“Budak-budak ni kalau pergi mall mesti nak singgah indoor playground tu. Aku bukanlah nak berkira sangat, tapi risau pulak dengar kata budak senang sakit kalau pergi sana. Lagi-lagi yang kolam bola plastik tu…”
Anak-anak memang suka main di taman mainan kan? Dah macam trend, hampir semua mall kini dilengkapi dengan indoor playground.
Kebanyakan indoor playground pula biasanya akan ada sebuah kolam yang dipenuhi dengan bola-bola plastik kecil atau ‘ball pit’.
Tahukah anda, sebuah kajian di Amerika Syarikat baru-baru ini mendapati bahawa bola ini mengandungi begitu banyak kuman dan bakteria punca jangkitan yang boleh membuat anak-anak kita jatuh sakit.
5 Sebab ‘Ball Pit’ Boleh Buat Anak-anak Kita Sakit
1. Kontaminasi Kotoran, Muntah, Najis & Air Kencing
Penyelidik di University of North Georgia memeriksa 6 buah ‘ball pit’ yang terletak di Georgia dan memilih 9 hingga 15 bola secara rawak sebagai sampel.
Mereka mendapati bahawa setiap bola mengandungi kolonisasi bakteria setinggi ribuan sel bagi setiap bola yang boleh menyebabkan penyakit.
Salah satu bola juga mengandungi 170,818 unit mikroorganisme yang membentuk koloni.
Kajian yang diterbitkan dalam American Journal of Infection Control menyatakan bahawa kolam bola ini sebenarnya sering terkontaminasi dengan kotoran, muntah, najis, atau air kencing yang dapat menjadi faktor persekitaran permisif untuk pencemaran mikrob.
Penemuan mereka dengan jelas menunjukkan potensi jangkitan organisme ini kepada kanak-kanak, terutamanya bayi dan anak kecil.
2. Penyelidik Jumpa 31 Spesies Bakteria Yang Dikaitkan Dengan Meningitis, Pneumonia, Sepsis dll
Secara keseluruhannya, penyelidik mengenal pasti 31 spesies bakteria termasuklah yang boleh menjadi punca penyakit merbahaya seperti meningitis, pneumonia dan sepsis.
Antara jenis bakteria yang ditemui adalah:
Enterococcus faecalis, yang boleh menyebabkan endokarditis, septikemia, jangkitan saluran kencing, dan meningitis.
Staphylococcus hominis, yang boleh menyebabkan jangkitan saluran darah dan dilaporkan sebagai penyebab sepsis dalam unit penjagaan rapi neonatal (NICU).
Streptococcus oralis, yang boleh menyebabkan endokarditis, sindrom masalah pernafasan dewasa, dan jangkitan streptokokus.
Acinetobacter Iwofii, yang telah dilaporkan menyebabkan septikemia, radang paru-paru, meningitis, dan saluran kencing dan jangkitan kulit.
3. Pembiakan Bakteria
Penyelidik mencadangkan bahawa sampel yang terlibat dalam kajian itu mungkin membiarkan beberapa hari atau minggu berlalu antara rutin pembersihan.
Ini bermaksud, sekiranya tiada rutin pembersihan kerap dilakukan, tak mustahil jumlah mikroorganisma yang terkumpul boleh berkembang ke tahap yang mampu menjadi punca pelbagai jangkitan.
Bayangkan kalau setahun tak pernah cuci???
4. Lebih Risiko Jangkitan Pada Anak Yang Luka Atau Sakit
Menurut para penyelidik lagi, risiko jangkitan akan bertambah jika anak-anak yang masuk ke dalam indoor playground atau lebih tepat lagi ke dalam kolam bola plastik ini mengalami masalah kurang pertahanan badan, keradangan kulit, luka atau melecet yang mungkin menyebabkan pendedahan secara langsung dengan bakteria tersebut.
Jadi kesimpulannya kalau anak sakit lebih baik elakkan mereka daripada bermain di sini sebab mereka bukan saja boleh menjadi penyebar jangkitan, tetapi juga boleh dijangkiti.
5. Rutin Cucian Yang Kurang Teliti
Bukanlah nak kata semua indoor playground ni kotor, cuma ada sesetengahnya yang kita sendiri boleh lihat gagal mengekalkan standard kebersihan yang baik.
Ini kerana proses mencuci, mensteril dan sanitasi bola-bola kecil ini memerlukan prosedur khusus, memakan masa, ketelitian pekerja, serta kesedaran minda dari pelbagai pihak. Tentunya semua ini memerlukan komitmen yang tinggi.
Jadi, ibu ayah kena fahamlah kenapa sesetengah tempat cajnya agak mahal berbanding yang lain kan?
Bukan Tak Boleh Main, Tapi…
Walaupun keputusannya membimbangkan, kajian itu tidak bermaksud untuk mengatakan bahawa semua ibu bapa perlu melarang membawa anak-anak mereka ke indoor playground.
Namun, pakar mengatakan bahawa jika kanak-kanak sihat, tak ada masalah nak biarkan mereka pergi bermain selagi mereka dipantau.
Yang penting tengok-tengoklah dulu keadaan di sana dan jangan lupa utamakan kebersihan anak juga tau!
*Sumber: DailyMail