Famili

Viral Anak Jumpa Nota Persiapan Kematian Ibu, Mufti Titip Nasihat Bersedia Untuk Kematian

66
SHARES

“Pohon tanam jenazah mak secepat mungkin. Tidak perlu tunggu sesiapa.”

Itu antara pesanan terakhir pesara polis, Allahyarhamah Muhyizan Muhyi kepada tiga anaknya sebelum meninggal dunia akibat barah usus pada 6 Mei bersamaan dengan 5 Syawal lalu.

Baca juga: Demi Keselamatan Anak Perempuan, Seorang Ibu ‘Menyamar’ Jadi Lelaki Selama 36 Tahun

VIRAL ANAK JUMPA NOTA PERSIAPAN KEMATIAN IBU, MUFTI TITIP NASIHAT BERSEDIA UNTUK KEMATIAN

Apa yang menyedihkan, nota itu baru ditemui tiga anaknya semalam dan mendapat perhatian selepas salah seorangnya, Nor Azuana Masshar, 36, berkongsi kisah di Facebook (FB), lapor Harian Metro pada minggu lalu.

Bercerita lanjut, Nor Azuana berkata, nota itu ditemui oleh adiknya, Nur Asyikin, 34, dalam almari baju ketika mereka bersama-sama mengemas bilik tidur arwah ibunya dengan adik bongsu, Muhammad Aizuddin, 30.

Nor Azuana berkata, nota itu ditemui bersama bungkusan berisi tudung berwarna putih, kain batik panjang, kain batik lapik, plastik lapik tilam dan telekung.

“Emak memang ada beritahu mengenai kelengkapan pengurusan jenazah disediakannya, seingat saya pada awal tahun ini namun saya dan adik-beradik tidak ambil pusing sangat kerana enggan berfikir ke arah itu.

“Lagipun, emak sihat ketika itu dan tak sangka pula ia petanda arwah akan meninggalkan kami.

“Saya menangis selepas membaca nota itu malah rasa ralat dan terkilan kerana tidak dapat gunakan kelengkapan itu bagi menguruskan jenazah emak. Saya bagaimanapun tetap lega kerana urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Kampung Temoh Stesen, Temoh, Perak iaitu kampung halaman emak berjalan lancar,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Nor Azuana yang bekerja sebagai jururawat berkata, ibunya disahkan menghidap barah usus tahap empat pada 27 Februari lalu iaitu dua hari selepas tiba di rumahnya di Taman Rambai Idaman, Bukit Rambai, di sini.

“Emak menetap di Taman Murni, Gurun, Kedah bersama abah (Masshar Ahmad, 62) manakala kami tiga beradik tinggal berasingan dengan keluarga masing-masing.

“Pada 25 Februari lalu, emak datang ke rumah saya untuk membantu menjaga anak saya selepas pengasuh anak positif Covid-19.

“Emak sihat pada mulanya sebelum mengadu sakit perut dua hari kemudian dan sebaik dibawa ke hospital, doktor mengesahkan emak menghidap barah usus tahap empat. Lapan hari juga emak tidak sedarkan diri di hospital sebelum dibenarkan pulang pada 14 Mac.

“Sejak itu, emak tinggal terus di rumah saya dan sempat juga saya menjaganya termasuk bantu tukarkan beg stoma serta lampin pakai buang selepas pulang kerja,” katanya.

Nor Azuana berkata, selain meninggalkan kiriman nota, ibunya juga ada menunjukkan petanda lain sebelum meninggal dunia.

“Paling tak dapat lupa, emak beritahu keinginannya untuk raya betul-betul tahun ini kerana dia dapat rasakan ini (raya) yang terakhir namun satu juadah raya pun dia tidak jamah.

“Allah lebih sayangkan emak dan saya bersyukur kerana ada di sisinya sebelum menghembuskan nafas terakhir walaupun berasa emak pergi terlalu cepat dan belum puas menjaganya

“Abah juga masih sedih dan tidak boleh bersendiri kerana ke mana saja pergi, emak yang akan temankannya. Kini, kami adik beradik bergilir-gilir menjaganya,” katanya.

Dalam pada itu, Nor Azuana mengucapkan terima kasih kepada mereka yang mendoakan ibunya selepas dia berkongsi kisah berkenaan di FB.

“Niat saya berkongsi kisah itu sekadar untuk meluahkan perasaan.

“Diharap perkongsian itu jadi peringatan buat kita semua untuk bersedia ke alam sana kerana mati itu pasti,” katanya.

AHLI SUFI SENTIASA MEMPERSIAPKAN DIRI MEREKA UNTUK MENGHADAPI KEMATIAN

Sementara itu, kisah meruntun hati ini turut mendapat perhatian Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan yang memuat naik status di laman Facebooknya. Berkongsi kisah seorang wanita yang merupakan ahli sufi, di mana telah mempersiapkan dirinya untuk menghadapi kematian buat pengajaran kita bersama.

SAYYIDAH NAFISAH, AHLI ILMUAN DAN IBADAH YANG MENGGALI KUBUR SENDIRI (Guru Imam Syafi’i)

Sayyidah Nafisah merupakan wanita ahli ibadah dari kalangan ahlul bait sekaligus guru dari Imam As Syafi’i. Wanita ini berhijrah dari Madinah menuju Mesir dan menetap di negeri itu selama 7 tahun hingga akhir hayatnya.

Di Mesir, Sayyidah Nafisah tinggal di rumah Abu Ja’far Khalid dan menggali makamnya sendiri di dalam rumah. Setiap hari pada waktu siang dan malamnya Sayyidah Nafisah turun ke dalam liang itu untuk melaksanan solat dan membaca Al Qur’an.

Al Qadha’i menyebutkan bahwa Sayyidah Nafisah menghatamkan Al Qur`an di kubur itu sebanyak 1000 kali khatam.

Setelah wafat, jenazah Sayyidah Nafisah pun dimakamkan di dalam rumahnya itu, iaitu di liang lahad yang telah ia persiapkan sebelumnya. (Mursyid Az Zuwar ila Qubur Al Abrar, hal. 173,178)

Tular hari ini seorang pengguna media sosial yang terjumpa barang-barang yang disediakan oleh ibunya, segalanya adalah untuk persiapan dirinya menghadapi kematian. Hantaran tersebut telah meruntun hati netizen.

Ahli Sufi, ahli ibadah sentiasa mempersiapkan diri mereka untuk menghadapi kematian dengan apa cara sekali pun. Ini adalah cara untuk mereka mengingati kematian, seperti yang dilakukan oleh ibu kepada anak yang membuat hantaran tersebut.

Kematian akan membuatkan mereka menginsafi dosa-dosa, memperbanyakkan amalan baik seperti solat, sedekah dan lain-lain dan, menghindari maki hamun, memfitnah sesama saudara muslim kerana ianya akan menghilang pahala yang telah dibuat.

Semoga Allah merahmati roh ibunda tersebut, mengampunkan dosanya dan menempatkannya bersama kelompok yang mendapat nikmat disisi Allah SWT .

Sumber: Harian Metro / Facebook Nor Azuana Masshar / Facebook Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan

 

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×