Hebahan

Gara-gara Suami Mengamuk, Hospital Sultanah Bahiyah Tak Benarkan Lagi Isteri Bersalin Ditemani

767
SHARES

Berita yang agak menyedihkan buat para isteri yang bercadang untuk bersalin di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar Kedah, mulai 26 Ogos 2018, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mengesahkan hospital ini tidak lagi membenarkan ibu bersalin ditemani oleh suami.

Suami Mengamuk Tumbuk Pintu Kerana Isteri Tak Dibenarkan Bersalin Secara Pembedahan

Tindakan ini dikuatkuasakan gara-gara kejadian di mana seorang suami berusia 23 tahun mengamuk hingga menumbuk dan merosakkan pintu bilik bersalin serta tidak mengendahkan arahan untuk menunggu di luar wad bersalin. Pada 25 Ogos, lelaki tersebut bertindak sedemikian apabila permohonan untuk isterinya bersalin secara pembedahan tidak diluluskan oleh pihak hospital.

Wanita berusia 24 tahun itu datang ke HSB pada jam 8.27 malam Jumaat lalu, sebelum berlaku kekecohan di wad membabitkan suaminya pada jam 1.15 pagi, Sabtu lalu.

Prosedur Kebenaran Peneman Ibu Bersalin Disemak Semula

Pengarahnya, Datuk Dr Norhizan Ismail, pihak hospital membuat keputusan itu selepas mendapati ibu berkenaan tidak mempunyai indikasi untuk bersalin secara pembedahan.

“Susulan itu, HSB mengambil tindakan memberhentikan sementara kebenaran menemani isteri bersalin untuk menyemak semula prosedur kebenaran peneman kepada ibu bersalin supaya kejadian sebegini tidak berulang,” tambah beliau seperti yang dipetik menerusi Berita Harian.

Disebabkan kejadian ini, pihak hospital juga telah membuat laporan polis dan lelaki berkenaan akan dipanggil untuk berbincang bagi mengenalpasti masalah yang menyebabkan tindakan tersebut.

Difahamkan wanita itu selamat melahirkan bayi keduanya secara normal dan kedua-dua ibu dan bayi sudah dibenarkan pulang.

Orang Ramai Luah Rasa Tak Puas Hati

Notis mengenai larangan itu tular di laman sosial dan menimbulkan rasa tidak puas hati. Yalah, bagi yang bercadang bersalin di sana dalam masa terdekat ini tentu akan berasa sedih kerana mereka tidak dapat membawa peneman seperti yang telah dirancang.

“Sehubungan itu saya ingin menasihatkan ahli keluarga kepada pesakit yang mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan sama ada di hospital atau klinik supaya mengawal diri bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berulang.

“Kerjasama serta bantuan semua pihak adalah perlu bagi pihak kami untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik buat semua pesakit,” akhiri beliau dalam sebuah kenyataan media.

Diharapkan kejadian ini menjadi pengajaran agar kita sentiasa bertenang, bersabar dan mengikut prosedur walaupun bertentangan dengan apa yang kita harapkan. Tentunya pakar-pakar di sana lebih tahu apa yang terbaik bagi keselamatan dan kesihatan kita. Jangan kerana terlalu ikutkan perasaan, orang lain pun terpaksa menanggung akibatnya.

 

*Sumber: Berita Harian

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×