Sudah menjadi normal dalam kalangan masyarakat mendengar istilah ‘payung emas’ terutama sekali bagi mereka yang sudah berkahwin. Istilah ini selalunya digunakan oleh kaum lelaki sebagai salah satu ‘senjata’ bagi membolehkan mereka untuk berpoligami.
Namun, timbul satu kenyataan di laman Twitter yang mengatakan bahawa wanita yang tidak membenarkan suaminya berpoligami adalah faktor kenapa wanita lebih ramai menjadi penghuni Neraka kelak. Betul ke? Ini jawapan dari Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Baca juga: “Dayuskah Seorang Suami?”- Ustzah Asma’ Tegur Trend Unboxing Isteri
TIADA ISTILAH ‘PAYUNG EMAS’, HADIS PALSU
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata tiada istilah payung emas di dalam mana-mana hadis. Sebaliknya kata Zulkifli, ia adalah hadis palsu.
Tidak ada payung emas mahupun ‘free gift’ payung. Ia hadis palsu.
Sikap sebagai Muslim adalah kita tak menentang sebarang syariat Allah SWT namun, yang pasti ada keperluan dan hikmah dalam keadaan tertentu.
Kita cuma menolak sikap menggunakan agama untuk kepentingan individu lantas mengabaikan hak-hak lain.
Zulkifli menjawab pertanyaan daripada seorang warganet di Twitter yang inginkan pencerahan tentang kenyataan ramai wanita mengejar nikmat dunia berbanding payung emas di akhirat.
HUKUM POLIGAMI BOLEH JADI HARUS, SUNAT DAN HARAM
Menurut Zulkifli lagi, jika seorang wanita solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan, pelihara kemaluan dan taat kepada suaminya, Nabi kata masuklah ke syurga melalui pintu yang dikehendaki.
Tidak boleh menetapkan hukum atas sesuatu berdasarkan zahir ianya sunnah atau tidak semata-mata, sebaliknya melihat kepada maslahat suatu perkara itu.
Begitu juga dengan poligami. Terkadang ia menjadi perlu dan terkadang tidak perlu bahkan boleh jadi menzalimi.
Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja. (Surah al-Nisa’, 4:3).
Dalam pada itu, Zulkifli menyatakan hukum berpoligami itu sendiri boleh jadi harus, sunat dan haram.
Tidak menjadi kesalahan bagi isteri untuk mempertikaikan keputusan suaminya untuk berpoligami dengan melarangnya atas sebab keperluan.
Berbincang dengan baik, beri nasihat, dan pandangan, demi untuk mengelakkan daripada berlakunya kezaliman dan penindasan terhadap hak isteri dan juga anak-anak.