Nur

Tak Sempat Mandi Wajib Sebelum Subuh, Sahkah Puasa?

25
SHARES

Umumnya mengetahui sekarang umat Islam sedang menyambut bulan mulia iaitu bulan Ramadan. Bagaimanapun, timbul persoalan dalam kalangan netizen adakah puasa seseorang itu dikira sah walaupun dia belum mandi wajib.

Berikut adalah penjelasan daripada laman web Mufti Wilayah Persekutuan yang dapat menjelaskan kemusykilan kita berkaitan hal ini.

Baca juga: Ustaz Azhar Idrus Jelas Hukum Jual Kuih Waktu Pagi Masa Ramadan

TAK SEMPAT MANDI WAJIB SEBELUM SUBUH, SAHKAH PUASA?

Soalan:

Apakah hukum mandi junub selepas terbit fajar dalam bulan ramadan?

Jawapan:

Hukum mandi junub selepas terbit fajar pada bulan ramadhan disebabkan persetubuhan pada malam hari atau sebelum waktu fajar adalah diharuskan dan ianya tidak membatalkan puasa. Dan tidak ada halangan untuk orang yang berjunub untuk melewatkan mandi junub sehingga terbitnya fajar.

Ini berdasarkan dalil hadis daripada Aisyah dan Ummu Salamah R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

كَانَ يُدْرِكُهُ الفَجْرُ وَهُوَ جُنُبٌ مِنْ أهْلِهِ، ثُمَّ يَغْتَسِلُ وَيَصُومُ

Maksudnya: “Adalah Rasulullah SAW pernah mendapati fajar telah terbit dan ketika itu beliau dalam keadaan junub setelah bercampur dengan isterinya. Kemudian beliau mandi dan berpuasa.”

Mantan Syeikhul Azhar, almarhum Syeikh Dr Abdul Halim Mahmud menyebut dalam kitab Fatwa Abdul Halim Mahmud menyebut: “Sesungguhnya mandi junub pada siang hari ramadhan adalah harus dan tidak ada halangan padanya, akan tetapi boleh menjadi wajib jika sekiranya ianya membawa kepada melewatkan solat subuh dan luputnya waktu solat.”

Dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah menyebut: “Sesiapa yang berjunub pada malam hari, kemudian dia berpuasa, maka puasanya sah, dan tidak ada qadha puasa ke atasnya. Inilah pendapat yang jumhur. Ini berdasarkan hadis Aisyah dan Ummu Salamah tersebut.

Imam al-Syaukani berkata: “Inilah pandangan jumhur, dan Imam Nawawi menetapkan bahawa perkara ini telah diputuskan secara ijma’. Dan Imam Ibn Daqiq al-‘Id berkata: “Perkara ini (iaitu sahnya puasa orang yang berjunub pada malam hari) telah menjadi ijma’ atau seperti ijma’.” Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah (28/63).

Dalam al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie menyebut: “Sekiranya bersetubuh sebelum fajar, maka mengeluarkan (berhenti setubuh) bersamaan dengan waktu terbitnya fajar, dan keluar mani, tidak membatalkan puasanya.” Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie (2/184).

Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hadis ini dalam Syarh Sahih Muslim menyebut: “Yang afdhal adalah melakukan mandi junub sebelum fajar.” Lihat Syarh Sahih Muslim (3/165).

Jelaslah daripada hadis di atas bahawa sahlah puasanya dan tidak batal puasanya kerana berpuasa dalam keadaan berjunub mahupun kerana mandi wajib selepas subuh. Ini pendapat majoriti ulama. Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (6/307-308)

Berdasarkan nas-nas dan dalil-dalil serta padangan ulama, maka hukum mandi junub selepas terbit fajar adalah harus di sisi mazhab Syafie dan jumhur ulama. Begitu juga hendaklah diteruskan berpuasa kerana ianya sama sekali tidak membatalkan puasa sepertimana yang dinaskan oleh para ulama dalam kitab-kitab mereka.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×