleh diambil alih oleh ayah.
  • Perkenalkan buku cerita yang bertemakan kehadiran bayi baru. Atau boleh juga ajak anak sulung melawat kawan-kawan anda yang baru melahirkan bayi untuk memberi gambaran kepadanya.
  • Dalam usia ini anak anda mungkin belum mahu berkongsi barang atau mainannya dengan bayi. Jadi, minta kebenarannya dan jangan paksa jika anak memerlukan masa untuk ‘berbaik’ dengan bayi.
  • Acknowledge perasaannya – maksudnya kita beritahu pada anak yang kita faham perasaannya. Jangan ketawakan atau marah pada anak yang cemburu.
  • Banyakkan bermain dengan mereka dan libatkan bayi bersama dalam aktiviti harian.

Foto Kredit: today.com

Usia 4-6 Tahun

Anak-anak pada usia 4-6 tahun biasanya dah lebih berdikari dan faham dengan kehadiran adik baru. Tapi ada kalanya mereka tetap boleh merajuk dan berkecil hati, lebih-lebih lagi kerana mereka sudah begitu lama menjadi ‘anak tunggal’ anda.

Maka, tidak mustahil bagi anak sulung akan tetap cemburu pada adik baru walaupun dalam hatinya mereka sememangnya menginginkan seorang teman di rumah.

Apa Yang Boleh Anda Buat

  • Libatkan anak sulung anda dalam mempersiapkan kelengkapan bayi. Tanyakan pendapatnya dan sesekali biar anak anda buat pilihan semasa membeli. Tentu anak rasa teruja untuk melihat bayi memakai pakaian yang dipilih olehnya.
  • Anda juga boleh membeli matching outfit yang sepadan buat si anak sulung dan bayi. Secara tidak langsung, anak sulung akan berasa seperti ‘sepasukan’ dengan adiknya yang bakal lahir.
  • Tetap memeluk dan menciumnya serta meluangkan masa one-on-one dengan anak sulung. Pada hujung minggu mungkin anda boleh minta suami jagakan bayi dan bawa anak ke kedai beli aiskrim. Walaupun cuma trip yang singkat, tentunya ia amat bermakna bagi si anak.
  • Tunjukkan foto-foto bayi ketika anak sulung anda masih kecil. Walaupun mereka tak ingat, memori ini sedikit sebanyak memberitahu anak sulung bahawa dia juga sangat comel dan dimanjakan ketika kecil dulu.
pengalaman mengandung anak kedua

Foto Kredit: mamaetagarela.com

Usia 6 Tahun Ke Atas

Anak yang lebih besar biasanya tidak mahu menunjukkan kecemburuan mereka pada ibu ayah. Kalau cemburu pun, mereka nak nampak ‘kuat’ dan tak mahu buat ibu ayah risau sebab mereka dah ada rasa tanggungjawab. Tapi anda sendiri mungkin dapat merasakan ada sesuatu yang tak kena dengannya.

Apa Yang Anda Boleh Buat

  • Banyak luangkan masa dengan anak sebelum kehadiran bayi baru, cuba manfaatkan waktu sebelum tidur kerana ‘pillow talk’ pada waktu ini lebih relaks, santai, dan menusuk ke dalam hati.
  • Sentiasa bersedia menjadi pendengar dan jangan lupa ingatkan anak yang anda tetap sayangkan mereka seperti waktu dulu.
  • Walaupun dah besar, kena tetap peluk dan cium anak sulung, terutamanya lepas bayi lahir.
  • Paling penting, jangan sesekali membandingkan antara satu sama lain. Ibu ayah mungkin tak perasan kadangkala mereka bercakap dengan kawan-kawan perihal perangai anak masing-masing. Kononnya nak merendah diri, tapi anak-anak terasa hati dengan kata-kata yang memperlekehkan mereka.
  • Elak jadikan anak sulung sebagai babysitter hingga dia rasa terbeban, lebih-lebih lagi jika mereka belum dapat menerima kehadiran bayi dengan baik.
dari mana bayi datang

Foto Kredit: whattoexpect.com

Jangan Risau, Semuanya Akan Baik-baik Saja

Walaupun anda berasa risau pada awalnya, percayalah semuanya akan baik-baik saja bila tiba waktunya nanti. Memang ada sesetengah anak yang memerlukan lebih banyak masa untuk menyesuaikan diri dengan kehadiran adik baru. Tapi ia bukanlah satu penghalang besar untuk anda terus memahamkan mereka tentang perubahan yang berlaku.

Ingat, proses ini adalah proses yang berterusan. Kalau tak cemburukan adiknya sekarang, mungkin juga ketika dia dah besar sedikit nanti. Jadi, jangan cepat melatah jika anak sulung kadang-kadang merajuk dan tantrum dengan adiknya.

 

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×