Rakyat

Kementerian Pendidikan Cadang Keperluan Tutup Sekolah Berdasarkan Kes, Risiko

301
SHARES

Ekoran peningkatan kes pandemik COVID-19 sejak kebelakangan ini, ramai dalam kalangan rakyat Malaysia sudah meluahkan rasa risau. Hal ini kerana, ada segelintir dalam masyarakat yang masih tidak patuh dengan SOP yang telah ditetapkan dan ada juga yang melanggar perintah kuarantin di rumah. Bukan itu sahaja, ada juga kes yang membabitkan pelajar sekolah seterusnya meningkatkan lagi kerisauan banyak pihak.

PERTIMBANG PENUTUPAN SEKOLAH SEMULA

Penutupan sekolah oleh Kementerian Pendidikan (KPM) susulan penularan COVID-19 dilaksanakan berdasarkan kes, risiko dan kaedah menangani kemungkinan buruk. Bersandarkan faktor itu, Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Jidin, berkata penutupan sekolah tidak hanya membabitkan zon merah, sebaliknya berdasarkan penilaian Jabatan Pendidikan (JPN) mengenai cara terbaik menangani penularan wabak itu.

“Setiap kes adalah berbeza kerana di Sarawak lebih 200 sekolah ditutup tetapi di Kedah hanya lima berdasarkan kes yang ada, risiko dan cara menangani risiko.

Beliau juga berkata bahawa tidak semestinya  penutupan sekolah di zon merah sahaja, kalau ada keperluan KPM juga bercadang untuk tutup di zon lain seperti di Kedah.

“Walaupun di situ belum ada zon merah, kita membuat keputusan menutup sekolah bagi mencegah penularan. Ia lebih kepada penilaian dan pengurusan risiko, ” katanya dalam Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat di sini, hari ini. Beliau menjawab soalan tambahan Teo Nie Ching (PH-Kulai) yang ingin tahu sama ada sekolah di Sabah akan ditutup berikutan ada murid disahkan positif COVID-19.

SELEPAS DAPAT NASIHAT KKM DAN MKN

Mohd Radzi berkata, sebarang penutupan sekolah termasuk di Sabah akan dilaksanakan selepas mendapat nasihat profesional Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan melihat berdasarkan kes dan keperluan.

“Di peringkat negeri, KPM sentiasa memantau perkembangan sesi persekolahan melalui JPN dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang mana Pengarah JPN ialah ahli dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) yang turut dianggotai Pengarah Kesihatan Negeri dan Setiausaha Keselamatan Negeri.KPM melalui Pengarah JPN akan berbincang bersama semua pihak yang berkaitan untuk melihat sekiranya wujud keperluan menutup sekolah bagi mencegah penularan wabak COVID-19 di mana-mana kawasan yang berkenaan, ” katanya.

Bagi murid yang tidak dapat hadir ke sekolah akibat penutupan itu, katanya, kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) dilaksanakan melalui ‘home based learning’, khususnya mereka yang akan menduduki peperiksaan. Mengenai soalan tambahan Nie Ching sama ada KPM akan membekalkan pelitup muka guna semula khususnya kepada murid daripada keluarga B40, Mohd Radzi berkata, perbincangan sedang dibuat dengan pelbagai pihak bagi tujuan itu.

“Dalam garis panduan pembukaan semula sekolah, kita menggalakkan penggunaan pelitup muka tetapi ia masih belum diwajibkan. Kami sedang berbincang berhubung kebolehgunaan pelitup muka guna semula di sekolah dan jika ada perkembangan akan dimaklumkan dalam masa terdekat, ” katanya.

Beliau berkata, selepas pengumuman pelaksanaan Kawalan Pergerakan Antara Bahagian di Sarawak pada 29 Julai lalu, JPBN Sarawak dengan persetujuan KPM memutuskan untuk menangguh pembukaan semula 213 sekolah di daerah Kuching. Katanya, ia membabitkan 87 sekolah di bawah PPD Kuching, 99 sekolah di bawah PPD Padawan dan 27 sekolah di bawah PPD Samarahan.

“Pembukaan semula sekolah yang diumumkan pada semalam ditangguhkan ke 17 Ogos ini. Bagaimanapun, kelas bagi prasekolah, tingkatan lima dan enam beroperasi seperti biasa di tiga PPD itu.

“Bagi Kedah, kerajaan negeri melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) di empat mukim dan memutuskan menutup empat sekolah sekolah di bawah PPD Kubang Pasu dan sebuah di bawah PPD Padang Terap bermula Ahad hingga 29 Ogos, ” katanya.

Sumber: Berita Harian

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×