Bulan Ramadan hampir tiba dan sudah pastinya bagi tahun 2020, sambutan bulan Ramadan menjadi agak berbeza kerana penularan wabak coronavirus. Tapi, buat para wanita di luar sana janganlah sampai terlupa mengenai soal gantian puasa pada Ramadan lepas pula.
Namun begitu, bagi anda yang ingin membuat pembayaran fidyah, anda sudah boleh melakukan ia secara online. Baru-baru ini Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) memutuskan pembayaran fidyah boleh dibuat secara dalam talian berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
PENGERTIAN FIDYAH
Fidyah merupakan bayaran denda yang dikenakan terhadap individu Islam yang tidak dapat menggantikan puasanya di Bulan Ramadhan pada satu tahun sehingga tiba Bulan Ramadhan tahun berikutnya.
Hukum membayar Fidyah adalah WAJIB sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 184 yang bermaksud :
“……Dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar Fidyah iaitu memberi makan kepada orang miskin”.
Walaupun fidyah telah dibayar, namun bagi mereka yang sengaja meninggalkan puasa atau kepada golongan tertentu, puasa yang ditinggalkan tetap wajib diganti mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.
GUNA APLIKASI eFidyah ATAU ONLINE
Penolong Pengarah Baitulmal MAINJ, Nur Asraf Hashim, berkata, umat Islam yang mahu berbuat demikian boleh memuat turun aplikasi eFidyah di Google Playstore. Katanya, mereka juga boleh membuat pembayaran fidyah dengan melayari epayment.maij.gov.my.
“Fidyah adalah bayaran yang dikenakan terhadap individu Islam yang tidak dapat menggantikan puasanya di bulan Ramadan selama setahun hingga tiba Ramadan tahun berikutnya.
Menurutnya, kadar dan jumlah pembayaran boleh rujuk di laman web http://www.maij.gov.my dan aplikasi berkenaan. Pembayaran boleh dibuat bermula hari pertama Ramadan tahun ini.
Sumber: Majlis Agama Islam Johor