“Kalau nak ikutkan, tak wajib pun dapatkan suntikan Penumokokal. Tapi, kenapa kawan aku beriya-iya suruh aku pergi ambil untuk Fateh ni. Penting ke? Berapa harganya?”
Penyakit Pneumokokal adalah penyakit yang disebabkan oleh bakteria Streptococcus Pneumoniae, juga dikenali sebagai pneumokokus. Sekalipun ia menjangkiti semua golongan umur, tetapi ia lebih sering menjangkiti kanak-kanak dan warga tua.
1. Apakah Bahaya Pneumokokal?
Bakteria pneumokokal boleh tersebar melalui udara dan biasanya dijangkiti melalui batuk atau bersin. Selain itu, ia juga boleh berjangkit kepada kanak-kanak melalui sentuhan secara langsung.
Ramai yang tidak menyedari bahawa kadar kematian dan penyakit akibat pneumokokal adalah paling tinggi dilaporkan di Afrika dan Asia. Oleh kerana simptom jangkitan Pneumokokal ini sangat mirip dengan demam atau selesema biasa, ia sukar dikesan awal dan biasanya ibu bapa tidak menyangka yang anak mereka dijangkiti virus ini.
Menurut portal MyHealth, bakteria ini boleh menyebabkan pelbagai jenis jangkitan yang kritikal seperti:
- jangkitan / radang paru-paru
- meningitis (radang membran yang mengelilingi saraf tunjang atau otak)
- sepsis (jangkitan dalam darah)
- sinusitis (jangkitan pada sinus)
- otitis media (jangkitan telinga tengah)
Walaubagaimanapun, vaksin Pneumokokal bukanlah sebahagian daripada jadual imunisasi rutin (Program Imunisasi Kebangsaan) Kementerian Kesihatan Malaysia dan perlu diambil secara berasingan dengan cas tertentu.
2. Pentingkah Vaksin Pneumokokal?
Walaupun suntikan vaksin Pneumokokal tidak diwajibkan, tetapi ia amat disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mereka yang berkemampuan. Malah, ia turut dikempenkan agar dijadikan imunisasi wajib dalam Program Imunisasi Kebangsaan.
Pakar kesihatan berpendapat bahawa vaksin ini tidak kurang pentingnya kerana ia dapat mencegah rangkaian jangkitan-jangkitan pneumokokal, terutamanya pada bayi yang berusia 2 tahun ke bawah. Selain menyebabkan penyakit serius yang disebutkan di atas, ia juga boleh menjejaskan upaya seorang kanak-kanak normal dalam jangka masa panjang hingga mengalami terencat mental, pekak, lembam, dan paralisis. Dalam sesetengah kes, ia mampu membawa maut sekiranya tidak dirawat dengan segera.
Maka, pelalian atau vaksin boleh bertindak sebagai baris pertahanan pertama menentang jangkitan pneumokokal dengan membantu melindungi daripada penyakit yang serius, komplikasi jangkitan, serta menyelamatkan nyawa.

Foto Kredit: babycenter.com
3. Bilakah Vaksin Ini Boleh Diambil?
Suntikan ini boleh diambil seawal usia 6 minggu / 2 bulan dan boleh juga diambil pada usia kanak-kanak.
Vaksin pneumokokal yang terdapat di Malaysia terdiri daripada beberapa jenis, bergantung kepada bilangan jenis penyakit yang dilindungi serta usia yang bersesuaian.
Berikut adalah dos yang disarankan bagi kumpulan umur tertentu.
Jenis vaksin pneumokokal |
Vaksin Polisakarida Pneumokokal |
Vaksin Berkonjugat Pneumokokal |
||
---|---|---|---|---|
Vaksin pneumokokal yang boleh didapati Malaysia |
PNEUMOVAX 23 VACCINE |
PNEUMO 23 POLYVALENT VACCINE |
PREVENAR 13 SUSPENSION FOR INJECTION |
SYNFLORIX VACCINE |
Melindungi daripada 23 serotaip ( strain ) bakteria Streptococcus pneumoniae |
Melindungi daripada 13 serotaip ( strain ) bakteria Streptococcus pneumoniae |
Melindungi daripada 10 serotaip ( strain ) bakteria Streptococcus pneumoniae |
||
Populasi/ kumpulan sasaranSiapa yang boleh / harus menerima vaksin ini ? |
Jika umur < 2 tahun yang mempunyai risiko tinggi (imunokompromi), mereka perlu terlebih dahulu menerima pneumokokalVaksin konjugat;
|
|
Kanak-kanak dari 6 minggu hingga 5 tahun. |
|
Cara administrasi vaksin |
Disuntik ke dalam otot ( paha atau lengan ) atau di bawah permukaan kulit. |
Suntikan ke dalam otot (paha atau lengan atas) |
||
Dos |
Satu dos tunggal ( 0.5ml );Jadual pelalian akan bergantung kepada risiko keadaan/penyakit lain yang menyebabkan mereka mempunyai imuniti rendah / mudah mendapat jangkitanPelalian semula mungkin diperlukan dalam sesetengah individu* |
Setiap dos: 0.5 mlBayi yang berumur 2-6 bulanSiri utama: Tiga dos dengan booster
|
Setiap dos: 0.5 mlBayi yang berumur 6 minggu – 6 bulanSiri utama: Tiga dos dengan booster3 dos **
|
|
Penggunaan dengan vaksin lain * |
Boleh diberikan pada masa yang sama dengan vaksin tertentu asalkan tapak suntikan yang berbeza digunakan |
* Bincang pilihan dengan pembekal penjagaan kesihatan
** Selang sekurang-kurangnya 1 bulan antara dos
# Selang sekurang-kurangnya 2 bulan antara dos
Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia
4. Harga Vaksin Pneumokokal
Vaksin ini boleh diperolehi di hospital dan klinik swasta di seluruh Malaysia.
Harganya adalah sekitar RM200 – RM300, bergantung kepada bilangan dos yang diperlukan oleh usia seseorang serta jenis vaksin yang dipilih.

Foto Kredit: straitstimes.com
5. Kesan Sampingan
Untuk pengetahuan anda, vaksin pneumokokal adalah selamat secara umumnya. Dalam keadaan tertentu, mungkin ada kesan sampingan yang mungkin berlaku bergantung kepada penerimaan tubuh seseorang.
Antara kesan sampingan yang biasa adalah:
- sakit
- merah dan bengkak pada tempat suntikan
- demam gred rendah.
Kesan sampingan vaksin berkonjugat pneumokokal pula antaranya:
- kurang selera makan
- cepat marah
- mengantuk
- tidur yang tidak lena
Namun, sekiranya berlaku sebarang kesan sampingan serius seperti kesukaran bernafas, bengkak, radang, pengsan dan sebagainya, sila dapatkan bantuan perubatan dengan segera.

Foto Kredit: immunizationinfo.com
Bincangkan Dengan Doktor Anda
Seeloknya, berbincanglah dengan doktor anda untuk mengetahui lebih lanjut tentang vaksin pneumokokal ini dan kepentingannya buat anak anda.
Bawa buku laporan kesihatan anak anda supaya doktor lebih mudah mencadangkan jenis vaksin, jadual suntikan serta dos yang diperlukan.